Thursday, May 27, 2010

AKU SEORANG PEREMPUAN



Aku adalah orang yang dimuliakan dengan pangkat IBU
Dia menjadikan hatiku tempat orang lain menagih cinta dan rindu
Aku adalah orang yang Rasulullah s.a.w. berpesan kepada umatnya agar berlemah lembut denganku
Aku juga digambarkannya dengan gambaran yang indah dan syahdu
Tidak kira sama ada aku
seorang gadis
seorang isteri
seorang janda
atau seorang balu…
aku tetap seorang perempuan!
Perkahwinan tidak menambahkan kemuliaanku
Perceraian tidak mengurangkan keperempuananku
Menjadi andartu tidak menyebabkan aku menjadi malu!
Aku adalah seorang perempuan
Di dalam diriku lautan kemesraan dan mimpi sebesar gergasi
Ada cinta dan kelembutannya
Ada kasih dan romantisnya
Di wajahku nan ayu
Ada segunung sabar dan benteng keluli.
Aku seorang perempuan
Aku bisa menangis andai kulitku yang lembut ditusuk duri yang kecil
Namun aku bisa berdiri teguh menghadapi ribut taufan yang melanda hatiku yang lemah.
Aku seorang perempuan
Gembiranya aku memperoleh cinta seperti gembiranya si kecil mendapat mainan baru yang comel
Di kala serius aku laksana 100 orang lelaki
Di kala bermain aku lembut dan manja
Aku seorang perempuan
Aku bukan tawanan atau tebusan di tangan lelaki yang ingin menghancurkan
Sekiranya dia menghendaki aku sebagai kawan
Aku menjadi penunjuk jalan
Aku menjadi penenang dan tempat dia berlabuh pulang
Aku selimuti dia dengan cinta yang melimpah laksana sungai.
Aku seorang perempuan
Adakah engkau tau siapa aku
wahai lelaki terhormat,
wahai suami tersayang?
Read rest of entry

CERITA TAK MASUK AKAL



Pada suatu hari….

Seorang ayah pergi merantau ke luar negara untuk mencari rezeki meninggalkan seorang isteri dan tiga orang anak. Dia seorang yang penyayang dan sangat dikasihi dan dihormati pula oleh ahli keluarganya.

Setelah keadaannya di rantau orang agak stabil, dia menghantar surat pertama kepada keluarganya. Mereka sangat gembira menerima surat yang sungguh bermakna dari seorang ayah yang sangat dikasihi dan disayangi. Sampul surat itu ditenung berulang kali. Masing-masing memeluk dan mengucup surat tersebut bagai tidak mahu dilepaskan. Kemudian surat yang berharga itu disimpan di dalam pembalut sutera yang indah. Sekali sekala surat itu dikeluarkan dari pembalutnya untuk dibersihkan daripada debu dan habuk. Kemudian meletakkan kembali di dalam pembalutnya.

Kemudian tiba pula surat kedua, ketiga dan seterusnya. Semuanya disimpan dan dijaga rapi seperti surat pertama.

Beberapa tahun berlalu…

Tibalah masa untuk si ayah pulang menemui keluarga tercinta. Alangkah terkejutnya dia apabila mendapati tiada seorangpun yang tinggal kecuali anak bongsunya. Dengan cemas dia bertanya:

-“Mana ibumu?”
- “Ibu ditimpa sakit yang amat teruk. Kami tidak ada wang untuk membiayai rawatannya sehingga akhirnya dia meninggal dunia.”
- “Kenapa begitu? Apakah kamu tidak membuka suratku yang pertama? Di dalamnya terkandung sejumlah wang yang banyak untuk perbelanjaan kamu?”
- “Tidak!”


- “Di mana pula abangmu?”
- “Dia telah terpengaruh dengan kawan-kawan sebaya yang jahat. Selepas kematian ibu, tidak ada siapa yang mampu menasihatinya. Sekarang dia sudah jadi sebahagian daripada mereka.”
-(Ayah semakin hairan) “Kenapa begitu? Aku telah tulis dengan panjang lebar menasihati kamu agar berhati-hati memilih kawan. Jangan berkawan dengan orang jahat kerana lama kelamaan kita juga akan jadi jahat! Aku juga meminta agar abangmu itu mengikut aku di rantau orang. Apakah kamu tidak membaca suratku?”
- “Tidak!”


- “Kakakmu di mana?”
- “Dia pernah tulis surat kepada ayah meminta nasihat tentang seorang pemuda yang melamarnya. Sekarang dia telah berkawin dengan pemuda itu. Tapi malangnya dia tidak bahagia. Hidupnya menderita didera sepanjang masa lahir dan batin.”
- “Bukankah aku telah jawab surat itu menasihatinya agar jangan terima lamaran pemuda itu? Aku telah ingatkan, jangan pillih pasangan berdasarkan harta dan kedudukan. Tapi pilihlah berdasarkan agama, akhlak dan keturunan! Kamu tidak baca semua surat-suratku?”
- “Tidak! Kami simpan surat-surat ayah di dalam pembalut sutera yang cantik, kami usap dan cium surat itu sebagai tanda sayang dan rindu kami kepada ayah! Tetapi kami tidak membacanya…”

Tidak ada siapa yang percaya akan kebenaran cerita ini. Mungkin ada yang akan berkata ia tidak masuk akal sama sekali!

