Monday, November 9, 2009

MERDEKAKAH DIRI KITA DARIPADA SYAITAN DAN NAFSU?

Allah s.w.t, menganugerahkan bulan Ramadan untuk memberi peluang kepada kita memerdekakan diri daripada dikuasai oleh syaitan dan juga nafsu. Pada bulan Ramadan, syaitan telah dirantai. Yang tinggal hanyalah nafsu. Berjayakah kita memerdekakan diri daripada godaan nafsu?

Kita boleh mengukur sama ada kita berjaya menundukkan nafsu atau kita yang tunduk kepada nafsu. Jika kita masih melakukan pembaziran, boros berbelanja, hasad dengki dengan kelebihan orang lain, maka bererti kita masih dikuasai oleh nafsu. Demikian juga jika masih malas untuk beribadat terutamanya solat tarawih kerana keletihan akibat makan terlalu banyak ketika berbuka. Ini bererti dia belum merdeka daripada belenggu nafsu dan syaitan.

Al-Khaubawiyi, seorang ulama yang hidup pada abad ke 13 Hijrah menceritakan perihal nafsu. Ketika Allah berfirman kepada nafsu: “Wahai nafsu, mengadaplah kamu!”. Nafsu tidak menjawab, sekadar mendiamkan diri. Lalu Allah berfirman lagi: “Siapakah engkau dan siapakah Aku?.” Lalu nafsu berkata: “Aku adalah aku, Engkau adalah Engkau”. Allah s.w.t menyiksanya di dalam neraka Jahim selama 100 tahun, dan kemudian dikeluarkan. Allah berfirman lagi: “Siapa engkau dan siapakah Aku?”. Jawab nafsu, “Aku adalah aku, Engkau adalah Engkau”. Lalu, pada kali ini, Allah s.w.t menyiksa nafsu di dalam neraka Juu’ (kelaparan) selama 100 tahun, tanpa diberi makan dan minum. Setelah dikeluarkan, Allah s.w.t berfirman: “Siapakah engkau dan siapakah Aku?” Nafsu menjawab: “Aku adalah hamba-Mu yang Engkau ciptakan dan Engkau Tuhanku, yang Maha Agung, pemilik alam ini”.

Demikianlah nafsu yang sifatnya degil dapat ditundukkan apabila kelaparan. Inilah kelemahan nafsu. Maka berpuasa adalah salah satu cara untuk menundukkan nafsu. Jika nafsu dapat ditundukkan, mudahlah untuk mengabdikan diri kepada Allah.

Disamping itu, Allah menganugerahkan akal kepada manusia. Dengan nikmat akal ini, manusia sepatutnya dapat menandingi godaan nafsu khususnya di bulan Ramadan. Pada bulan ini manusia hanya berhadapan dengan nafsu sahaja kerana syaitan telahpun dirantaikan. Sepatutnya manusia lebih mudah untuk keluar daripada cengkaman nafsu kerana syaitan yang menjadi teman setia nafsu telah dibelenggu. Hanya tinggal nafsu sahaja untuk dihadapi oleh akal. Jika akal sempurna dan dibantu dengan cahaya iman, pasti manusia dapat keluar daripada belenggu nafsu dan syaitan. Namun begitu, bukan mudah untuk keluar daripada belenggu nafsu dan syaitan kerana kedua-duanya tidak pernah jemu untuk mengganggu dan seterusnya menyesatkan manusia daripada jalan yang lurus. Hanya orang yang sedar sahaja akan sentiasa berwaspada dengan godaan ini. Kata Saiyidina Ali: “Aku dan nafsu seperti menjaga sekawan kambing. Jika terleka pasti kambing-kambing itu akan terlepas daripada kawalan lalu akan berlakulah kerosakan pada hasil tanaman orang lain”. Itulah perumpamaan nafsu yang mesti sentiasa dikawal dengan rapi.

Mudah-mudahan anugerah Allah iaitu kehadiran bulan Ramadan dapat memerdekakan diri kita daripada belenggu syaitan laknatullah dan juga nafsu. Inilah keistimewaan bulan Ramadan kerana bulan ini mendidik nafsu, supaya kita bebas daripada dibelenggu oleh nafsu dan syaitan. Hanya kepada Allah kita meminta pertolongan.

0 comments:

 

PAUTAN MINI




 

KOKURIKULUM

SOCUT PERAK SCOUT MALAYSIA PUTERI ISLAM PBSM KRS

My Blog List

Recommended Gadget

  • ads
  • ads
  • ads
  • ads

Followers

About Me

Abu Ruqaiyah, Tn. Hj. Mohamad Sahrin Bin Kadmo. Salah seorang pereka elaporan program j-QAF untuk kegunaan pihak Sekolah, PPD, JPN & BPK.