Monday, November 30, 2009

RINDU DAN CINTA UNTUK SIAPA?



Berbicara tentang rindu dan cinta, tidak dapat lari daripada soal hati dan rasa. Ya, rindu dan cinta letaknya di hati – raja dalam kerajaan diri manusia. Sabda Rasulullah saw:
“Bahawasanya di dalam jasad anak Adam ada seketul daging. Apabila baik daging itu, baiklah seluruh anggotanya. Sebaliknya, jika jahat daging itu, jahatlah seluruh anggotanya. Ketahuilah daging itu ialah hati.”
Riwayat Al-Bukhari

Ini bermakna, rindu dan cinta yang harus bersemi di hati mestilah rindu dan cinta yang ‘baik’. Barulah hati akan menjadi baik, dan seluruh anggota jadi baik. Tapi jika rindu dan cinta itu ‘jahat’ maka jahatlah hati. Akibatnya jahatlah seluruh anggota. Kata orang, “berhati-hatilah menjaga hati.” Jangan dibiarkan hati itu penuh dengan rindu dan cinta yang salah… akibatnya terlalu buruk.

Umpama menyerahkan kepimpinan negara kepada seorang yang jahat. Kita tentu tahu apa akibatnya bukan? Pemimpin yang jahat akan melakukan kemungkaran, penzaliman, rasuah dan lain-lain kejahatan yang akan menghancurkan sebuah negara. Maka begitulah hati yang jahat, akan menyebabkan seluruh diri kita terarah kepada kejahatan. Jadi, berhati-hatilah menjaga hati dengan berhati-hati memberi cinta dan rindu.

Sebenarnya, pada siapa kita harus cinta? Pada siapa kita mesti rindu? Mungkin ada diantara kita yang tertanya-tanya. Pada kekasih hati? Atau si dia yang sentiasa diingati. Oh, bukan, bukan… Sebenarnya hati setiap manusia secara fitrahnya mencintai dan merindui Allah. Kenapa dikatakan begitu? Dan benarkah begitu? Baiklah, mari kita fikirkan dan renungkan bersama…

Setiap hati inginkan kasih-sayang, keadilan, kekayaan, keindahan dan lain-lain sifat yang mulia, baik dan sempurna. Tidak ada seorang manusiapun yang tidak inginkan kebaikan, kemuliaan dan kesempurnaan. Ketika dilanda kemiskinan, manusia inginkan kekayaan. Ketika dipinggirkan, kita inginkan kasih-sayang. Ketika dizalimi, kita inginkan keadilan. Baiklah, hakikat itulah bukti yang sebenarnya manusia cinta dan rindukan Tuhan. Justeru, Tuhan sahaja yang memiliki segala-gala yang diingini oleh manusia.

Bukankah Allah memiliki kekayaan yang diingini oleh si miskin? Allah mempunyai kasih sayang yang diidamkan oleh mereka yang terpinggir. Allah Maha Adil dan mampu memberi keadilan yang didambakan oleh yang tertindas. Oleh kerana itulah Tuhan mempunyai nama-nama yang baik (Asmaul Husna), yang menggambarkan keindahan, keadilan, kasih-sayang yang segala sifat kesempurnaan-Nya. Diantara nama-nama Allah itu ialah Al Adil (Yang Maha Adil)? Al Ghani (Maha Kaya)? Ar Rahman (Maha Pengasih)? Dan Ar Rahim (Maha Penyayang)?

Sebutlah… apa sahaja keinginan manusia tentang kebaikan dan kesempurnaan, maka di situ sebenarnya (secara langsung ataupun tidak), manusia sedang merindui dan mencintai Allah. Inilah rasa yang tidak dapat dihapuskan. Selagi manusia punya hati dan perasaan. Rasa bertuhan inilah yang menurut Imam Ghazali, tidak akan dapat dinafikan oleh hati sekalipun kerap dinafikan oleh sifat keegoan manusia.
Inilah benih rindu dan cinta yang telah dibina (‘install’) secara fitrah (tabie) dalam diri setiap manusia sejak di alam roh lagi. Firman Allah:
“Bukankah aku ini Tuhanmu? Maka semua (roh manusia) menjawab: ‘Benar, kami (Engkaulah Tuhan kami) menjadi saksi.”
Al-A’raf : 172

Bahkan, pakar-pakar psikologi manusia juga turut mengakui. Manusia sebenarnya mempunyai keinginan kepada suatu kuasa yang dapat mengatasi segala kekurangan dan kelemahan. Ini memang satu naluri yang semulajadi.

