Sunday, December 13, 2009
TIP RAIH PENDAPATAN DARI LAMAN BLOG
TAHUKAH anda dengan hanya menulis blog, seseorang blogger (penulis blog) mampu memperoleh pendapatan tinggi? Jika penulis blog itu berpengaruh dengan jumlah kunjungan pembaca di laman blognya sangat tinggi, lebih besar pendapatan mampu diraihnya.
Sumber pendapatan bagi blogger datang daripada iklan produk yang dipaparkan dalam laman blog mereka. Sejumlah bayaran akan diterima seseorang blogger berdasarkan beberapa faktor seperti tempoh iklan disiarkan; jumlah klik pada capaian (link) iklan dan terma lain yang dipersetujui antara pengiklan dan blogger.
Sejak pengiklanan menerusi blog diperkenalkan, senario penulisan blog juga berubah. Jika dulu kebanyakan blogger menjadikan blog sebagai ruang untuk meluahkan idea, mencatat diari atau kisah harian tanpa memikirkan soal keuntungan, ramai blogger sekarang mengubah rentak penulisan menepati kriteria laman blog yang menjana wang.
Dapat dilihat, gaya penulisan blogger yang bersifat santai sebelum ini, berubah kepada lebih sensasi dan kreatif. Ini adalah cara penulis blog menarik lebih ramai kunjungan pembaca serta kadar trafik. Hasilnya, pasti pengiklan tertarik mengiklankan produk dalam blog berkenaan.
Apabila ada iklan dalam blog, blogger lazimnya membuat ulasan mengenai produk yang dipaparkan dalam iklan terbabit selepas mencubanya.
Sesuai dengan kedudukan laman blog sebagai media baru dan pengaruhnya dalam menyebarkan maklumat, laman blog menjadi antara medium baru untuk sektor pengiklanan. Konsep pengiklanannya tidak jauh berbeza daripada bahan bacaan bercetak seperti akhbar dan majalah, cuma iklan menjadi lebih menarik kerana faktor kelebihan blog yang bersifat digital.
Bagi golongan blogger pula, kewujudan pengiklanan menerusi blog adalah peluang baik untuk mendapatkan pendapatan sampingan daripada hobi ini. Namun, ada blogger tidak berminat mengejar peluang meraih pendapatan biarpun blog mereka popular. Ini kerana mereka mungkin lebih senang menulis blog dengan bebas tanpa perlu memikirkan bagaimana hendak menarik perhatian lebih ramai pembaca dan pengiklan.
Biar apapun, tidak salah merebut peluang di depan mata. Asalkan jangan terlalu ghairah ‘membuat duit’ hingga tujuan asal menulis blog tersasar jauh. Jika ini berlaku, blogger juga akan kehilangan pembaca setia.
Berbicara lanjut mengenai pengiklanan di blog termasuk kriteria blog pilihan pengiklan, kolum Tanya Pakar menemubual Pengasas Bersama merangkap Pengarah Eksekutif Nuffnang, pelopor komuniti pengiklanan blog Asia, Timothy Tiah.
Ilham menubuhkan komuniti timbul ketika Tiah menuntut di luar negara. Ketika menjalani latihan praktikal, Tiah membangunkan laman web yang menawarkan perkhidmatan menghubungkan guru tuisyen dan pelajar. Menyedari perlunya mengiklankan perkhidmatan yang ada di laman web berkenaan, Tiah melihat potensi pengiklanan blog sebagai kaedah memasarkan produk.
Sehubungan itu, sejurus tamat pengajian, Tiah pulang ke Malaysia serta menubuhkan syarikat pengiklanan blog bersama rakan kongsi, Cheo Ming Shen. Komuniti ini berkembang begitu pantasi. Dalam tempoh sehari, seramai 300 ahli mendaftar di syarikat ini.
Ikuti temubual ini...
Bagaimana pengiklanan menerusi blog ini berlaku?
Seseorang blogger yang berminat menjadi komuniti Nuffnang akan mendaftar blog mereka dengan kami. Mereka akan mendapat kod ahli masing-masing.
Ciri-ciri blog mereka kemudian direkodkan untuk dirujuk apabila Nuffnang berurusan dengan syarikat yang hendak mengiklan. Bagi blogger secara individu, agak sukar untuk mereka ‘memasarkan’ blog mereka, jadi Nuffnang menjadi orang tengah antara blogger dan pengiklan.
Apakah kriteria blog yang dapat menarik iklan?
Seperti biasa, blog mestilah tinggi dari segi trafiknya. Ini bermakna ia sentiasa dikunjungi ramai pembaca. Selain itu, isi kandungan penulisan blog perlulah menarik perhatian untuk orang ramai membacanya.
Kumpulan sasaran pembaca blog juga boleh menjadi faktor pemilihan blog oleh pengiklan. Pengiklan lebih cenderung memilih blog yang pembacanya merangkumi golongan sasaran produk mereka.
Bagaimana dengan gaya penulisan? Adakah ia memainkan peranan dalam mendapatkan peluang pengiklanan?
Dari segi gaya penulisan, ia agak subjektif. Banyak juga blog yang gaya penulisannya sangat ringkas dan santai tapi disukai ramai pembaca. Selagi isi kandungannya bagus dan mendapat kunjungan pembaca yang ramai, tentunya blog itu yang menjadi pilihan pengiklan.
Berapa banyak bayaran yang boleh diperoleh seseorang blogger bagi iklan yang disiarkan dalam blog mereka?
Ia bergantung kepada tahap atau peringkat mana seseorang blogger itu. Lazimnya, blogger yang dikenali ramai serta mempunyai hit yang tinggi, bayaran untuk iklan yang diterima mereka juga tinggi.
Ada antara blogger menerima RM4,000 hingga RM5,000 untuk sebuah iklan.
Adakah iklan sekadar disiarkan di laman blog atau blogger diberi peluang mencuba produk terlebih dulu?
Ada berbagai pendekatan. Kadangkala, mereka hanya menyiarkan saja iklan di laman blog. Ada juga ketikanya, mereka meminta blogger mencuba dulu produk yang hendak diiklankan serta membuat ulasan.
Produk yang sering diiklankan melalui blog lazimnya produk barangan atau perkhidmatan yang diperlukan orang ramai.
Bagaimana agaknya tahap perkembangan pengiklanan blog tempatan jika dibandingkan dengan negara lain?
Bagi negara di rantau ini, Australia boleh dikatakan mendahului negara lain dari segi kecenderungan pengiklanan melalui blog. Ini diikuti Malaysia di mana syarikat pengeluar produk makin terbuka untuk mengiklankan produk mereka dalam talian.
Namun, ini tidak bermakna pengiklanan blog akan ‘mengambil tempat’ media lain sebagai medium pengiklanan utama. Saya percaya, media seperti akhbar dan televisyen masih mempunyai kuasa pengiklanan kerana ramai yang masih menganggapnya sumber hiburan utama.
Blog cuma menambah lagi pilihan medium pengiklanan masa kini.
Apa tip bagi blogger menjana pendapatan melalui laman blog mereka?
Saya sentiasa percaya, apabila kita menulis blog - tidak kira apapun tujuannya dan jika orang menyukainya, peluang untuk menjana pendapatan itu datang dengan sendiri.
Tidak perlu bertungkus-lumus atau mencuba sedaya-upaya menjadikan blog anda popular atau dipilih pengiklan. Jadilah diri anda sendiri. Memanglah blog yang boleh menjana wang memerlukan kadar trafik tinggi, namun sebagai seorang blogger mereka mesti berusaha menulis dengan baik.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment