Monday, December 14, 2009
BIMBINGAN ILAHI : EMAS PENUH DUNIA
Sesungguhnya mereka yang kufur dan mereka mati dalam kekufurannya, Maka tidak akan diterima dari seseorang diantara mereka emas yang memenuhi bumi, walaupun dia ingin menebus diri mereka dengan emas (yang sebanyak) itu. Mereka semua akan mendapat azab yang sangat pedih dan tidak ada sesiapa yang akan menolong mereka.
Surah Aal Imran ayat 91
Di dalam suasana kehidupan dunia hari ini di mana ramai manusia mengejar kehidupan dunia. Malah sudah menjadi adat dan budaya masyarakat kita mengukur kemuliaan dan kehebatan seseorang itu dengan nilai harta benda. Sesiapa yang memiliki banyak harta akan dihormati dan disegani. Manakala sesiapa yang tidak mempunyai banyak harta tidak di rai dan dimuliakan.
Di dalam ayat 91 surah Aali Imran ini Allah menerangkan kepada kita bahawa sesiapa yang kufur dan engkar kepada Allah sedangkan kehidupan mereka amat berjaya di atas dunia ini. Malah kejayaan dan kekayaannya di gambarkan sebagai memiliki emas memenuhi muka bumi bukan sekadar wang berjuta-juta dollar di bank. Orang yang paling kaya di atas muka bumi ini pun hanya memiliki harta yang masih boleh dikira dengan angka. Bill gates yang telah diisytiharkan sebagai manusia paling kaya di dunia bagi tahun 2009 pun hanya memiliki USD40 ribu juta sahaja. Kekayaannya ini masih belum cukup untuk memenuhi sebuah kampung dengan emas atau mungkin sebuah rumah pun tidak!
Bill gates telah di isytiharkan sebagai manusia paling kaya bagi tahun 2009
Allah menyebut tentang nasib orang yang engkar kepadanya dan tidak mengaku kekuasaan dan ketuanan Allah dan mereka berterusan hidup di dunia ini dalam keadaan sedemikian sehinggalah mereka meninggal dunia. Mereka ini jika tidak menerima Islam sebagai agama atau tidak mengaku ketuanan Allah kekayaan mereka ini tidak mampu untuk menebus kesalahan mereka. Allah menegaskan walaupun memiliki emas memenuhi bumi pun Allah tidak akan menerimanya.
Mereka yang engkar ini walaupuu mereka kaya dan di pandang mulia di atas muka bumi ini akan di azab dan di siksa oleh Allah dengan azab yang sangat pedih. Tiada sesiapa pun yang akan membantu dan memberi pertolongan kepada mereka di akhirat nanti.
Di dalam kehidupan seharian kita ini pun kita dapat lihat bahawa penilaian masyarakat Islam sendiri agak terpesong dari apa yang sepatutnya. Sudah menjadi lumrah bahawa mereka yang kaya dan memiliki harta yang banyak di hormati dan disegani oleh setiap lapisan masyarakat berbanding dengan mereka yang menjadikan Islam sebagai pegangan hidup seharian. Mereka yang menjaga syariat Islam biasanya di pandang remeh, kolot, tidak berfikiran kehadapan. Bahkan ada yang berpandangan orang Islam yang kaya adalah mereka yang patut dicontohi dan diteladani walaupun kehidupan mereka tak selaras dengan garis panduan yang telah diberikan oleh Allah.
Marilah kita sama-sama mendidik diri kita dan juga ahli masyarakat kita agar memperkuatkan tunjang akidah kita bahawa kehidupan di dunia ini adalah sementara. Kehidupan di Akhirat adalah merupakan kehidupan yang sebenar yang abadi. Harta kekayaan di dunia ini hanyalah sekadar perhiasan untuk menyenangkan mata memandang. Apa yang paling bernilai di sisi Allah di Akhirat nanti ialah Keimanan dan ketaqwaan. Pahala adalah merupakan indicator atau kayu ukur untuk mengukur untuk memperjelaskan kiraan tahap ketaqwaan kepada Allah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment