Sunday, April 4, 2010

IJAB JANGAN TERHIJAB!



Dahulu melafaz qabul, “aku terima nikah…” Sebentar tadi baru melafazkan ijab, “aku nikahkan akan dikau.” Puluhan tahun berlalu. Jarum waktu bergerak begitu laju dalam arlogi takdir dan tadbir. Kalau dulu hatiku bergetar kerana menerima tanggung-jawab, kini hatiku bimbang kerana ’melepaskan’ tanggung-jawab.

Bagaimana, mampukah aku mendidik isteriku? Begitulah suara hati ketika tanganku bersalaman dengan Qadi puluhan tahun yang lalu. Sejuk, dingin, terasa meresap ke seluruh anggota. Sejak saat itu ’masjid’ yang dibina menagih seribu usaha, sejuta setia. Telah banyak kepedihan yang ditagih menjadi baja keteguhan. Hidup tidak selalu indah, kerana di situlah keindahan hidup. Yakin hakikat itu… suami-isteri berkayuh air mata menongkah badai gelora!

Jika matlamat telah tepat, apakah ada pilihan lain selain meneruskan perjalanan?Layang-layang hanya naik apabila melawan angin, bukan mengikutnya. Dan begitulah jua hidup ini, dengan ujian barulah naik darjat kita di sisi Allah.

Hidup selagi hidup. Jangan hidup sebagai bangkai bernyawa, yang hilang semangat dan upaya.Kata bijak pandai, “jika tidak ada apa yang boleh menggembirakanmu, jika tidak ada apa yang boleh menyedihkanmu, dan jika tidak ada apa lagi yang ingin kau perjuangankan dalam hidupmu… Itu petandanya kau sudah mati.

Zahirnya sahaja kau masih bernyawa, tetapi hakikatnya kau adalah ‘mayat’ dalam keranda maya.” Alhamdulilah, sampai kini aku masih mampu ketawa dan menangis… masih menyala cita-cita dan harapan… petanda aku masih hidup.

Itu ceritaku sewaktu bernikah dulu. Tetapi kini cerita anakku. Maaf, hakikatnya ini bukan ceritaku, tetapi cerita kita – rumahtanga ayah-ibu sebagai pantulan rumahtanga anak-menantu. Ketika ku lepaskan kalimah ijab, baru kusedar bahawa kekadang ’melepaskan’ tanggungjawab adalah lebih berat daripada menerimanya. Apakah anakku (dan anakmu jua) akan tega dan rela menjadi isteri sesetia ibunya? Apakah dia akan menerima segala ’kekurangan’ suami sebagai kesempurnaan dalam rumahtangga?

Tempoh bulan madu akan segera berlalu. Pelangi yang kelihatan indah di atas kepala kita akan mula berarak ke kepala orang lain. Ingat pesanan ayah-ibu sejak dahulu: Kebaikan mesti bermula daripada kita.

Hukum lantunan dalam kehidupan tidak akan pernah berubah – orang yang pertama mendapat manfaat daripada satu kebaikan ialah orang yang melakukannya. Tangan yang menghulur bunga mawar, pasti berbau harum. Justeru, jadilah ’tangan itu’.

Memberi akan lebih gembira daripada menerima… dengan syarat pemberian itu disertai kasih-sayang. Sekiranya, rumah-tanggamu nanti diuji (ingat, ini pasti)… dan kau dan suami tidak segembira saat ini, renungilah kata-kata ini: Itu petanda kau sudah kurang ’memberi’ – memberi kasih-sayang, perhatian, masa, doa dan segalanya.

Mengapa kurang memberi?Jawabnya, kerana tidak gembira untuk memberi. Mengapa tidak gembira? Jawabnya, kerana kurangnya kasih-sayang. Kenapa kasih-sayang berkurang? Jawabnya, kerana lemahnya iman. Iman itu sumber kasih-sayang. Iman itu sumbu pada lentera perkahwinan. Tanpanya, ijab akan terhijab!

Lalu di hari bahagia mu ketika di satukan, ayah ingin berpesan. Inilah pesan ayah seadanya:

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah Tuhan Sekalian Alam. Syukur ke atas anugerah-Nya yang melimpah tanpa dapat dihitung apatah lagi dibalas oleh hamba-hamba-Nya.

Selawat serta salam kepada Nabi Muhammad SAW yang telah menunjukkan teladan terbaik sebagai seorang anak, suami, ayah dan datuk yang berjaya memimpin keluarganya, demi kebahagian dunia dan akhirat.

Hari ini adalah hari yang paling bermakna ayah. Alhamdulillah, sebentar tadi telah sempurnalah ijab kabul anak ayah. Semoga pernikahan ini diberkati Allah dengan kebahagiaan berpanjangan dari dunia hinggalah ke syurga. Amin.

Sebagai ayah, hati ayah gembira bercampur sedih. Gembira, kerana anak ayah telah mendapat pasangan pilihan hatinya dengan direstui oleh ayah. Sedih, kerana ayah terpaksa melepaskan anak yang selama ini menyejukkan hati.

Sebentar tadi telah berpindahlah amanah dari tangan ayah kepada menantu ayah. Ayah doakan amanah ini akan dijaga dengan sebaik-baiknya. Jauh di sudut hati, ayah tetap yakin, Insya-Allah, Allah tidak akan mensia-siakan harapan itu kerana kau adalah anak yang baik. Allah tidak akan sekali-kali mengecewakan hamba-Nya yang baik. Insya-Allah.

Pesan ayah kepada anakanda yang dikasihi… berilah ketaatan dan kebaikan yang selama ini kami rasai kepada suamimu nanti. Insya-Allah, kami juga akan turut merasai keberkatan dan kebahagiaan itu.

Dan ayah yakin, walaupun telah mendirikan rumah tangganya sendiri, kau dan suamimu akan terus berbakti kepada kedua ibu-bapa seperti biasa, malah akan meningkat lagi. Insya-Allah.

Pergilah. Allah bersamamu. Doa ayah mengiringi setiap langkah di alam rumahtangga mu nanti. Muga suamimu akan menjagamu seperti ayah menjagamu. Ayah akan bersangka baik, justeru Allah itu menurut sangka hamba-hamba-Nya. Insya-Allah bila kita bersangka baik, kita akan mendapat yang terbaik.

Akhirnya, ayah berdoa khusus untuk mu:

Ya Allah kuatkanlah iman kami, satukan keluarga kami, dan kumpulkan hati-hati kami diatas kecintaan kepadaMu, Ya Allah, Ya Karim.Kasihanilah kami Ya Allah, Kasihanilah kaum keluarga kami Ya Rahim, Kau permudahkanlah urusan kami dan luaskan rezki kami dengan rahmat-Mu. Ya Allah, Tuhan yang mengasihani daripada segala yang mengasihani.

Ya Allah, Kau turunkanlah rahmat dan keberkatan di dalam rumah ini. Wahai Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Ya Allah, Kau jadikanlah anak-anak kami ini dalam kalangan anak-anak yang soleh dan solehah. Engkau jadikanlah isteri kami ini dalam kalangan isteri yang solehah. Kau kurniakanlah kebahagian dan ketenangan di dalam rumahtangga kami ini Ya Allah.

Ya Allah, Kau jadikanlan kaum keluarga kami daripada kalangan orang-orang yang rajin mendirikan solat. Kau jadikanlah kaum keluarga kami dalam kalangan orang-orang yang mentaati-Mu. Mudah-mudahan dengan ketaatan ini akan menjadikan kami bertemu dalam keadaan yang baik di akhirat kelak.

Wahai Tuhan kami, terimalah daripada kami permintaan kami. Sesungguhnya Engkau Maha mendengar lagi Maha Mengetahui dan terimalah taubat daripada kami, wahai Tuhan Yang Maha Mulia. Sesungguhnya Engkau Maha penerima taubat lagi Maha Pengasihani.

0 comments:

 

PAUTAN MINI




 

KOKURIKULUM

SOCUT PERAK SCOUT MALAYSIA PUTERI ISLAM PBSM KRS

Recommended Gadget

  • ads
  • ads
  • ads
  • ads

Followers

About Me

Abu Ruqaiyah, Tn. Hj. Mohamad Sahrin Bin Kadmo. Salah seorang pereka elaporan program j-QAF untuk kegunaan pihak Sekolah, PPD, JPN & BPK.