Namun sedarkah kita bahawa inilah kisah benar. Kisah yang tak masuk akal sebenarnya hanyalah sebuah analogi mudah.inikah yang berlaku dalam kehidupan UMAT ISLAM hari ini?

Kita menerima surat dari Yang Maha Mengetahui, Maha Pengasih, Maha Penyayang, Maha Memerhati lagi Maha Bijaksana. Surat yang mengandungi panduan, ajaran serta petunjuk dalam segenap bidang kehidupan. Tetapi sejauh mana kita membaca, memahami dan mengikuti panduan yang diberi?

Maka jadilah apa yang terjadi! Umat Islam mati dibunuh saban hari, di sana sini. Jenayah meningkat, keruntuhan akhlak mencemaskan di semua peringkat, wanita-wanita didera dan diperkosa tanpa mengira tua atau muda, bayi-bayi yang tidak berdosa dibuang merata-rata, dan bermacam-macam kejahatan, maksiat dan kemungkaran yang menjijikkan.

Semuanya berpunca daripada tidak membaca dan mengambil pengajaran daripada Surat yang dikirim oleh Pencipta Yang Maha Esa Yang Amat Sayang kepada makhluk-Nya!

[ISLAM SULUKUL HAYAH]
Read rest of entry

HUKUM MELUKIS GAMBAR



SOALAN:

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh,

"Kesenian merupakan satu penghasilan dari jiwa yang jujur & tercipta bagi menyatakan suara jiwa terhadap Al-Khaliq. Ia ibarat pengaduan rasa & ucap syukur akan keindahan yang diciptakanNya kepada diri manusia".- Al Ghazali

Saya meminati seni dan lukisan. Namun, daripada pembacaan, saya dapati terdapat larangan dalam menghasilkan potret atau mana-mana lukisan yang menyerupai objek hidup. Daripada pemahaman saya, penghasilan lukisan seperti itu seolah-olah mencabar ciptaan Yang Maha Pencipta. Bagaimanakah kedudukan sebenarnya? atau saya tersilap dalam memahami maksud sebenar larangan tersebut.

Keduanya, mengenai kedudukan gambar fotografi yang dirakamkan. Saya amat mengharapkan penjelasan kepada soalan-soalan berikut:

1. Bagaimanakah kedudukan melukis potret dan objek bernyawa dalam hukum Islam.

2. Adakah ciri sesuatu potret yang dihasilkan, iaitu 'berwarna' (menyerupai wajah sebenar yang dilukis), atau 'hitam putih' (menyerupai wajah sebenar tetapi tidak berwarna) menjadi penentu dalam mengharuskan penghasilan potret tersebut?

3. Apakah kedudukan membingkaikan gambar fotografi objek hidup (manusia dan haiwan contohnya), lalu digantung di dinding rumah mahupun pejabat?
Sekian.

Ratapan keampunan kepadaNYA Yang Maha Pengampun atas segala kejahilan.

Daripada: NUR HIDAYAH HAJI DAUD (Malaysia)

JAWAPAN:

Muqaddimah


Islam adalah agama yang mencintai keindahan sehingga di dalam hadith Nabi Muhammad s.a.w, baginda bersabda:

إِنَّ اللهَ جَمِيْلٌ يُحِبُّ الْجَمَالَ

yang bermaksud:


Sesungguhnya Allah adalah zat yang Maha Indah dan suka kepada keindahan


Antara perkara yang dianggap sebagai satu keindahan yang mempunyai nilai kesenian adalah gambar yang dilukis di papan-papan kanvas dan ukiran-ukiran yang dipahat di atas batu atau kayu.
Persoalannya, adakah Islam berdasarkan ijtihad para fuqaha membenarkan kesemua lukisan dan ukiran atau sebaliknya?

Beberapa perbahasan yang disepakati dari segi hukumnya oleh seluruh para fuqaha Islam

1. Seluruh para ulama Islam bersepakat bahawa seseorang individu dibenarkan untuk melukis gambar-gambar benda yang merupakan hasil ciptaan manusia itu sendiri seperti melukis gambar rumah, kereta, masjid, komputer dan sebagainya.

Ini kerana manusia telah dibenarkan untuk mencipta benda-benda tersebut. Apabila seseorang individu itu telah dibenarkan oleh Islam untuk mencipta kereta, dia juga boleh melukis gambar kereta. Ini kerana gambar kereta lebih mudah untuk dihasilkan berbanding dengan mencipta kereta. Kalaulah mencipta kereta yang lebih sukar telahpun dibenarkan oleh Islam, maka menghasilkan gambar kereta lebih-lebih lagi dibenarkan.

2. Para fuqaha Islam juga telah bersependapat mengatakan bahawa seseorang itu boleh untuk melukis gambar-gambar alam semulajadi yang diciptakan oleh Allah Taala seperti gambar tasik, sungai, laut, bulan, bintang, matahari dan sebagainya.