Prof Dr Ramachandran dari California University misalnya, telah menemui ‘Titik Tuhan’ – ‘God Spot’ dalam sistem otak manusia yang sentiasa mencari makna kehidupan – asal-usulnya, apa maksud kedatangannya ke dunia, dan ke mana akan pergi selepas mati. Dan di hujung semua persoalan itu pasti manusia akan menemui kewujudan Tuhan. Inilah hakikatnya pencarian dan kembara manusia. Inilah asas segala kerinduan dan cinta!

Jadi sedarlah. Apabila hati kita resah dan gelisah inginkan pembelaan, hakikatnya pada ketika itu hati kita sedang merindui yang Maha Adil. Ketika kasih-sayang terputus atau cinta terkandas, kita inginkan sambungan… maka ketika itu sebenarnya kita sedang merindui Ar Rahman dan Ar Rahim (Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang). Ketika bersalah, kita merintih inginkan keampunan dan kemaafan, maka pada saat itu kita sebenarnya merindui Al Ghafar (Pengampun) dan mencintai Al Latif (Maha Lembut).

Semua keinginan itu hanya akan dapat dipenuhi apabila manusia merapatkan dirinya kepada Allah. Allah yang punya segala-galanya itu. Allah sentiasa mahu dan mampu memberi apa yang diinginkan oleh setiap manusia. Firman Allah:
“Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kepada-Ku nescaya Aku akan perkenankan. Sesungguhnya orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku, akan dimasukkan neraka Jahanam dalam keadaan hina.”
Al-Mukmin : 60

Menerusi nama-nama Allah yang baik inilah seharusnya kita merintih, merayu dan memohon kepada Allah. Firman Allah:
“Allah memiliki Asmaa’ ulHusna, maka memohonlah kepadaNya dengan menyebut nama-nama yang baik itu…”

Al A’raaf : 180

Manusia hakikatnya tidak punya apa-apa yang diingini oleh manusia lain. Mereka mungkin mahu memberi, tetapi tidak mampu. Ada pula yang mampu memberi tetapi tidak mahu melakukannya. Mungkin hartawan punya harta, tetapi dia tidak punya sifat pemurah. Mugkin ada si miskin punya hati yang pemurah, tetapi tidak memiliki harta yang dipinta oleh si miskin yang lain. Tegasnya, manusia tidak sempurna. Hanya Tuhan yang mempunyai segala apa yang diinginkan oleh seluruh manusia.

Ya, ditegaskan sekali lagi bahawa keinginan manusia kepada satu kuasa yang Maha sempurna ini adalah lanjutan daripada ‘perkenalan’ dan ‘percintaan’ manusia dengan Allah di Alam Roh lagi (yakni alam sebelum alam dunia ini) . Bukankah sejak di alam roh lagi manusia telah mengetahui dan mengakui akan kewujudan dan keagungan Allah. Firman Allah:
“Bukankah aku ini Tuhanmu? Maka semua (roh manusia) menjawab: ‘Benar, kami (Engkaulah Tuhan kami) menjadi saksi.”
Al-A’raf : 172

Itulah pertanyaan Allah sekaligus keakuran roh manusia atas pertanyaan itu. Ya, ketika itu semua roh manusia telah mengenali Allah. Bukan itu sahaja, bahkan roh manusia telah mengakui Allah sebagai pemilik, pentadbir dan pengatur alam ini. Inilah yang dimaksudkan cintakan Allah itu adalah fitrah setiap hati. Tetapi soalnya, mampukah cinta itu terus suci dan abadi di dalam hati setiap manusia?

