Saturday, February 27, 2010

BIARKAN CINTAMU BERKATA TIDAK!



Kerap diungkapkan, cinta itu buta?Apakah benar cinta itu buta? Apakah cinta orang beriman juga buta? Kalau buta yang dimaksudkan itu tidak mampu lagi melihat mana yang hak, yang mana batil, tentulah cinta orang yang beriman tidak buta.

Tidak! Cinta yang suci tidak buta. Orang beriman tetap celik walaupun sedang dilamun bercinta. Mereka masih tahu dan mampu melihat serta menilai yang mana baik, yang mana buruk, yang mana halal, yang mana haram sewaktu bercinta.

Namun sekiranya buta yang dimaksudkan tidak nampak lagi segala kesusahan demi mendekatkan diri kepada yang dicintainya (Allah)… ya, cinta orang beriman memang buta. Orang yang beriman tidak nampak lagi ranjau duri untuk mendekatkan diri kepada Ilahi.

Pernah Sayidina Abu Bakar ra pernah berkata kepada anaknya, “jika aku menemui mu dalam perang Badar dahulu, aku sedikit pun tidak teragak-agak untuk membunuh mu!” Mus’ab bin Umair pula pernah berkata kepada ibunya, “jika ibu punya 100 nyawa dan nyawa itu keluar satu persatu, saya tidak akan meninggalkan agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad.”

Ya, cinta orang beriman itu buta. Tetapi bukan buta melulu. Yang buta melulu hanyalah cinta orang yang lemah iman. Cinta itu telah dikotori oleh kehendak nafsu dan bujukan syaitan. Apa sahaja yang disuruh oleh nafsu dan dihasut oleh syaitan akan diikuti. Cinta buta oleh orang yang buta mata hatinya sanggup mengorbankan maruah, harga diri malah membunuh demi cintanya. Memang benar kata pepatah Arab, seseorang itu menjadi hamba kepada “apa” atau “siapa” yang dicintainya.

Kalau sudah cinta, kita jadi “buta” terhadap penderitaan, kesusahan dan segala keperitan demi menyukakan hati orang yang kita cintai. Oleh itu bertuah sekali jika orang atau apa yang kita cintai itu adalah orang yang baik atau sesuatu yang baik, maka kita akan menjadi hamba kepada orang yang baik dan kebaikan.

Sebaliknya, jika yang kita cintai adalah kejahatan atau orang yang jahat… kita akan diperhambai sentiasa kepada kejahatan. Firaun mati lemas kerana diperhamba kuasa. Manakala Qarun ditelan bumi akibat diperhamba harta. Dan berapa ramai negarawan, hartawan dan bangsawan yang kecundang kerana cintakan wanita? Orang mukmin itu sangat cinta kepada Allah. Firman Allah: “Orang mukmin itu sangat bersangatan cintanya kepada Allah.” Al Baqarah 165.

Justeru, cinta orang mukmin itu “buta” kepada sebarang kesusahan demi menunaikan perintah Allah. Orang mukmin rela mengorbankan segala kesukaan atau kesenangan dirinya apabila semua itu melanggar perintah Allah. Tidak ada istilah tidak apabila berdepan dengan perintah Allah. Mereka akan berpegang kepada prinsip “kami dengar, kami taat” setiap kali mereka mendengar ayat-ayat cinta (Al Quran) yang datang daripada Allah.

Apabila berdepan dengan cinta Allah, segala cinta yang lain akan menjadi kecil dan terpinggir. Bayangkan kecintaan Rasulullah saw terhadap bapa saudaranya Abu Talib – orang yang membela dan melindunginya semasa susah dan senang. Bukan sahaja tubuh badan Rasulullah saw dipertahankan oleh Abu Talib tetapi beliau juga telah memberi kasih-sayang, perhatian, simpati dan empati yang tidak berbelah bagi kepada Nabi Muhammad saw.

Ya, Nabi Muhammad s.a.w dan Abu Talib saling cinta mencintai. Bayangkan hingga ke saat-saat kematian Abu Talib, nabi Muhammad saw terus berdakwah, merayu dan membujuk agar bapa saudaranya itu beriman. Tetapi Subhanallah! Allah Maha Tahu dan Maha Berkuasa terhadap petunjuk dan hati para hamba-Nya. Hidayah milik Allah. Dan hidayah itu tidak diberikan-Nya kepada Abu Talib atas sebab-sebab yang hanya DIA yang mengetahuinya. Lalu matilah Abu Talib dalam keadaan tidak beriman…

Betapa sedihnya hati Rasulullah saw tidak dapat digambarkan lagi oleh kata-kata. Dan pada hari kematian Abu Talib, bersimpuhlah baginda dalam doa demi keselamatan ayah saudaranya yang telah pergi. Namun apa jawapan Allah? Allah menegur dan melarang baginda daripada berdoa untuk keselamatan Abu Talib. Kerana apa? Kerana Abu Talib tidak beriman. Walaupun Allah Maha mengetahui betapa cintanya Rasulullah saw… tetapi Allah mendidik hati seorang Nabi agar berkata tidak walaupun ketika hati terlalu cinta!