Walaubagaimanapun, sekiranya gambar alam semulajadi itu dijadikan sebagai bahan sembahan orang yang bukan beragama Islam seperti golongan penyembah matahari, maka sekiranya penyembah matahari meminta sang pelukis untuk melukis gambar matahari untuk disembah selepas itu, pastinya hukum melukis gambar matahari ketika situasi ini adalah haram. Ini kerana gambar yang bakal dilukis akan digunakan untuk tujuan maksiat iaitu menyembah selain daripada Allah Taala.

Beberapa perbahasan yang tidak disepakati dari segi hukumnya oleh para fuqaha Islam
Kebanyakan para fuqaha berpandangan bahawa seseorang pelukis dibenarkan untuk melukis gambar tumbuh-tumbuhan, rumput, buah-buahan dan pokok-pokok. Mereka tidak membezakan antara pokok yang berbuah ataupun pokok yang tidak mengeluarkan buah. Bagi kebanyakan para ulama, hukum melukis tumbuh-tumbuhan dan pokok adalah seperti hukum melukis alam semulajadi seperti sungai, laut, gunung-ganang dan sebagainya.

Walaubagaimanapun, hanya seorang ulama sahaja yang tidak membenarkan melukis gambar pohon-pohon yang mengeluarkan buah. Ulama tersebut adalah Al-Imam Al-Mujahid.

Oleh itu, sekiranya seseorang pelukis ingin melukis gambar pokok yang berbuah, maka berdasarkan pandangan kebanyakan para ulama, hukumnya adalah dibolehkan.

Jawapan Kepada Soalan Yang Ditujukan

Hukum Melukis Objek Manusia Atau Binatang



Berbalik kepada soalan yang ditanya, ia berkisar berkenaan hukum melukis gambar objek yang hidup yang terdiri daripada burung.gifmanusia dan haiwan. Sememangnya para ulama berselisih pandangan dalam masalah ini. Ini kerana mereka berbeza pandangan dalam memahami hadith Rasulullah yang zahirnya melarang lukisan.

Para fuqaha di dalam 3 mazhab utama iaitu mazhab Al-Imam Abu Hanifah, Al-Imam Al-Syafie dan Al-Imam Ahmad ibnu Hanbal tidak membenarkan sama sekali seseorang individu melukis gambar objek-objek yang hidup daripada manusia dan binatang. Para ulama di dalam tiga mazhab ini juga mengharamkan seseorang daripada mengukir patung-patung yang menyerupai manusia ataupun binatang.

Cuma di dalam Mazhab Al-Imam Malik, para fuqaha mazhab ini (Al-Malikiyyah) berpandangan bahawa hukum melukis gambar yang sempurna bagi manusia dan haiwan adalah dibenarkan sekalipun hukumnya adalah makruh.

Ini bermakna sekiranya seseorang berniat untuk tidak melukis gambar manusia dan haiwan yang sempurna, maka dia akan mendapat pahala kerana meninggalkan perbuatan yang makruh. Namun sekiranya dia tetap melukis gambar objek hidup secara sempurna, dia tidaklah berdosa tetapi dia tidak akan mendapat sebarang pahala.

Berdasarkan jawapan di atas jelaslah kepada kita bahawa:

Melukis gambar objek yang hidup sama ada gambar manusia atau binatang adalah dibenarkan oleh para fuqaha dalam Mazhab Al-Imam Malik selagi mana gambar tersebut dalam bentuk lukisan atau ukiran. Walaubagaimanapun Al-Malikiyyah (ulama di dalam mazhab Al-Imam Malik) tetap menganggap melukis gambar manusia atau binatang adalah makruh sekiranya gambar objek bernyawa tersebut adalah sempurna.

Namun sekiranya anda ingin memegang pandangan yang mengharamkan sebarang lukisan yang menggambarkan objek manusia atau binatang, maka berdasarkan kaedah:

الْخُرُوْجُ مِنَ الْخِلاَفِ مُسْتَحَبٌّ

yang bermaksud: "Keluar daripada titik perselisihan adalah disunatkan", maka tindakan anda adalah dialu-alukan. Ini kerana apabila anda tidak melukis gambar manusia atau binatang, anda tidak melakukan perbuatan yang haram sama sekali sama ada berdasarkan pandangan yang mengharamkan sebarang gambar manusia dan binatang atau pandangan Al-Malikiyyah yang membolehkan seseorang untuk melukis gambar manusia atau binatang.

Walaupun begitu, ini tidak bermakna bahawa seseorang yang berpegang dengan pandangan Al-Malikiyyah adalah berdosa dan wajib diperbetulkan. Ini kerana apabila para ulama berbeza pandangan dalam menetapkan hukum terhadap sesuatu perbuatan, maka seseorang muqallid (individu yang tidak sampai ke tahap mujtahid) berhak untuk meilih mana-mana pandangan tanpa menerima sebarang dosa.