Sungguhpun begitu, perkenalan dan percintaan manusia dengan Allah di alam roh itu kerap tercemar. Sebaik sahaja lahir ke alam dunia, manusia yang dulunya begitu mengenali dan mencintai Allah mula dipisahkan daripada kecintaan dan kerinduannya itu. Yang sejati luntur, yang ilusi muncul. Perkenalan dengan Allah mula dicemari. Manusia mula dipisahkan dari Tuhan. Dan amat malang, kerapkali yang memisahkan anak-anak daripada Allah ialah ibu-bapa anak-anak itu sendiri. :
“Setiap anak-anak dilahirkan putih bersih, kedua orang tuanyalah yang akan menjadikannya Yahudi, Majusi atau Nasrani.”

Justeru, untuk mengelakkan agar cinta yang suci itu tidak terus dikotori… maka awal-awal lagi apabila seorang bayi dilahirkan, dia terlebih dahulu diazankan dan diiqamatkan. Inilah usaha awal untuk meneruskan perkenalan bayi itu dengan Allah. Tidak cukup sekadar itu sahaja, malah para ibu-bapa juga wajib mengenalkan kepada anak-anak mereka segala sifat kesempurnaan Allah secara mudah tetapi konsisten. Sabda Rasululah:
“Awal-awal agama ialah mengenal Allah.”

Alangkah indahnya jika semua itu berjalan lancar. Sejak kecil lagi putik cinta dan rindu Allah itu tumbuh, berbunga dan akhirnya berbuah apabila menjelang dewasa. Malangnya, ramai anak tidak diperkenalkan kepada Allah oleh ibu-bapanya. Sebaliknya, didedahkan kepada unsur-unsur yang melindungi kebesaran Allah. Seringkali, didikan, ajaran, malah lagu, filem, bahan bacaan yang didedahkan kepada anak-anak menggugat perkenalannya dengan Allah.

Akibatnya, kerinduan dan kecintaan yang sedia ada di alam roh itu tidak bersambung, bahkan tercemar. Cinta terputus di tengah jalan. Setiap manusia memiliki hanya satu hati, tidak dua, tidak tiga. Bila cinta Allah dicemari, cinta yang lain datang mengganti. Dua cinta tidak akan berkumpul di dalam satu hati. Hanya satu cinta akan bertakhta di dalam satu jiwa. Bila cinta Allah terpinggir maka terpinggir jugalah segala kebaikan dan kesuciannya. Maka yang tumbuh selepas itu ialah cinta selain Allah seiring suburnya segala kejahatan dan kekejiannya!

Bagaimanakah caranyanya membersihkan semula hati yang telah dicemari dan diracuni? Cukupkah hanya dengan ucapan dan penyesalan? Ya, usaha untuk membersihkan hati adalah usaha yang sukar. Tetapi hanya itulah satu-satunya jalan. Tidak ada jalan mudah untuk mendapat cinta itu semula. Setiap cinta menagih pengorbanan. Begitulah jua cinta Allah. Sabda Rasulullah:
“Iman itu bukanlah angan-angan, bukan pula ucapan, tetapi sesuatu yang menetap di dalam dada, lalu dibuktikan dengan perbuatan.”

Perjuangan itu pahit, kerana syurga itu manis. Kecintaan kepada Allah terlalu mahal. Bayangkan untuk mendapat cinta seorang wanita yang rupawan, jejaka yang hartawan, putera yang bangsawan, itupun sudah terlalu sukar, maka apatah lagi untuk mendapat cinta Allah zat yang Maha Agung dan Maha Sempurna itu.

Siapa tidak inginkan kecantikan, harta, nama dan kuasa? Semua itu mahal harganya. Namun semua itu tidak ada nilainya jika dibandingkan dengan cinta Allah – sumber segala kekayaan, kecantikan, kuasa dan keagungan. Cintakan gadis yang cantik, kecantikan akan luntur. Cintakan harta yang banyak, harta akan musnah atau ditinggalkan. Cinta pada kuasa, suatu hari pasti dijatuhkan atau berakhir dengan kematian.