Begitulah jua jalur cinta yang luar biasa oleh insan-insan luar biasa sebelum diutuskan Nabi Muhammad saw. Bagaimana Nabi Nuh as, dididik oleh Allah agar berkata “tidak” ketika teringat dan merasa kasihan kepada anak dan isterinya yang derhaka. Menyusul kemudiannya Nabi Luth as yang diperintahkan meninggalkan keluarga yang tercinta tanpa boleh menoleh lagi ke belakang.

Menyusul lagi kemudiannya Nabi Ibrahim as yang pada mulanya rela berpisah dengan bapanya yang menyembah berhala, dan selepas itu rela pula menyembelih anaknya Nabi Ismail demi cintanya kepada Allah. Nabi Nuh, Luth, Ibrahim dan akhirnya Nabi Muhammad s.a.w telah berkata “tidak” kepada cinta-cinta yang lain kerana cinta mereka pada Allah. Lalu di manakah letaknya cinta kita?

Muhasabah kembali cinta antara suami-isteri yang mendasari dan menghiasi rumah tangga kita…. Apakah pernah cinta kita berkata, “tidak”? Ah, tanpa disedari kerap kali kehendak isteri atau suami diturutkan sahaja walaupun jelas bertentangan dengan kehendak Allah. Atau kekadang kita sudah bisu untuk menegur kesalahannya kerana terlalu sayang. Sudah ketara, tetapi masih dipandang sebelah mata. Sudah menonjol, tetapi kita pura-pura tidak nampak.

Kekadang ada isteri yang sudah semakin “toleransi” dalam hukum penutupan aurat. Malangnya, sisuami biarkankan sahaja tudungnya yang semakin singkat, warnanya yang semakin garang, saiznya yang semakin sendat dan melekat… Ada masanya tangannya sudah terdedah melebihi paras yang dibenarkan, anak tudungnya telah terjulur dan helaian rambutnya sedikit berjuntaian… Itu pun masih didiamkan oleh sisuami. Mengapa begitu? Mungkin kerana terlalu sayang…

Kekadang solat nya pasangan kita sudah mula culas. Tidak menepati waktu dan terlalu “ringkas” pula… Itu pun masih kita biarkan. Mungkin ketika si suami melangkah ke surau atau ke masjid, si isteri masih leka dengan aktiviti rumah yang tidak kunjung reda. Dan keutamaan mengerjakan menyegerakan solat tepat semakin hari semakin dipinggirkan. Pernah ditegur, tetapi mungkin kerana keletihan si isteri jadi sensitif dan merajuk. Tarik muka. Masam wajahnya. Maka suami jadi “jeran” dan mengalah untuk tidak menegur lagi. Kerana apa? Kerana sayang…

Si suami pula kekadang sudah semakin merosot pengamalan Islamnya. Kalau dulu rajin menghadiri kuliah, melazimi solat berjemaah, bersedekah dan berdakwah tetapi entah kenapa “:semangat” Islamnya merudum tiba-tiba, roh dakwahnya meluntur, mula malas-malas, leka dengan program TV dan aktiviti-aktiviti yang tidak menyuburkan iman dan Islamnya… si isteri melihat dari dekat.

Itu perubahan yang membimbangkan, detik hati isteri. Ingin menegur, tapi malu. Ingin menasihati, takut dibentak. Dari sehari ke sehari kemerosotan itu dibiarkan. Akhirnya keinginan-keinginan itu menjadi dingin… biarlah dulu. Tunggulah lagi. Ah, semuanya… demi cinta!

Seakan telah dilupakan dahulu kita bernikah kerana Allah. Dihalalkan pergaulan kita antara suami isteri atas kalimah Allah. Ingat kembali kalimah syahadah dan istighfar yang diulang-ulang oleh Tok Khadi sebagai pembersihan hati dan taubat sebelum tangan dijabat untuk aku janji menerima satu amanah. Nikah diterima, ijab kabul dilafazkan dengan kehadiran wali dan saksi…dan bercintalah kita kerana Allah.

Itulah pangkal perkahwinan setiap pasangan muslim. Untuk mengekalkan cinta, relalah berkata tidak kepada kemungkaran yang dilakukan oleh pasangan kita. Berani dan tegalah berkata tidak apabila Allah dan hukum-Nya dipinggirkan oleh suami atau isteri kita.

Sayidina Abu Bakar pernah memerintahkan anaknya menceraikan isteri yang baru dikahwini oleh anaknya bila didapati anaknya itu mula culas solat berjemaah di masjid kerana leka melayani isteri barunya. Nabi Ibrahim pula pernah berkias agar anaknya Ismail menukar palang pagar rumahnya (isyarat menceraikan isterinya) apabila didapati isterinya itu tidak menghormati orang tua.