Hukum Gambar Fotografi



Gambar fotografi adalah dibenarkan selagi mana gambar yang diambil tidak diharamkan untuk dilihat. Oleh itu, apabila seseorang mengambil gambar temannya dalam keadaan si teman menutup aurat, hukum mengambil gambar tersebut adalah dibenarkan. Jelasnya mengambil gambar manusia yang yang tidak menutup aurat adalah diharamkan.

Gambar yang berwarna ataupun hitam putih adalah sama dari sudut hukum. Keadaan gambar tersebut adalah hitam putih atau berwarna bukanlah penentu kepada sesuatu hukum.

Hukum Menggantungkan Gambar Di Dinding

• Hukum menggantungkan gambar selain dari gambar manusia dan haiwan adalah dibenarkan. Contohnya gambar tumbuh-tumbuhan dan alam semulajadi.

• Namun sekiranya gambar yang digantung adalah gambar manusia atau haiwan yang sempurna, maka berdasarkan pandangan Al-Malikiyyah, hukumnya adalah makruh sekiranya gambar tersebut digantung atau dimuliakan.

• Sekiranya gambar tersebut tidak dimuliakan, contohnya gambar yang ada pada hamparan, bantal, selipar, kasut dan sebagainya, maka tindakan menggunakan dan menyimpan barang-barang tersebut adalah tidak digalakkan. Ini kerana yang sebaiknya adalah tidak menggunakan langsung sebarang gambar kepada objek hidup.

• Walaubagaimanapun, berdasarkan pandangan para ulama selain daripada Al-Malikyyah, mereka mengharamkan seseorang individu untuk menggantungkan sebarang gambar manusia atau binatang yang sempurna.

• Sekiranya gambar yang ingin digantung adalah gambar manusia atau haiwan yang tidak sempurna seperti gambar kepala manusia sahaja, gambar kepala seekor singa, gambar seekor lembu tanpa kepala dan gambar manusia yang dadanya berlubang, maka kebanyakan para ulama membenarkannya tanpa ada sebarang hukum makruh.

Hadith Yang Menunjukkan Seolah-Olah Pelukis Mencabar Allah

• Berkenaan dengan hadith yang zahirnya menunjukkan bahawa lukisan benda yang bernyawa adalah seakan-akan mencabar ciptaan Allah, bagi para ulama yang berpandangan bahawa lukisan objek manusia dan binatang yang sempurna adalah haram, mereka menjadikan pengharaman tersebut kerana hadith Rasulullah menunjukkan bahawa orang yang melukis objek benda yang bernyawa telah mencabar Allah Taala.

• Namun bagi para ulama yang tidak berpandangan bahawa lukisan gambar manusia dan haiwan adalah haram, mereka berpandangan bahawa maksud lukisan gambar yang membawa kepada mencabar Allah Taala adalah hanya apabila gambar yang dilukis bertujuan untuk disembah

ataupun

• Orang yang melukis tersebut sendiri ingin menjadikan lukisannya sebagai satu cara untuk menyatakan kepada orang lain bahawa dia mampu melakukan sebagaimana Allah menciptakan sesuatu objek. Ini bermakna si pelukis sendiri yang berniat untuk mencabar kehebatan Allah dalam mencipta alam.

• Sekiranya si pelukis tidak berniat untuk mencabar atau menandingi Allah Taala dan lukisan yang dibuat bukanlah untuk disembah, maka para ulama yang tidak mengharamkan lukisan akan menyatakan bahawa tiada sebarang sebab yang boleh mengharamkan lukisan.

Penutup.

Perbincangan berkaitan dengan hukum gambar adalah satu perbincangan yang akan memperlihatkan perbezaan pandangan para ulama dalam menentukan hukum. Walaupun ada hadith yang zahirnya menunjukkan bahawa melukis adalah haram, tetapi para ulama berselisih pandangan dalam memahami hadith-hadith tersebut sehingga menyebabkan pandangan yang pelbagai dalam masalah hukum melukis.

Kita sebagai orang Islam wajib untuk menghormati perselisihan pandangan ini dengan tidak memaksa umat Islam yang lain memilih hanya satu pandangan daripada pandangan-pandangan yang pelbagai. Ini kerana setiap pandangan mempunyai sandaran dan hujah ilmu yang diceduk daripada Al-Quran, Al-Sunnah dan dalil-dalil feqh yang lain.

Kita juga tidak boleh mencemuh pandangan sebahagian para fuqaha sekiranya pandangan mereka tidak sama dengan pandangan mazhab yang kita pegangi.

Perbezaan pandangan para fuqaha adalah rahmat buat umat Islam. Semoga perbezaan pandangan dalam masalah khilafiyyah tidak akan membawa kepada perpecahan umat Islam.
Wallahu A'lam.

Rujukan utama adalah Mausu`ah Fiqhiyyah Quwaitiyyah.