Namun cinta Allah, adalah cinta yang hakiki, sejati dan abadi. Keindahan Pencipta (Khalik) tidak akan dapat ditandingi oleh ciptaannya (makhluk). Keagungan, kekuasaan dan kekayaan Allah akan kekal abadi selamanya. Bila kekasih di kalangan manusia sudah berpaling, maka sedarilah bahawa Allah tetap melihat dengan pandangan rahmat-Nya. Apabila kita mencintai Allah, kita hakikatnya akan memiliki segala-galanya. Inilah cinta yang tidak akan terpisah oleh kejauhan, kematian dan kemiskinan. Sebaliknya bila kita kehilangan cinta Allah, kita sebenarnya telah kehilangan segala-galanya.

Sekiranya kita telah disukai oleh seorang raja, maka anda akan turut disukai oleh pelayan-pelayannya, dikurniakan pangkat, dijamin makan-minum, bebas di bergerak di istananya dan macam-macam lagi kurniaannya. Maka begitulah sekiranya seorang yang mencintai Allah. Para malaikat akan menjaganya. Orang-orang soleh turut mendoakannya. Rezkinya akan dipenuhi dengan segala kecukupan dan keberkatan. Apa nak dihairankan? Bukankah ‘talian hayat’ kekasih-kekasih Allah ini sentiasa terhubung kepada satu kuasa yang tiada tolok bandingnya!

Hadis Qudsi:
Allah swt berfirman: “Aku menurut sangkaan hamba kepada-Ku, dan Aku bersamanya apabila dia ingat kepada-Ku. Jika dia ingat kepada-Ku dan dalam dirinya maka Aku mengingatnya dalam diri-Ku. Jika dia ingat kepada-Ku dalam kelompok orang-orang yang lebih baik dari kelompok mereka. Jika dia mendekat kepada-Ku sejengkal maka Aku mendekat kepadanya sehasta. Jika dia mendekat kepada-Ku sehasta maka Aku mendekat kepadanya sedepa. Jika dia datang kepada-Ku dengan berjalan maka Aku datang kepadanya dengan berlari-lari kecil.”

(Sahih Bukhari)

Namun begitu, seperti yang ditegaskan sebelumnya, cinta Allah yang begitu agung dan suci, pasti ada tagihannya. Jalan mencintai Allah tidak semudah yang disangkakan. Sudah adat, setiap yang mahal, sukar mendapatkannya. Bandingannya seperti pasir dengan permata. Pasir, murah harganya… kerana ia boleh dicari di merata-rata. Sebaliknya, permata begitu tinggi nilainya, maka perlu menyelam ke dasar lautan untuk mendapatkannya.

Tidak ada kesukaran, tidak ada ganjaran. Begitulah jua dengan cinta Allah yang hakikatnya jauh lebih tinggi nilainya daripada intan atau permata. Justeru, pasti ada ‘harga’ atau mahar yang mahal terpaksa dibayar untuk mendapatkannya.

Untuk mendapat cinta Allah kita perlu berkorban. Cinta dan pengorbanan sudah sinonim dan tidak sekali-kali dapat dipisahkan. Kita perlu membayar harga cinta itu dengan segala yang ada pada kita – masa, tenaga, harta bahkan nyawa. Namun apa yang lebih penting bukanlah masa, tenaga atau sesuatu yang berbentuk lahiriah. Itu cuma lambang sahaja. Yang lebih penting ialah hati di sebalik pengorbanan itu.

Lihat sahaja hati yang dimiliki oleh Habil berbanding Qabil dalam pengorbanannya untuk Allah. Hati yang bersih akan mengorbankan sesuatu yang terbaik untuk Allah. Lalu kerana ketulusan hatinya, Habil mengorbankan hasil ternakannya yang terbaik untuk Allah. Manakala Qabil pula menyerahkan hasil pertanian yang kurang bermutu untuk membuktikan cintanya yang tidak seberapa. Lalu ini menjadi sebab, Allah menolak pengorbanan Qabil, sebaliknya menerima pengorbanan Habil.

Kita bagaimana? Sudahkah kita mengorbankan segala yang terbaik hasil dorongan hati yang baik? Ke manakah kita luangkan masa, usia, tenaga, harta kita yang terbaik? Untuk kebaikan yang disuruh oleh Allah atau ke arah kejahatan yang dilarang-Nya? Tepuk dada tanyalah hati, apakah ada cinta yang mendalam di dalam hati itu?

Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya ALLAH tidak melihat gambaran lahir amalan kamu dan rupa kamu tapi ALLAH melihat hati kamu”.
Riwayat Muslim

Pengabdian kita kepada Tuhan adalah bukti cinta kepada-nya. Pepatah Arab mengatakan:
“Setiap orang menjadi hamba kepada apa yang dicintanya.”

Maksudnya, pengabdian adalah umpama ‘hadiah’ yang kita ingin berikan kepada Allah sebagai bukti cinta kita. Ia mesti didorong oleh hati yang bersih. Tidak dicemari riyak dan syirik. Maha suci Allah daripada dipersekutukan oleh hamba-Nya dengan sesuatu. Jika amal itu dicemari oleh kekotoran hati – riyak (syirik kecil), sifat menunjuk-nunjuk, syirik besar – mempersekutukan Allah) maka amalan itu tidak bernilai walaupun ia seluas lautan atau setinggi gunung.

Sebaliknya, jika hati seseorang itu ikhlas, amalnya yang sekecil manapun akan menjadi besar dan bernilai di sisi Allah. Insya-Allah, ‘hadiah’ itu akan diterima oleh Allah. Firman Allah:
“Barang siapa yang ingin menemui Tuhannya, hendaklah dia beramal soleh dan tidak mempersekutukan Allah dengan amalannya itu.”
Surah Al-Kahfi: 110

Hakikatnya Allah Maha Kaya dan DIA tidak mengkehendaki apa jua manfaat daripada hamba-hamba-Nya sekalipun amalan dan kebaikan yang mereka lakukan. Maha Suci Allah daripada bersifat miskin – punya keinginan untuk mendapat manfaat daripada para hamba-Nya. Amalan dan kebaikan yang dilakukan oleh manusia bukan untuk Allah tetapi manfaat itu kembali kepada manusia semula.

Bila kita solat misalnya, solat itu manfaatnya akan dirasai oleh kita juga. Firman Allah:
“Sesungguhnya sembahyang itu akan mencegah daripada kemungkaran dan kejahatan.”

Surah Al-Ankabut: 45

Ya, solat akan menyebabkan kita terhalang daripada melakukan kejahatan dan kemungkaran. Itulah manfaat solat. Itu amat berguna kepada diri manusia. Manusia yang baik akan dikasihi oleh manusia lain. Hidup yang selamat daripada kemungkaran dan kejahatan, adalah hidup yang tenang, aman dan bahagia.

Begitu juga apabila Allah menyuruh kita melakukan sesuatu atau melarang kita melakukannya, itu adalah kerana Allah ingin berikan kebaikan kepada kita bukan untuk-Nya. Inilah rasionalnya di sebalik pengharaman riba, arak, zina, pergaulan bebas, pendedahan aurat dan lain-lain. Susah atau senangnya untuk manusia bukan untuk Allah. Tegasnya, jika patuh, manfaatnya untuk manusia. Jika engkar, mudaratnya juga untuk manusia.

Namun, walau sesukar mana sekalipun kita berusaha menghampirkan diri kepada Allah, kita akan merasa mudah jika Allah sendiri memberi bantuan-Nya. Jika Allah sudah permudahkan, walaupun seberat mana sekalipun, kita akan mampu mengatasinya. Allah akan permudahkan kita dengan mengurniakan sifat sabar, istiqamah, syukur dan redha kepada-Nya. Lihatlah sejarah perjuangan para Rasul dan nabi serta sahabat-sahabat Rasulullah… kita akan tertanya-tanya mengapa mereka sanggup menderita, tersiksa bahkan terkorban nyawa untuk mendapat cinta Allah?

