Sunday, December 20, 2009

JANGAN ABAIKAN MASJID



Masalah mengabaikan masjid perkara biasa. Kadang-kadang yang datang ke masjid, sama ada untuk berjemaah atau menghadiri kuliah-kuliah agama hanya orang tua-tua termasuk orang yang pencen.

Malaysia negara yang beruntung. Kaya sumber alam. Terlalu jarang mengalami malapetaka. Politik stabil dan sebagainya. namun apabila kita toleh-toleh fikir serius tentang Islam, ia terlalu mengecewakan. Kita mempunyai masjid-masjid termasuk masjid negeri yang tersergam, namun sebahagian besar daripada penduduk Islam di Malaysia sembahyang tidak dapat memahami apa yang dibaca termasuk bacaan al-Fatihah, Tahiyat, Qunut dan yang seumpamanya. Kita gah di persada dunia kerana berjaya mengadakan musabaqah setiap tahun namun sebahagian besar daripada umat Melayu Islam membaca al-Quran tetapi tidak memahami maknanya.

Ini berlaku di Malaysia, sebuah negara yang mempunyai segala-galanya. Cuba kita fikir apa sebenarnya berlaku di negara yang sering bermasalah, ekonomi, politik dan sebagainya.

Mungkin kita akan merasa insaf kalau kita berupaya meninjau negara-negara lain, yang mana Islam itu merupakan agama terpinggir, akibat penganutnya yang sedikit, ataupun kerana dasar kerajaan yang menyekat kegiatan beragama. Semua kegiatan yang berkaitan dengan agama disekat. Guru-guru boleh mengajar hal-hal yang berkaitan dengan agama Islam, tetapi hendaklah dengan bahasa Arab, padahal mereka yang mendengar tidak tahu bahasa Arab. Di sesetengah di negara Barat, di sesetengah tempat, biarpun tidak ada sekatan mendirikan masjid, penduduk tempatan memandang mereka yang pergi ke masjid dengan pandangan jijik, menyendiri dan meludah ketika berselisih. Mercun dimasukkan dalam lubang surat yang menghala ke ruang sembahyang ketika orang sedang sembahyang.

Untuk beribadah kepada Allah, jelas begitu sukar dan menghadapi pelbagai halangan, apatah lagi hendak mempelajari hal-hal yang berkaitan dengan ajaran Islam. Akhirnya apabila generasi yang tersebut mati dan diganti dengan generasi berikutnya, Islam itu akhirnya hanya tinggal namanya sahaja.



Kita di Malaysia bebas dan digalakkan mempelajari agama, diberi bantuan oleh pelbagai pihak. Semua orang, tidak kira mereka yang baru tahu bertatih sehinggalah mereka yang tidak berupaya menapak berpeluang mempelajari agama melalui buku, siaran televisyen, radio dan sebagainya. Tidak cukup dengan syarahan-syarahan agama, unsur-unsur agama diselit-selitkan di celah-celah lakonan. Namun demikian seperti yang saudara persoalkan dalam ruangan ini, hal-hal yang berkaitan dengan agama, berkaitan dengan masjid tetap terabai di sesetengah tempat yang sekali gus memperlihatkan kita ini sering lupakan Tuhan, untuk beribadah kepada Allah, pada hal tujuan utama manusia itu dihidupkan di dunia ini ialah untuk beribadah kepada-Nya.

Manusia lumrahnya akan hanya melakukan sesuatu sekiranya mereka menyedari adanya faedah hasil daripada perbuatannya. Setiap orang pergi kerja kerana mendapat gaji. Belajar untuk pandai, berilmu, boleh mendapat kerja untuk menyara hidup. Semakin tinggi sekolah, semakin banyak pulangan akan diperoleh. Kerana itulah kita tidak perlu pelik sekiranya ada orang yang telah banyak duit, kaya raya tidak mahu memikir tentang pelajaran kerana pada mereka kekayaan telah menjamin kehidupan. Mereka tidak berupaya menyingkap rahsia ilmu yang menaikkan taraf berfikir dan bertindak.

Begitulah dengan hal-hal yang berkaitan dengan masjid dan kegiatan agama. Mereka yang tidak ke masjid, atau jarang ke masjid merasakan tidak ada sesuatu yang mereka peroleh daripadanya. Keadaan ini berlaku kerana tidak adanya rangsangan untuk berbuat demikian, tidak mempelajari rahsia-rahsia keperluan ke masjid atau lebih tegas ialah kerana mereka tidak mempelajari agama. Keadaan ini berlaku termasuklah kerana ibu bapa mereka tidak menggalakkan, selain tidak mempelajarinya secara rasmi di sekolah-sekolah atau secara tidak rasmi. Tidak ada contoh untuk menjadi penggalak daripada jiran-jiran ataupun penduduk kampung lain kerana mereka sendiri memencilkan diri.