Jika kita undur selangkah ke belakang dalam pengamalan syariat, anak-anak akan undur sepuluh langkah ke belakang. Sedikit ibu-bapa tergelincir, terperosok anak ke dalam lubang kemungkaran. Sebab itu sering berlaku, apabila ibu tidak lengkap dalam menutup aurat anak-anak perempuannya akan lebih galak mendedahkan aurat. Lambat sibapa dalam mengerjakan solat, anak-anak akan berani pula meninggalkan solat. Sedikit ibu-bapa terpesona dengan dunia, anak-anak akan terleka dalam mencintainya!

Betapa ramai ibu-bapa yang hakikatnya “menghumban” anak mereka ke neraka kerana dibiarkan melakukan kejahatan tanpa teguran. Ada yang terlalu cintakan anak, hingga dibiarkan anak-anak tidak solat Subuh, konon katanya kasihan nanti anaknya mengantuk kerana kurang tidur. Ada pula anak-anak yang sudah besar panjang tetapi masih tidak dilatih berpuasa kerana tidak sampai hati anak-anak melihat anak-anak kelaparan dan kehausan. Apabila anak-anak pulang lewat malam, ada ibu-bapa yang begitu “sporting” berkata, “Biarlah… muda hanya sekali, biarkan mereka bersuka-suka, tumpang masih muda!”

Susah benarkah untuk melihat anak-anak, isteri atau suami bersusah-susah kerana Allah? Padahal kesusahan yang sedikit dan sementara di dunia ini adalah suatu yang lumrah demi mendapat kesenangan yang melimpah dan kekal abadi di akhirat kelak?

Jangan kita dibutakan oleh cinta nafsu kerana cinta nafsu itu bersifat melulu. Cintailah sesuatu kerana Allah, insya-Allah, cinta itu akan sentiasa celik untuk melihat kebenaran. Rela dan tegalah berkata tidak demi cinta. Cintalah Allah dan selalu menjaga hukum-hakam-Nya. Bila cinta kita kerana yang maha Baqa (kekal), maka itulah petanda cinta kita sesama manusia akan kekal.

Marah biar kerana Allah. Justeru kemarahan kerana Allah itulah yang akan menyuburkan rasa cinta kita. Bila hak Allah diabaikan, bila hukum-hakam-Nya dipinggirkan, katakan tidak… cegahlah kemungkaran itu dengan kuasa dan dengan kata-kata. Biarkan cinta mu berkata tidak! Insya-Allah cinta itru akan kekal sampai bila-bila…
Read rest of entry

Thursday, February 18, 2010

... KERANA DI SITULAH KEINDAHAN HIDUP!




Sering saya ungkapkan takdir sentiasa mengatasi tadbir. Justeru takdir itu daripada Allah Yang Maha Perkasa manakala tadbir daripada manusia yang lemah tidak berdaya. Namun itu bukan bererti kita lemah dan pasrah… jadi “Jabariah” dalam hidup itu. Atau mengaku super hingga terjebak dalam “Qadariah” ketika merasakan diri bebas daripada ikatan Allah. Kita umat pertengahan – ahli sunnah yang gigih mengatur sebaik tadbir, sekali gus menghulur setulus doa untuk dikurniakan Allah sebaik takdir!

Sejak awal tahun lagi saya ditakdirkan banyak bersama remaja. Daripada anak-anak sendiri, mahasiswa IPTA dan IPTS , ekskutif, usahawan sehinggalah pengacara TV. Banyak yang saya sampaikan dan banyak juga yang saya belajar. Saya bersyukur kerana jiwa jadi lebih dinamik dan bertenaga ketika diterjah oleh pelbagai persoalan oleh mereka. Antara soalan yang kerap ditanyakan ialah apa yang hendak kita lakukan apabila ada sahaja yang tidak kena dalam hidup ini…

Untuk anak-anak, adik-adik, remaja dan “retua” juga saya hadiahkan tulisan ini:… KERANA DI SITULAH KEINDAHAN HIDUP!

Ada ketika-ketikanya, kita terasa apa yang dibuatnya serba tidak kena. Pada hari, minggu atau bulan yang malang itu, kecelakaan seolah-olah datang timpa menimpa. Bagun Subuh lewat, baca Quran luput, solat resah, dimarahi oleh bos, duit gaji lambat, bergaduh dengan kawan, tayar motosikal meletup dan macam-macam lagi. Jadi, kalau demikian halnya, apa yang sebenarnya tidak kena? Dan bagaimana hendak membetulkan keadaan? Hendak bermula dari mana? Wah, pening kepala dibuatnya.

Mungkin anda juga pernah mengalami situasi begini, dan tentu sahaja kita tercari-cari panduan bagaimana hendak membetulkan semula semua keadaan yang bercelaru itu? Dalam apa jua keadaan, remaja hendaklah faham bahawa bila keadaan tidak seperti yang diingini, langkah kita bukanlah mengubah keadaan itu tetapi terlebih dahulu mengubah diri kita sendiri. Ramai orang tersilap, justeru mereka hendak mengubah keadaan luaran sebelum mengubah diri sendiri. Sunahtullahnya tidak begitu.