Renungilah betapa Sumayyah rela mengorbankan nyawanya. Begitu juga Mus’ab bin Umair, Hanzalah, Jaafar bin Abi Talib, Abdullah ibnu Rawahah… mereka semuanya telah syahid di jalan Allah. Apakah itu susah buat mereka? Mereka sangat menghayati apa yang pernah disabdakan oleh Rasulullah SAW:
“Jagalah Allah, nescaya engkau akan temukan DIA di hadapanmu. Kenalilah Allah ketika dalam keadaan lapang nescaya DIA akan mengenalmu dalam keadaan sempit. Ketahuilah segala sesuatu yang luput daripadamu tidak akan menimpamu dan sesuatu yang menimpamu tidak akan dapat luput darimu. Ketahuilah bahawa kemenangan itu menyertai kesabaran, kelapangan itu menyertai kesempitan dan kemudahan itu menyertai kesukaran.”
Riwayat Ahmad, Hakim, Thabrani, Ibnu Sunni, Ajiri dan Dhiya’

Mereka sesungguhnya merasa bahagia dalam mengharungi penderitaan, merasa mulia dengan mengorbankan nyawa. Ini semua mudah buat mereka kerana Allah telah melembutkan hati-hati mereka. Benarlah bila hendak seribu daya, bila mahu sejuta cara. Kemahuan dan keinginan mereka itu hakikat didorong oleh Allah. Untuk itu, mintalah simpati dari Allah untuk memudahkan kita mendekatkan diri kepada-Nya.

Bagaimana memohon simpati daripada Allah? Tidak lain dengan cara berdoa kepada-Nya. Doa itu adalah senjata orang mukmin. Maksudnya, doa ialah alat atau ubat yang paling mustajab dan mujarab untuk mendapat hati yang lunak dengan Allah. Namun harus diingat, doa bukanlah usaha ‘pemberitahuan’ kehendak-kehendak kita kepada Allah ( kerana tanpa diberitahupun Allah sedia mengetahui), namun doa hakikatnya usaha ‘penyerahan’ diri kita kepada-Nya.

Orang yang berdoa ialah orang yang mengakui segala sifat kehambaannya di hadapan kekuasaan Allah. Apakah sifat-sifat kehambaan itu? Antaranya, rasa lemah, hina, jahil, miskin, berdosa, hodoh dan segala sifat-sifat kekurangan. Berdoa ertinya kita menyerah pasrah kepada Allah. Kita nafikan segala kelebihan diri. Yang kita akui hanya sifat keagungan dan kebesaran Allah. Lalu kita inginkan hanya bantuan-Nya. Kita tagihkan simpati, kasihan dan keampunan-Nya sahaja.

Hanya dengan mengaku lemah di hadapan Allah kita akan memperolehi kekuatan. Hanya dengan mengaku miskin di hadapan Allah kita akan dikayaka-Nya. Tegasnya, hanya dengan merasai segala sifat kehambaan barulah kita akan mendapat kekuatan, kemuliaan dan kelebihan dalam mengharungi hidup yang penuh cabaran ini.

Bila Allah telah hadiahkan kasih dan rindu-Nya kepada kita, kita akan merasa kebahagiaan dan ketenangan yang tiada taranya lagi. Dalam apa jua keadaan kita akan mendapat ketenagan. Susah, kita sabar. Senang, kita syukur. Kita bersalah, mudah meminta maaf. Jika orang meminta maaf, kita sedia dan rela pula memaafkan. Alangkah bahagianya punya keikhlasan hati yang sebegini?

Itulah hakikatnya syukur – pada lidah, hati dan amalan. Syukur dengan lidah, mengucapkan tahmid (pujian) kepada Allah. Syukur dengan hati, merasakan segala nikmat hakikatnya daripada Allah bukan daripada usaha atau ikhktiar diri kita. Tadbir kita tidak punya apa-apa kesan berbanding takdir Allah. Dan akhirnya syukur dengan tindakan, yakni menggunakan segala nikmat daripada Allah selaras dengan tujuan Allah mengurniakan nikmat itu.