المستدرك على الصحيحين



iaitu gambar yang dilukis adalah gambar manusia atau binatang yang sempurna yang sekiranya objek tersebut hidup, dia akan mampu untuk terus hidup. Contohnya gambar seorang manusia yang cukup dengan kepala dan badan. Bukankah sekiranya seseorang itu hanya dilahirkan dengan mempunyai kepala dan badan, dia masih mampu untuk hidup? Namun sekiranya gambar yang dilukis hanyalah gambar kepala sahaja atau gambar manusia tanpa kepala, maka hukum gambar seperti ini adalah diharuskan tanpa ada sebarang hukum makruh. Hukum makruh di sisi Mazhab Al-Imam Malik hanyalah sekiranya gambar yang dilukis adalah gambar manusia atau binatang yang sempurna.


http://www.pmram.org/index.php?option=com_content&view=article&id=929:hukum-melukis-gambar-menurut-pandangan-islam-&catid=7:ilmiah&Itemid=69
Read rest of entry

PENGGODA CINTA YANG MALU...



Ada yang bertanya mengapa diri tertanya-tanya juga, kenapa cinta selepas kahwin (yang usianya telah bertahun-tahun) tidak sehangat dulu. Dulu, berpisah terasa rindu… tetapi kini lain sekali. Walaupun masih ada rasa rindu, tetapi tidak lagi sehangat dulu. Rinxdu itukan buah cinta, jika tidak ada rindu ertinya tidak ada buah cinta. Cinta yang tidak berbuah, tentulah cinta yang layu!

Bila berjauhan, ada juga berkirim sms, tetapi tidaklah sekerap dulu. Sekadar bertanya, apa khabar di sana? Macam mana anak-anak? Atau sekadar minta doanya. Tidak ada lagi kalimah cinta berbunga-bunga. Atau pujuk rayu yang sayu-sayu. Ah, biasa-biasa sahaja.

Betulkah selagi cinta itu diburu, ia akan indah. Tetapi bila ia telah dimiliki, keindahannya akan pudar sedikit demi sedikit. Kata orang tua dahulu, bila jauh (masih belum dimiliki) berbau bunga, bila dekat (sudah hari-hari di sisi) keharumannya tiada lagi. Ah, begitukah adat dunia?

Kata sesetengah lelaki (entah species mana), wanita kelihatan cantik selagi tidak menjadi isteri kita. Setelah menjadi isteri, kecantikannya akan hilang. Jika semua lelaki berpandangan begitu, rosaklah dunia. Ini semua gara-gara nafsu yang tidak pernah puas dengan apa yang ada. Kehendaknya tidak terbatas. Kerenahnya tidak kenal puas. Melayani nafsu bagai meminum air laut, semakin diminum semakin haus.

Kata orang itulah sebabnya lelaki berpoligami. Dia tidak cukup dengan satu. Hujjah itu salah sama sekali. Jika lelaki itu rakus nafsu, bukan setakat dua, tiga dan empat, bahkan lima, enam, tujuh wanita sekalipun dia tidak akan pernah puas. Lihat sahaja Tiger Woods yang mengaku berselingkuh dengan 120 wanita! Poligami bukan untuk maladeni (melayan) nafsu lelaki ini , tetapi kerana ada hikmah lain yang lebih murni.

Kita tinggalkan lelaki yang bersifat ‘jantan’ itu. Mari kita bicarakan soal wanita pula. Wanita yang telah menjadi isteripun ada salahnya. Selepas sahaja dia bergelar isteri, semuanya menjadi terlalu ‘murah’. Tidak semahal seperti sebelum kahwin dahulu. Malunya sudah kurang. Tidak pandai ‘jual mahal’ untuk mendapat perhatian suami.

Jika dulu puas berlangir, berbedak, berhias sebelum bertemu suami, setelah berkahwin lain pula ceritanya. Bau badan tidak dijaga, asyik ‘mendedah aurat’ (maksudnya berpakaian tidak sempurna) tanpa mengira masa dan tempat. Bila setiap masa terdedah, di mana indahnya? Ingat selalu, seni memikat hati suami. Apa salahnya menggoda suami sendiri?

Kalau dahulu suapan makanan pun dijaga, dibuat penuh tertib dan kecil-kecil. Menguyah makanan pun tidak kedengaran bunyinya. Sunggup sopan, persis gadis pingitan. Maaf, lepas beberapa bulan berkahwin, kesopanan dan ketertiban itu semakin mengurang. Cara duduk, tidak dijaga lagi. Menguap tanpa menutup mulut. Suaranya… tidak semerdu, ketawa, ha.. ha.. ha.. berdekah-dekah. Mana hilang malunya?

Jangan terkejut jika kita ‘menjual’ terlalu murah, orang akan meragui kualitinya. Suami akan berhenti ‘memburu’ anda jika anda terlalu jinak dan murah. Ini bukan bermaksud untuk mendorong anda menjadi terlalu liar atau terlalu mahal… tetapi belajarlah malu-malu seperti mula-mula kahwin dahulu. Insya-Allah, suami anda akan menjadi pemburu yang merancang seribu satu taktik dan strategi untuk memikat dan mendapatkan kasih-sayang anda. Biar dia menjadi pemburu cinta mu!

Jika isteri berjaya mengekalkan rasa malu, dia akan dapat mengekalkan sifat, kelakuan dan personaliti yang menarik perhatian suami. Dia akan dirindui bila jauh, akan disayangi bila dekat. Dia dilihat cantik sebelum bergelar isteri dan akan menjadi lebih cantik selepas itu. Sesungguhnya, malu itu satu perhiasan dalaman sama seperti permata yang menjadi hiasan luaran.