Dalam apa jua kondisi, mengubah diri itu perlu diutamakan kerana itulah yang akan mengubah keadaan yang kita hadapi. Jadi, apabila berdepan dengan masalah kewangan, dimarah ayah-ibu, tayar motor yang meletup, bergaduh dengan kawan-kawan… hendaklah diingat, ubahlah diri kita sebelum cuba mengubah perkara-perkara yang di luar diri kita. Pertama, remaja perlulah memahami bahawa kehidupan ini disusun dengan satu peraturan yang sangat rapi dan saling berkait rapat antara satu sama lain. Peraturan ini dinamakan Sunnatullah. Barat menamakannya ‘law of nature’. Hukum Sunnatullah ini juga dikenali sebagai ‘cause and effect’ (sebab dan akibat). Hukum ini bukan sahaja berlaku dalam bidang fizik, biologi, ekonomi dan lain-lain.

Malah ia juga berlaku dalam putaran kehidupan. Allah swt telah mengaturkan bahawa setiap akibat yang berlaku mesti mempunyai sebab atau punca. Jika seseorang itu bersedih, tentu terdapat sebab-sebab yang menyebabkan dia bersedih. Jika dia gembira, tentu terdapat sebab-sebab yang menyebabkan kegembiraan itu. Oleh itu jika kita dapati kehidupan kita seperti serba tidak kena, maka hendaklah kita akui bahawa mesti terdapat sesuatu sebab yang menyebabkan keadaan yang serba tidak kena itu. Sebelum mencari di mana penyebabnya, kita hendaklah terlebih dahulu mengakui akan ujudnya penyebab itu.

Tidak mungkin kita akan menemui sesuatu yang kita cari jika kita menafikan akan kewujudannya. Jadi, langkah awal mengubat sesuatu yang tidak kena ini ialah membuang sikap ego. Maksud ego di sini ialah kita mengatakan atau menganggap tiada ‘penyebab-penyebab’ pada keadaan yang serba tidak kena itu. Ramai antara kita yang merasa ego, dengan berkata, “entahlah… saya tidak tahu apa yang tidak kena lagi, semuanya sudah saya lakukan, tapi gagal juga. Dah nasib…” Atau ada yang berkata, “ tak mungkin jadi begini, semuanya sudah ok sejak mula, tiba-tiba sahaja jadi begini?”

Cakap-cakap yang seumpama ini sungguhpun biasa kita dengar namun, jika diteliti ia jelas bermaksud yang penuturnya seolah-olah tidak mahu mengakui ada kesalahan yang menyebabkan sesuatu yang negatif berlaku. Ada juga orang yang mengakui adanya penyebab-penyebab tertentu tetapi penyebab itu adalah orang lain. Bukan dirinya. Ini juga satu petanda ego. “Saya tidak salah, yang salah bapa saya, kawan saya, motor saya…” Ketahuilah, sikap reaktif ini tidak akan menyelesaikan masalah. Bahkan akan menambah masalah. Apa yang perlu kita cari ialah kesalahan diri kita sendiri.

Kita tidak boleh terus menyalahkan orang lain di atas apa yang menimpa kita. Hidup kita adalah tanggung jawab kita justeru apa yang berlaku dalam kehidupan adalah pilihan kita sebenarnya. Orang boleh menimpakan sesuatu ke atas kita, hanya apabila kita ‘mengizinkan’ ia berlaku. Yang menyebabkan kita susah hati, bukan kemarahan teman-teman, tetapi apabila kita mengizinkan kemarahan teman itu menyusahkan diri kita. Secara pro-aktif, kita boleh memilih respon kita pada sebarang situasi dalam hidup… Bila dimarahi, kita boleh memilih untuk sabar dan berdiam diri, atau marah dan bertindak-balas… terpulang!

Kitalah yang menjadi penyebab utama kepada berlakunya sesuatu akibat. Kita perlu mengetahui, mengetahui dan mencari kesalahan itu dalam diri sendiri. Oleh itu, bila ditimpa masalah maka muhasabah tentang perlakuan kita di semua dimensi. Dimensi hubungan kita dengan Tuhan, manusia, pekerjaan, kewangan, kesihatan, tanggung jawab dan peranan yang telah diamanahkan bagi kita melaksanakannya. Telitilah terlebih dahulu soal-soal besar dalam hidup kita tetapi jangan lupa… soal-soal kecil juga kadangkala memberi impak besar untuk menyumbangkan sesuatu yang tidak kena dalam kehidupan.

Sekali lagi diingatkan, dalam mencari penyebab-penyebab atau punca-punca masalah, kita jangan hanya bertumpu mencari penyebab-penyebab yang besar. Sebaliknya carilah penyebab-penyebab yang kecil-kecil. Kita boleh umpamakan diri sebagai seseorang yang sedang berjalan. Jarang orang terjatuh akibat terlanggar batu-batu besar. Sebaliknya ramai yang terjatuh apabila terpijak batu-batu kecil, kulit pisang dan sebagainya. Penyebab-penyebab yang kecil sebenarnya boleh memberi ‘impak’ atau kesan yang beransur-ansur.