Jika Allah berikan harta, kita gunakan ke arah kebaikan dan kebajikan. Jika diberi ilmu, kita mengajar orang lain. Diberi kuasa, kita memimpin dengan adil dan saksama! Syukur itulah tujuan utama kita dikurniakan nikmat. Ertinya, kita kembalikan nikmat kepada yang Empunya nikmat (Allah).
Read rest of entry

KUALITI JIWA & KUANTITI HARTA



Ramadhan telah berlalu, dan kemudian bertamu pula Syawal. Saat-saat ini sesungguhnya menghadiahkan detik yang indah untuk terus bermuhasabah. Beberapa purnama lagi tahun baru akan menjengah, apakah pecutan diri menuju taqwa semakin goyah atau semakin gagah? Ya, hakikatnya hidup perlu dijalani dengan semangat “sentiasa bersedia untuk mati”. Bila hati benci mati, itu petanda jelas bahawa aku dan kamu belum mencintai Ilahi…

Apakah cukup hanya dengan keluhan? Padahal hidup memerlukan kayuhan. Kayuhan amal yang tidak putus-putus dan tanpa jemu-jemu. Kita boleh senyum ketawa dan mesra ketika bersama manusia, namun jauh di sudut hati, biar tetap sedih dan merintih kerana mengenangkan dosa lampau, dosa kini dan dosa akan datang. Sesekali kita boleh tertawa dengan kebodohan diri, tetapi lama kelamaan jika kebodohan itu berulang, hati akan terdera oleh satu pertanyaan: Bilakah lagi aku akan matang?

Malam yang dulu tidurku terganggu. Kira bicara hati tidak menentu. Walaupun yang kukira adalah wang-wang pada nisab dan haul menjelang hujung tahun… tetapi hakikatnya yang kutimbang adalah soal hati. Hati yang masih tamak. Hati yang hanya ingin menerima tetapi begitu sukar memberi. Yang kucongak adalah zakat. Namun hakikatnya, neraca muhasabah ini ialah antara mahmudah dan mazmumah. Aku boleh menipu angka dan timbangan, tetapi mampukah aku menipu diri sendiri? Lebih-lebih lagi mampukah aku menipu Ilahi?

Yang paling penting dalam hidup ini ialah punya hati yang qanaah – hati yang berpada-pada dengan apa yang ada. Sedikit, mencukupi. Banyak, boleh diagih-agihkan. Pernah aku berjanji dengan diri sendiri, agar menjaga keinginan agar tidak melewati batas-batas keperluan. Jangan sekali-kali terjerumus ke jurang pembaziran. Keinginan yang melampaui batas, jika tidak dapat dikawal akan mengundang resah jiwa. Gejolaknya akan terus mengganggu. Sedikit tidak cukup, banyak tidak puas. Aku pernah tersiksa kerana itu!

Kemudian aku tersedar… bahawa kekayaan sebenar bukanlah kerana ‘memiliki’. Kekayaan sebenar bila tidak ‘dimiliki’. Justeru, Allah itulah zat yang Maha Kaya. Benar, milik Allah segala yang ada. Tetapi bukan kerana itu DIA digelar Al Ghani – Yang Maha Kaya. Allah itu Maha Kaya kerana DIA tidak memerlukan segala sesuatu, sebaliknya segala sesuatu yang memerlukan-Nya. Begitulah manusia. Jika inginkan kekayaan sejati, kurangkanlah keperluan terhadap dunia dan manusia … bukan dengan meningkatkan keperluan kepada keduanya.

Pernah aku temui orang kaya yang memilki harta berjuta. Segala-galanya bagai berada di hujung jarinya. Kereta, rumah, hartanah dan wang simpanannya berjuta-juta. Tetapi alangkah sedih, dia begitu miskin di sudut jiwanya. Keinginannya pada dunia sentiasa meluap-luap. Ingin itu, ingin ini. Selepas satu, satu pula keinginannya. Jiwanya sentiasa resah. Dia umpama meneguk air laut, makin banyak diminum semakin haus. Pantang ada kereta model terbaru… dia resah. Pantang ada hartanah yang nak dijual… dia gelisah. Oh, alangkah siksanya sikaya yang hidup dalam kemiskinan itu.