Ya, seperti permata. Ia selalu disimpan dalam bekas yang cantik. Diletakkan dalam almari dan dikunci. Hanya sekali-sekali dibuka dan untuk orang yang tertentu sahaja. Permata tidak dipamerkan merata-rata atau dibiarkan terdedah sentiasa. Jika terdedah sentiasa, itu bukan permata, itu hanya kaca. Maka begitulah dengan malu. Ia akan mendorong siisteri mengekalkan keanggunan, perhiasan diri dan kejelitaannya.

Belajarlah dari bulan mengambang. Bulan hanya mengambang sekali-sekala… Bulan tidak mengambang setiap malam… kerana dengan mengambang sekali-sekala itulah pungguk jadi perindu, manusia tertunggu-tunggu. Begitulah isteri yang masih malu, suami akan menjadi perindu.

Bagaimana pula gaya seorang perindu? Ah, memburu cinta perlu bergaya. Jika yang diburu itu indah, yang memburu juga akan memperindahkan dirinya. Kita tidak akan menyentuh permata dengan tangan yang kotor. Kita tidak akan tega mengusapnya dengan tangan yang berbau. Yang indah perlu disentuh dengan yang indah jua. Yang harum perlu ditantang dengan yang harum juga.

Jadi bagaimana? Ya, bukan untuk para isteri sahaja, untuk suami juga perlu ada malunya. Jika anda inginkan isteri anda berhias, anda bagaimana? Tegakah kita asyik berkain pelikat, berbaju T dengan perut ‘boroi’, rambut kusut tak bersikat tetapi mengharap isteri tampil sebagai ratu untuk melayan kita? Maaf, kalau itulah ‘umpannya’ anda akan dapat ‘ikan’ yang begitu juga.

Ingat selalu hukum pantulan, apa yang kita berikan akan kita terima semula sebagai balasan. Jika buruk yang kita tampilkan, maka yang buruk juga akan datang sebagai balasan. Begitulah juga dengan hukum tarikan, yang baik akan menarik yang baik, yang cantik akan menarik yang cantik.

Suami inginkan isteri berubah, tetapi kenapa anda berada ditakuk lama juga? Ingat, perubahan andalah yang akan merubah orang lain. Ubahlah penampilan diri. Kalau isteri jadi penggoda, anda harus jadi pemikat. Bagaimana ya? Jangan tanya bagaimana, jika kita sudah ada kemahuan. Kemahuan akan menyebabkan anda memperoleh pelbagai cara. Kata orang, dunia akan menyediakan jalan kepada orang yang mempunyai tujuan.

Jadi, bertanyalah dengan diri, mana minyak wangi yang menjadi daya pemikat isteri waktu mula bertemu dahulu? Mana kata-kata manis yang menjadi madah cinta waktu bercanda dulu? Mana wajah prihatin, muka simpati dan empati serta senyuman yang ikhlas ketika mula-mula bersama dulu? Carilah, kita tidak terlalu tua untuk itu. Apakah ada had usia untuk melakukan suatu kebaikan?

Usahakan semula segalanya dengan membina semula rasa malu. Dan ingat bahawa rasa malu itu ada kaitan dengan iman. Iman dan malu lazim berlaziman. Jika terangkat iman, terangkatlah juga rasa malu. Sebab itu kata hukama, “bila kau hilang malu lakukanlah segalanya.” Maksudnya, bila rasa malu hilang, kita tidak akan fikir haram dan halal lagi… semuanya dilanggar tanpa segan-silu lagi. Antara ciri isteri yang solehah ialah isteri yang mengekal rasa malunya terhadap suami sehingga hidung suami tidak mencium sesuatu yang busuk dan mata suami tidak akan terpandang sesuatu yang buruk padanya.

Ya, diantara perbezaan insan dengan haiwan, selain insan punya fikiran ialah rasa malu. Malu itu sesuatu yang sangat berharga, ia adalah perhiasan di depan orang yang kita sayangi. Bahkan dalam Islam, malu dan iman sering disinonimkan. Ertinya, untuk mencari semula rasa yang malu yang dulu, samalah seperti menyusur semula jalan iman. Jika kita temui iman, maka secara automatik akan ada rasa malu.

Rasulullah SAW sendiri sangat menghargai sifat malu. Sehinggakan baginda akan berhias dan bersedia lebih daripada kebiasaannya apabila Sayidina Usman datang menemuyinya. Kenapa? Ini kerana sayidina Usman adalah seorang sahabat yang begitu terkenal dengan sopan santun dan malunya.

Inilah malu yang bertempat dan tepat pula masanya. Justeu, suburlah rasa cinta dalam rumah-tangga dengan menyuburkan semula rasa malu.