Kita mungkin tidak nampak atau tidak perasan pada awalnya, tetapi secara tiba-tiba sahaja keadaan sudah menjadi buruk. Ingatlah, menyelesaikan masalah harus dilakukan persis bagaimana ia bermula. Contohnya, berat badan kita tidak menambah 10 kilogram dalam jangka masa sehari dua. Tetapi ia bertambah sedikit demi sedikit. Maka, untuk mengatasi masalah berat badan itu, tindakan untuk mengurangkannya pun mesti dilakukan secara beransur-ansur.

Adalah mustahil untuk mengubahnya secara mendadak. Sesuatu yang runtuh secara beransur-ansur perlu dibina secara beransur-ansur juga. Barulah tindakan kita nanti akan berhasil. Misalnya kita menghadapi masalah bajet yang tersasar daripada apa yang ditetapkan. Kita perlu sedar bahawa kebiasaannya ‘terlebih bajet’ ini bukanlah disebabkan ‘kebocoran’ perbelanjaan yang besar-besar.

Sebaliknya ia berpunca daripada sikap tidak mengambil berat perbelanjaan yang kecil-kecil – yakni wang yang kita keluarkan untuk membeli barang-barang yang tidak perlu tetapi murah harganya secara tidak menentu masanya. Perbuatan inilah yang sebenarnya memberi kesan besar yang buruk kepada bajet kita. Tawaran harga murah pada sesuatu barang menyebabkan kita mula hilang pertimbangan dan mula membeli bukan atas dasar keperluan, tetapi sebab murahnya barangan itu.

Begitu juga buat remaja yang menghadapi masalah kegemukan. Kegemukan tidak pernah berlaku secara drastik. Ia berlaku secara beransur-ansur hingga ke satu tahap, barulah kita terkesan bahawa berat badan kita sudah ‘over’. Jangan cuba mengubahnya secara mendadak. Kita pun mula bersenam secara ‘maraton’, menjalani skim diet yang terlalu ketat dan macam-macam lagi tindakan yang agresif dan ekstrem. Apa jadi akhirnya? Kita kecewa, kita mengalah dan akhirnya berputus asa bila melihat kesannya tidak seberapa.

Ya, segalanya perlu diubah secara perlahan-lahan, misalnya dengan mengubah cara pengambilan makanan, menukar kepada menu yang sihat dan bersenam secara ringan tetapi konsisten. Jangan sekali-kali membiarkan perut kosong pada jangka waktu yang lama, ini akan menyebabkan kita mudah mendapat penyakit ulser atau gastrik pula. Oleh itu, bertindaklah secara bijak dan beransur-ansur. Ini lebih ringan dan realistik untuk mengubah keadaan! Seperkara lagi ketika hendak memulakan sesuatu proses perubahan, jangan sesekali kita memikirkan kesempurnaan.

Kelak, kita mungkin tidak akan memulakannya langsung. Oleh itu, bermulalah dengan membuat perkara-perkara yang kecil dahulu. Untuk memperbaharui penampilan diri misalnya, janganlah diharapkan wajah, bentuk dan gaya anda seperti bintang filem dalam masa yang singkat. Anda akan kecewa jika mengimpikan kesempurnaan yang semacam itu. Sebaliknya, buatlah yang terbaik pada skala diri anda sendiri. Jangan bandingkan kita dengan orang lain secara tidak sihat.

Cuba bayangkan penampilan diri sendiri yang paling bergaya, cantik dan menarik – jadilah anda yang terbaik. Itu pun secara beransur-ansur. Jangan mengharapkan kesempurnaan, kerana ini akan membantutkan semangat anda untuk menangani masalah penampilan diri itu. Elakkan daripada cepat berputus asa dan hendak melihat hasil yang segera. Jangan naik anak-tangga secara berlari. Ada kalanya perubahan yang kita telah berbuat itu sudah pun menunjukkan kesannya, cuma ia belum kelihatan.

Konsep ini sama seperti ketika kita hendak mencairkan air batu dengan cara memanaskannya. Menurut hukum fizik, sekiranya mula memanaskannya, molekul-molekul air itu sudah pun bergerak. Tapi sedikit demi sedikit. Pada mulanya ia seakan-akan tidak ada tindak balas tetapi lama kelamaan, air batu tiba-tiba terus retak dan mula mencair. Ya, barulah kesannya nampak, walaupun sejak mula memanaskannya tadi, sebenarnya itu telah pun memberi kesan, cuma tidak nampak…

Ingat, sikap hendak melihat kesan yang cepat menyebabkan kita mudah kecewa dan patah semangat di sekerat jalan. Akhirnya, kita perlu sedar, hidup ini bagaikan satu siri gelombang yang datang secara bergilir-gilir. Ada ketikanya, gelombang kecil dan tenang dan ada ketikanya gelombang itu besar dan ganas. Pada ketika gelombang itu ganaslah, semuanya terasa serba tidak kena. Tuhan menetapkan bahawa setiap manusia itu tidak akan mendapat kesenangan sahaja atau kesusahan sahaja. Masing-masing daripada kita akan mengalami pasang-surut dalam hidup – ada masa senang, ada masa susah.