Kumpulan inilah yang hidup di kalangan mereka sendiri, menyisihkan diri daripada golongan yang rajin ke masjid. Pagi hingga ke petang berkerja untuk menampung hidup, kemudian balik rumah apabila tiba masanya dan tutup pintu. Tidak peduli azan Subuh ataupun Zuhur dilaungkan, biarpun rumah bersebelahan masjid.

Sikap seperti inilah melahirkan golongan yang tidak cintakan masjid. Merasakan bahawa sembahyang itu tidak memberi sumbangan, tidak memberi apa-apa imbuhan selain daripada membuang masa. Cerita-cerita kartun ataupun kungfu menjadi tumpuan biarpun bang dilaungkan di masjid, pemberitahuan Maghrib di antara tayangan gambar dianggap sebagai gangguan.

Inilah yang dinamakan ketidakseimbangan antara kebahagiaan hidup dunia dan akhirat.



Untuk mengimarahkan masjid, semua pihak mesti terlibat. Imam dan jawatankuasa masjid tidak berupaya menjalankan kegiatan masjid tanpa kerjasama daripada ketua kampung, jawatankuasa kemajuan kampung dan sebagainya terutamanya ibu bapa. Segala rancangan ataupun kegiatan yang dirancang oleh masjid akan gagal sekiranya mendapat bantahan atau kerjasama daripada ketua kampung ataupun daripada jawatankuasa penduduk kampung. Begitu juga sekiranya kegiatan itu mendapat tentangan daripada golongan pemuda.


Majlis-majlis yang diadakan, tidak kira majlis apa yang dianjurkan oleh pihak masjid akan hanya dihadiri oleh kumpulannya sahaja sekiranya tidak mendapat kerjasama daripada ketua kampung ataupun daripada ketua pemuda juga pengikut-pengikutnya. Begitu juga halnya dengan sokongan daripada mereka yang terlibat dengan politik kerana golongan ini memainkan peranan penting dalam usaha mengimarahkan masjid.

Apa yang lebih penting dalam usaha ini ialah kerjasama daripada kedua ibubapa. Untuk melakukan sesuatu yang baik bukan sesuatu yang mudah. Terlalu banyak halangan dan cubaan dalam usaha berbuat demikian, malah untuk melakukan sembahyang di rumah itu sendiri pun bukan sesuatu yang mudah.

Oleh kerana itu sekiranya ibubapa membiarkan anak-anak mereka, tidak peduli sama ada anak mereka sembahyang atau tidak, ke masjid atau tidak, anak-anak ini akan terus menerus renggang dengan ibadah tersebut, apatah lagi sekiranya ibubapa itu sendiri tidak mendirikan sembahyang, tidak ke masjid dan tidak merasa minat untuk menghadiri kelas-kelas agama takmir anjuran.

Sesetengah orang meletakkan tugas melaksanakan hal-hal yang berkaitan dengan masjid yang berkaitan dengan agama itu khusus kepada mereka yang “alim”, yang mengetahui selok-belok agama. Kalau di sekolah, hal-hal seumpama itu dirujuk ataupun dibebankan kepada mereka yang dipanggil “ustaz”, manakala di kampung-kampung ia dibebankan kepada mereka yang dipanggil “imam”, “bilal” dan sebagainya.

Pandangan seperti ini adalah silap kerana Allah s.w.t. menyuruh setiap orang tanpa mengira sama ada mereka itu terdiri daripada orang yang berpendidikan agama atau tidak agar menyeru ke jalan Allah dengan bijaksana.

Dalam sebuah hadis riwayat oleh al-Hakim dan Ibn Abdul al-Barr daripada Abdullah bin Omar r.a bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara. Tidak sekali-kali kamu menjadi sesat selagi kamu berpegang (Beramal) dengan kedua-duanya iaitu Kitabulllah (al Quran) dan sunahku (al-Hadis).

Tidak ada jalan lain untuk mengatasi masalah yang dijelaskan kecuali dengan mendidik anak-anak dengan didikan atau pelajaran agama. Selagi masalah agama dianggap sebagai masalah negeri, tidak ada penyelarasan di antara jabatan-jabatan agama, masalah yang berkaitan dengan agama tidak akan selesai. Kesannya ialah anak-anak Melayu terus terlibat dengan dadah, HIV, lumba motor haram dan sebagainya seperti yang berlaku sekarang.

0 comments:

 

PAUTAN MINI




 

KOKURIKULUM

SOCUT PERAK SCOUT MALAYSIA PUTERI ISLAM PBSM KRS

Recommended Gadget

  • ads
  • ads
  • ads
  • ads

Followers

About Me

Abu Ruqaiyah, Tn. Hj. Mohamad Sahrin Bin Kadmo. Salah seorang pereka elaporan program j-QAF untuk kegunaan pihak Sekolah, PPD, JPN & BPK.