TELADAN CINTA KITA

Dia pahlawan yang dimuliakan wajahnya
Dia puteri dari zuriat yang mulia
Ali pewaris keberanian dan kebenaran
Fatimah titipan kesabaran dan kesucian
Persandingan itu…
di pelamin kemiskinan

Fatimah…
Puteri terpuji, isteri teruji,
Suami di medan jihad
Kau bermandi keringat
Jauh-jauh mencari air…di padang pasir
Di sengat sinar mentari
Sedikitpun tidak kau kesali
Untuk suami, kerana Ilahi

Ali…
Pahlawan unggul, ilmuan tersohor,
Syair setajam senjata
Gagah sekukuh kota
Kau kunci gedung nubuwwah
Kau fakir yang pemurah
Kau wira di sebalik selimut hijrah
Berkorban nyawa untuk Rasulullah

Ali & Fatimah…
Subuh itu mereka berdua bertemu Nabi
Lalu diluahkan ketandusan upaya
Betapa tenaga seakan tak mampu lagi
Untuk menanggung beban keluarga
Sudilah kiranya dihadiahkan seorang sahaya

Tersenyum Rasulullah mendengar rintihan
Lalu diberikan zikir sebagai gantian
Tiga kalimat sarat keberkatan
Subhannallah, Alhamdulillah, Alllah hu Akbar
Lalu esoknya mereka datang lagi…
Bersama satu kelapangan dan kekayaan hati
Cukuplah kami tak perlu apa-apa lagi!

Mereka miskin harta tapi kaya jiwa
Sering berpisah tapi tak gundah
Mereka bercinta kerana Allah

Indahnya mempelai di pelamin kemiskinan
Bila bersanding dua kemuliaan..
Seorang lelaki bergelar karamallahuwajjah,
seorang wanita yang az zahrah!

(…Sajak nukilan lama yang telah diangkat menjadi Nasyid)
Read rest of entry

SAAT BERPISAH



Sebaik-baik penasihat ialah kematian. Namun, mana mungkin orang yang pernah mati datang kepada kita untuk menasihatkan? Mengingatkan mati, menakutkan. Manusia akan takut pada apa yang tidak diketahuinya.

Semuanya masih misteri. Hanya tinggal Al Quran dan Al Hadis untuk kita rujuk bagi mengetahui tentang kematian. Namun berapa kerat antara kita yang berbuat demikian… Cerita tentang kematian akan mematikan rasa kemanisan menikmati hidup ini. Dan akibatnya, mati terus mati dalam hidup kita!

Jika seseorang mengingati mati, akan mudah hatinya dilentur kepada makrufat dan makrifat. Jika mengingati kematian jiwa akan jeran dan bosan dengan maksiat dan sayyiat (perkara yang buruk). Jika mati itu hidup di dalam hati kita…kita akan mudah memberi dan meminta maaf. Kita akan mudah bersabar dan bertenang dengan karenah insan. Nikmat dosa akan sirna dengan mengingati mati. Azab taat akan kecil bila teringat saat kembali.

Ketika hatimu jemu dengan ketaatan, mula tergiur dengan kemaksiatan… kenang-kenangkanlah SAAT BERPISAH

Saat perpisahan itu pasti tiba. Dan tidak ada masa yang sesuai untuk saat itu. Kita datang tidak diminta, kita pulang tidak diduga. Bila sanggup hidup, mesti sanggup mati. Bila sanggup datang, mesti sanggup pulang. Kita hanya menghabisi bilah-bilah hari yang telah ditentukan. Tujuan ke sini untuk diuji… tiba masanya pasti kembali!

Mengapa terlalu enggan untuk berpisah? Nikmat sangatkah dunia ini? Padahal senang dan susah bertukar ganti, suka dan duka datang dan pergi. Tidak ada yang kekal lama, semuanya bersifat sementara. Jika mati tidak memisahkan, kesenangan ini pun akan pergi jua. Kata mereka yang arif tentang kehidupan:
“Manusia lahir bersama tangisan, dicelahi kehidupannya oleh tangisan dan akan dihantar ke pusara oleh tangisan.”

Pernahkah ada kesenangan yang abadi dan hakiki? Tidak ada. Justeru, hiduplah berpada-pada. Hiduplah bagai musafir lalu yang singgah bagaikan dagang di rantau orang. Hatinya tetap merindui kampung halaman. Hiduplah bagai orang yang sedang menyeberangi satu jambatan. Tidak sudi berlama-lama kerana di situ hanya sementara. Kakinya melangkah kencang justeru jiwanya sudah di seberang.

Hidup mesti sederhana kerana dunia ini sementara. Sederhana itu bukan pada ringgit dan harta tetapi pada jiwa dan rasa. Jangan terlalu gembira, jangan terlalu berdukacita.

Tidak ada kesenangan yang tidak diiringi kesukaran dan tidak ada kesukaran yang tidak diiringi kesenangan. Selepas ketawa, pasti menyusul air mata. Selepas nestapa pasti kegembiraan menjelma. Allah memberikan kita terang… untuk bersyukur. Allah berikan kita gelap… untuk bersabar.

Jadilah insan lara yang temannya mujahadah dan taubat. Sentiasalah berusaha menjadi insan yang baik walaupun masih digamit oleh ghairah kejahatan dan dosa. Jatuh, bangun kembali. Jatuh, bangun lagi.