Justeru dalam kehidupan ini, kita tidak boleh terlalu gembira kerana selepas kegembiraan itu mungkin muncul kesusahan. Begitu juga kita tidak boleh terlalu sedih bila kesusahan kerana mungkin selepas itu Allah swt datangkan perkara-perkara yang menggembirakan. Kesedaran tentang hukum Sunnahtullah ini akan memberi ketenangan dalam hidup.

Apabila kita ditimpa kesusahan, rasakan dalam hari… ya, selepas ini akan datang kesenangan. Sabarlah sebentar. Dan apabila datang kesedaran, kita tetap tidak alpa… ya, selepas ini akan datang kesusahan. Bersiap-sedialah. Hakikatnya, tidak ada kesenangan dan kesusahan yang abadi di dunia ini. Kehidupan adalah satu perubahan yang berterusan…

Cabaran kita bukan untuk mengawal perubahan itu tetapi mengubah diri bagi menyesuaikan diri dalam setiap keadaan yang berubah-ubah itu. Fahamilah hakikat ini. Bila yang dibuat ‘serba tidak kena’ itulah hakikatnya satu kehidupan. Hidup bukanlah yang serba kena, serba senang dan serba mudah. Hidup tidak selalu indah, justeru di situlah keindahan hidup!
Read rest of entry

KESILAPAN DALAM MENDIDIK TAUHID...



Hati kita sebagai ibu-bapa kadangkala terusik kenapa anak-anak yang telah diberi pelajaran yang secukupnya dalam bidang Fardhu Ain, masih mengalami masalah salah-laku? Qurannya sudah khatam (habis dibaca), solat, wuduk, puasa dan lain-lain sudah dikuasai ilmunya, tetapi mengapa masih jahat juga?

Tak cukupkah lagi dengan pengajaran yang diberi? Atau ada ‘kebocoran’ di mana-mana sewaktu proses mengajar dan mendidik?. Masalah ini perlu disuluh secara teliti, dan dengan pemikiran yang lebih kritis. Kenapa benih padi yang kita tanam, lalang pula yang tumbuh? Apapun, pada saya ini masalah ini tentu ada kaitannya dengan perkara asas dan teras. Ya, ini berpunca daripada masalah tauhid – keyakinan dalam hati yang menjadi punca perlakuan dan tindakan.

Tauhid atau akidah adalah ilmu asas yang paling awal wajib diajarkan kepada anak-anak. Tujuan ilmu Tauhid adalah untuk memperkenalkan Allah menerusi nama dan sifat kebesaran-Nya. Kenal akan Allah – ertinya kenal akan sifat-sifat kesempurnaan-Nya yang serba ‘Maha’ seperti Maha Pengasih, Penyayang, Memiliki, Suci, Sejahtera, Memelihara dan sebagainya.

Apabila sudah mengenali sifat-sifat kesempurnaan Allah ini maka diharap akan timbullah rasa kasih, malu, kagum, sayang, takut, harap, hina, rindu, cinta dan lain-lain dalam diri anak-anak. Apabila timbul rasa-rasa itu maka itulah nanti yang akan mempengaruhi tindakan, percakapan dan perasaannya. Tindakannya adalah tindakan orang yang takut dengan Allah. Percakapannya adalah percakapan orang yang cintakan Allah. Begitulah seterusnya, setiap rasa tertentu akan melahirkan tindakan atau perbuatan yang selaras dengan rasa itu…

Selalu diungkapkan, “tak kenal maka tak cinta.” Untuk cinta, mesti kenal. Maksudnya, jika seorang anak itu benar-benar kenalkan Allah, maka sudah pasti ia cintakan Allah. Dan apabila dia telah cintakan Allah, maka dengan sendirinya lahir perbuatan-perbuatan yang selaras dengan rasa cintanya itu. Apa yang Allah suka, dilakukannya. Apa yang Allah benci, ditinggalkannya.

Tetapi sekiranya lahir perbuatan-perbuatan negatif (menyalahi kehendak Allah), maka itu menunjukkan ia tidak mempunyai rasa cinta. Bila dia tidak mempunyai rasa itu, ini bermakna dia tidak benar-benar kenal akan Allah. Lalu kita bertanya, mengapa seseorang itu masih tidak kenalkan Allah walaupun telah sekian lama diperkenalkan kepada-Nya melalui pengajaran ilmu Tauhid?

Bukankah anak kita sudah tahu yang Tuhannya bernama Allah? Dia pun sudah menghafal sifat-sifat yang wajib,mustahil dan harus bagi-Nya. Sesetengah anak kita, malah sudah hafaz semua nama-nama Allah yang baik (Asmaul Husna).