Ukirlah seribu taubat walaupun telah berkali-kali ia dimungkiri. Allah tidak akan jemu dengan taubat hamba-Nya selagi kita tidak putus asa kepada-Nya. Tempuhi jalan mujahadah sekalipun langkahmu pernah goyah. Jangan mengalah. Kau tidak akan kalah selagi tidak mengalah.

Luruskan jalan menuju Tuhan dengan tulusnya hati sesama insan. Elakkan hasad, jauhi mengumpat. Jika tidak mampu menambah, jangan mengurang. Jika tidak mampu menjulang, jangan menghalang. Ingat selalu kata hukama:
“Jika tidak mampu menjadi garam yang memasinkan ikan, jangan jadi lalat yang membusukkannya.”

Jika tidak dapat mengucapkan perkataan yang baik, banyakkan diam. Jika memberi nasihat dirasakan terlalu berat, cukuplah dengan menghulurkan doa dan munajat. Setiap kita mempunyai kelebihan. Kata orang, Tuhan tidak mencipta manusia bodoh… Tuhan mencipta manusia dengan kebijaksanaan berbeza.
Justeru, carilah apakah “kebijaksanaan” itu kerana itulah saluran kita untuk berbakti. Ketika rasa takut singgah oleh kebimbangan dijemput maut… katalah pada diri, bila berdepan dengannya kita akan lupa segala-galanya. Kesayangan yang kita takutkan kehilangannya, kecintaan yang kita bimbangkan perpisahan dengannya, akan menjadi sedebu bila berdepan dengan detik itu.

Kita akan terlupa akan jalan yang telah jauh kita tinggalkan di belakang kerana memandangkan jalan yang lebih jauh merentang di hadapan. Nikmat dunia akan kita lupakan sebaik sahaja melihat azab di akhirat. Dan azab di dunia akan kita lupakan setelah melihat nikmat di akhirat.

Sesungguhnya mati itu bukan satu pengakhiran tetapi ia satu permulaan kepada satu kehidupan yang lebih sejati dan hakiki. Mati itu hanya proses perpindahan – dari alam dunia ke alam barzakh. Sama seperti kelahiran – proses berpindah dari alam rahim ke alam dunia.

Ya, kalau sanggup datang. Mesti sanggup pulang. Hati sewajarnya sentiasa merasa bertemu tak jemu, berpisah tak gelisah. Bukankah kita bertemu untuk berpisah? Dan berpisah untuk bertemu? Semoga kembara kita di dunia akan tiba bersama di hujung destinasinya… syurga!

Pada kita, cuma pasrah…

PASRAHTuhan,
Pada Mu aku pasrah
akur, alah dan menyerah
Seluruhnya sudah pudar
cintaku kian tercalar

Tuhan,
Senjaku semakin dekat
Di sumur dosa aku melarat
di hujung umur kupasti kembali
sedang hatiku tak suci lagi

Tuhan,
Langkahku entahkan mati
mendaki kasihMu nan tinggi
namun cintaku bukan palsu
walaupun sering terganggu

Tuhan,
kekadang terasa sayang-Mu
bersama kurnia hidayah
kekadang terasa murka-Mu
seiring patahnya mujahadah

Tuhan,
terlerai ribuan taubatku
terungkai semua janjiku
kataku sering mungkir
CintaMu sering terpinggir

Tuhan,
Aku masih setia
mengemis di jendela usia
terus mencari wajah diri
menadah keampunan Ilahi!
Read rest of entry

Thursday, May 6, 2010

FORMAT LAPORAN PENCAPAIAN j-QAF 2010 Terbaru!



Berikut antara bahan untuk kegunaan Format Laporan Pencapaian j-QAF 2010 :

a. Al-Quran 6 Bulan Tahun Satu.
b. Jawi ( Tahun 1 - 6 ).
c. Bahasa Arab ( Borang Skala Kadar Tahun 1 - 2)
d. Bahasa Arab ( Soalan Tahun 3 - 6 ).
e. Modul Latih Tubi Bahasa Arab ( Tahun 5 & 6 )

Sila download nombor yang terahir :
1.

KOLEKSI SOALAN FORMAT LAPORAN PENCAPAIAN j-qaf 2010


( Ada ralat soalan bahasa arab tahun 5 & 6 )

2.

KOLEKSI SOALAN FORMAT LAPORAN PENCAPAIAN j-qaf 2010

Terbaru!

* Makluman, Format Laporan Pencapaian j-QAF akan menyusul. Insya-Allah.

FORMAT LAPORAN PENCAPAIAN j-qaf 2010 (e-laporan)

Terbaru!
Read rest of entry
 

PAUTAN MINI




 

KOKURIKULUM

SOCUT PERAK SCOUT MALAYSIA PUTERI ISLAM PBSM KRS

My Blog List

Recommended Gadget

  • ads
  • ads
  • ads
  • ads

Followers

About Me

Abu Ruqaiyah, Tn. Hj. Mohamad Sahrin Bin Kadmo. Salah seorang pereka elaporan program j-QAF untuk kegunaan pihak Sekolah, PPD, JPN & BPK.