Tetapi hairan juga kita kenapa dia tegamak melakukan sesuatu yang bertentangan dengan apa yang dipelajarinya? Dengan kata yang lain, kenapa pengetahuan Tauhidnya tidak berperanan langsung dalam kehidupannya? Pada pandangan saya, ada beberapa sebab, mengapa pengajaran dan pendidikan ilmu tauhid yang kita sampaikan kepada anak-anak tidak berkesan. Antara sebab-sebab itu ialah:

1. Tidak memanfaatkan usia muda yang paling optimum.
Usia yang paling optimum untuk menanamkan ilmu Tauhid ialah antara 8 bulan hingga 8 tahun. Pada waktu ini fitrah anak-anak sungguh bersih, ditambah pula oleh fikiran, perasaan dan jiwanya yang mula berkembang. Usia ini sepatutnya digunakan sepenuhnya untuk memperkenalkan Allah secara mudah, ‘natural’, santai dan berterusan.

Hujjah akal tidak diperlukan sangat. Yang penting, memberitahu, menetapkan dan meyakinkkan. Dalil dan pemikiran rasional tidak dituntut justeru pada usia sebegini selalunya akan-anak menerima sahaja input yang kita berikan kepada mereka. Katakan, Allah itu Penyayang, Allah itu Pengasih, Allah itu Penyabar… maka anak-anak akan menerimanya tanpa soal lagi.

Sayangnya, tempoh usia muda ini selalunya diabaikan oleh ibu-bapa dengan alasan, “biarlah… mereka tidak tahu apa-apa, mereka masih kecil lagi.” Sedangkan hakikatnya, pada usia itulah mereka sangat bersedia untuk dicorakkan oleh apa sahaja yang disogokkan menerusi pembukaan semua ‘tingkap’ yang diwakili oleh seluruh pancaindera mereka. Mereka, hakikatnya boleh tahu ‘apa sahaja’. Lalu alangkah baiknya, jika peluang dan ruang ini diisi untuk memperkenalkan Tuhan kepada mereka. Pesan ulama:
“Awal beragama adalah mengenal Allah.”

Selalunya, orang yang paling awal kita kenali dalam hidup, maka orang itulah yang paling besar pengaruhnya dalam kehidupan kita apabila dewasa. Pakar-pakar psikologi menggunakan istilah ‘pelaziman individu rapat yang berpengaruh’ untuk menerangkan hal ini. Sebab itu anak-anak yang telah diperkenalkan kepada Allah sejak kecilnya, akan membentuk menjadi orang dewasa yang dipengaruhi oleh rasa tauhid yang mendalam. Tauhid umpama benih yang disemai pada awal usia, dan akan tumbuh membesar selaras dengan pertambahan usia. Ibu-bapa yang bijak, akan memanfaatkan masa perbualan, waktu makan, waktu bermain dan apa sahaja waktu bersama anaknya untuk memperkenalkan Tuhan.

2. Tidak manfaatkan unsur alam bagi memperkenalkan Tuhan.
Alam ini tandanya adanya Tuhan. Bukan sahaja alam ini membuktikan Tuhan itu ada, tetapi alam juga membuktikan Tuhan Allah maha Berkuasa… Soalnya bagaimana hendak diperlihatkan dan dirasakan kepada anak-anak itu akan kebesaran dan keperkasaan Tuhan menerusi penciptaan alam ini? Mudah sahaja, tunjukkan dulu akan kebesaran dan kehebatan alam ini.

Terangkan betapa teraturnya alam ini dengan bulan, bumi dan matahari sentiasa bergerak dan beredar dalam orbit masing-masing. Dari pusingan dan peredaran itu terjadilah siang dan malam, hari, minggu, bulan dan tahun. Betapa sukarnya kita hendak menggerakkan sesuatu, perlukan tenaga dan daya yang kuat… maka tentulah Tuhan yang menggerakkan seluruh semesta alam ini lebih kuat, dan lebih berkuasa.

Ertinya, sains adalah ilmu yang paling signifikan untuk menanamkan rasa tauhid dalam diri anak-anak. Bukankah sejarah pencarian Nabi Ibrahim untuk mengenali Tuhan ‘terpaksa’ melalui liku-liku dalam ilmu sains? Baginda melihat betapa besarnya kejadian ciptaan Tuhan – seperti bintang, bulan dan matahari. Timbul rasa kagum dalam dirinya akan kehebatan ‘ciptaan-ciptaan’ itu.

Lalu itu semua pernah disangkanya sebagai Tuhan… Namun oleh kerana ‘kebesaran’ kejadian-kejadian itu akhirnya dilindungi oleh yang lain, maka baginda merasakan tentu ada lagi zat lain yang ‘Maha besar’ – yang mengatasi kebesaran bintang, bulan dan planet-planet itu. Maka pada ketika itulah Nabi Ibrahim diperkenalkan kepada Allah oleh malaikat Jibrail.

Maka kaedah yang sama perlu digunakan masakini. Bawa anak-anak melihat ‘kebesaran’ alam dalam perjalannnya melihat kebesaran Tuhan. Selagi anak-anak tidak nampak kebesaran alam ciptaan Tuhan ini maka sukar baginya merasakan kebesaran Tuhan yang menciptanya. Oleh itu anak-anak mesti didedahkan selalu kepada pelajaran Sains. Bawa dia dekat dengan alam. Kemudian tarik dirinya untuk mengenal Allah yang mencipta alam. Menerusi penciptaan planet, haiwan, tumbuhan dan sebarang organisma yang begitu teratur, unik dan indah maka selitkan bahawa ada zat yang Maha Pengatur, Maha Besar dan Maha Indah. Tidak mungkin segalanya tercipta dengan sendirinya… tentu ada yang Mencipta. Tidak mungkin alam itu teratur tanpa sengaja… tentu ada yang mengaturnya. Bukan sahaja ada yang mencipta dan mengatur, tetapi yang mengatur itu Maka Berkuasa dan Maha Perkasa.

Maksud ilmu sains di sini bukanlah yang begitu rumit dan kompleks sehingga ibu-bapa terpaksa membuat kajian dan rujukan. Tetapi memadailah jika alam ini dijadikan latar atau alat untuk memperkenalkan Tuhan. Bila hujan, tanyakan kepada anak, “siapa jadikan hujan?”

Bila dibawa melawat zoo, melihat berbagai-bagai jenis haiwan, maka usik anak-anak kita dengan pertanyaan-pertanyaan yang boleh memperingat dan memperkenalkan Tuhan kepada mereka. “Agak-agak, ibu monyet tu sayang ke anaknya?” Nanti bila anak kita mengiyakannya, maka kita katakan, “pandai, kalau tak sayang tak kanlah dikendong anaknya ke sana kemari. Semua tu telah Allah dah aturkan. Allah Maha Bijaksana!”

3. Memperkenalkan dahulu sifat-sifat Allah yang Maha Keras.
Menerusi tertib penurunan wahyu, Allah telah memperkenalkan dahulu sifat-sifat-Nya yang lembut, baik, pemurah, penyayang… sebelum memperpekalkan sifatnya yang Maha membalas, punya siksa yang Maha pedih dan sebagainya. Ini juga satu kaedah untuk menyuburkan rasa tauhid ke dalam diri anak kita. Kenalkan dahulu sifat-sifat yang mendatangkan rasa ‘cinta’ daripada rasa ‘takut’. Walaupun cinta dan takut itu wajib ada dalam diri anak-anak, tetapi dalam kaedah menanamkannya ke dalam hati, rasa cinta mesti di dahului daripada rasa takut.

Kenapa agaknya, kaedah semacam itu perlu dipilih untuk mendidik rasa tauhid? Sebab, Allah mahu menimbulkan rasa dekat, rasa cinta dan rasa sayang para hamba terhada diri-Nya. Dengan rasa cinta, sayang itu barulah hamba-Nya merapatkan diri. Datanglah pengabdian dan ketaatan hasil rasa cinta. Selepas itu barulah diperkenalkan-Nya sifat-sifat yang menggerunkan seperti Dia memiliki siksa yang amat pedih, Maha Merendahkan, Maha Pengancam dan sebagainya. Ertinya, anak-anak mesti dididik dengan rasa cintakan Allah berdasarkan sifat-sifat dan nama-nama-Nya yang lembut lebih dahulu sebelum rasa takut berasaskan sifat dan nama-nama-Nya yang keras.

Malangnya, ini tidak berlaku. Bila anak melakukan kesalahan, maka kita ugut dia… nanti Allah humban dalam neraka. Bohong? Lidah kena gunting dengan api! Akibatnya, anak-anak akan mengenali Allah sebagai Tuhan Maha menghukum, Maha mengazab dan sebagainya. Betul, demikian tetapi salah caranya. Kenapa tidak Tak diterangkan misalnya, bila hujan turun… kita katakan, wah Allah sayang kita. Bila berdepan dengan juadah yang banyak, kita kan syukur banyaknya rezki kita malam ni… ini bukti Allah Pemurah.

Bila anak-anak melakukan kesalahan, kita anjurkan dia meminta maaf… katakan bahawa Allah itu Maha Pengampun! Walaupun Tauhid itu ajaran yang penting, tetapi kaedah tepat untuk menyampaikannya juga sangat penting. Justeru, betapapun bahan masakan berzat tetapi kalau silap kaedah memasaknya, maka musnah jua akibatnya!
Read rest of entry
 

PAUTAN MINI




 

KOKURIKULUM

SOCUT PERAK SCOUT MALAYSIA PUTERI ISLAM PBSM KRS

My Blog List

Recommended Gadget

  • ads
  • ads
  • ads
  • ads

Followers

About Me

Abu Ruqaiyah, Tn. Hj. Mohamad Sahrin Bin Kadmo. Salah seorang pereka elaporan program j-QAF untuk kegunaan pihak Sekolah, PPD, JPN & BPK.