Lihatlah perancangan kewangan musim yang lalu. Betapa kekadang berlaku sesuatu di luar di luar dugaan. Disangka cukup, tiba-tiba mengurang. Dijangka sempit, tiba-tiba lapang. Tidak salah merancang di batas tadbir… tetapi segalanya terlaksana di alas takdir. Sebab itu pasakkan ke dalam hati selalu, Allah itulah Ar Razzak – Maha Pemberi Rezki – yang mampu memberi melalui jalan-jalan yang misteri. Jalan yang tidak mampu dijangkau oleh akal yang terbatas, justeru upaya-Nya yang Maha Luas.

Wahai diri yang bakhil, keluarkanlah hak orang lain yang kau anggap hakmu. Jangan jadi seperti Qarun yang menganggap kekayaan diri kerana kepandaiannya. Ya, kau yang memerah keringat. Ya, kau yang penat berfikir. Tetapi dengan tenaga siapa kau berusaha? Tangan, kaki, bahu dan segala pancainderamu itu milik siapa? Kau bukan pemiliknya. Kau hanya peminjam… Begitu juga dengan akal, hati dan perasaan yang kau gunakan untuk berfikir, merasa dan bertindak… milik siapa segalanya? Bukankah segalanya milik Allah?

Oh, rupanya aku sering terlupa bahawa usahaku semuanya, segalanya, adalah dengan ‘modal pinjaman’. Aku perlu membayarnya. Kepada siapa? Kepada Allah? Ah, Dia Maha Kaya. Dia tidak memerlukan apa-apapun daripada hamba-hamba-Nya. Namun, Allah memerintahkan agar ‘modal pinjaman’ itu dipulangkan kepada hamba-hamba-Nya yang memerlukan. Itulah golongan 8 – asnaf zakat yang memerlukan. Merekalah pemilik yang berhak ke atas harta Allah yang dipinjam oleh Sikaya. Lalu aku akur, ya Allah alangkah berdosanya aku. Aku masih tamak, aku masih rakus. Bagaikan akulah pewaris harta Qarun nan sejati – hati yang sentiasa merasa miskin!

Dulu, aku pernah menjerit kerana tidak cukup. Tapi kini aku menjerit kerana ingin lebih. Ah, apakah esok aku akan terus menjerit kerana tidak puas? Wahai diri, milikilah kematangan rasa. Jangan sekali-kali bertindak ‘terlalu’. Samada terlalu ‘mahu’ atau terlalu ‘benci’. Kesederhanaan itu selalu menyelamatkan. Ingat selalu pesan Al Quran, tangan jangan terlalu dibukakan… tetapi jangan pula terlalu digenggamkan. Titik tengah antara boros dan bakhil, itulah pemurah.

Jika wang boleh menyuburkan kasih-sayang, hulurkanlah. Jangan lokek ‘memeriahkan’ persaudaraan. Bukan Rasulullah SAW pernah bersabda sedekah terbaik ialah yang didahulukan kepada kerabat terdekat. Tetapi ingat, bukan wang itu yang mempertautkan persaudaraan… tetapi hati yang jujur. Kejujuran mampu ‘membeli’ kasih-sayang lebih dari jumlah wang yang aku miliki… Aku tidak ingin menjadi pewaris hati Qarun!

Antara kualiti jiwa dan kuantiti harta sering diri alpa dan terkesima. Jiwa dibiarkan buruk dan gelap, badan kereta pula yang asyik dilap dan digilap. Rumah ditukar langsir, dicat baru dan dihiasi perabot pelbagai jenama, tapi sayang… jiwa berterusan terus kusam, kelam dengan mazmumah yang terus bermaharajalela.

Duhai diri, apakah kamu lupakan mati? Di mana Qalbun Salim (hati yang sejahtera) yang menjadi penjamin mu di Hari yang tidak berguna semua saudara dan segala harta? Ya Allah, uzlah aku dari kejahatan diri agar tidak menjangkiti orang lain. Qanaah aku agar tidak hasad pada nikmat yang diberi kepada yang lain. Sabar aku dengan karenah insan yang menjadi “bahan uji”Mu untuk mendidik aku. Syukur aku pada nikmat yang ada tanpa mengenang apa yang tiada. Pemaaf aku pada kejahatan insan sebagai karma kejahatanku pada mereka.

Ya Allah, aku belum sampai… tetapi sungguh, aku telah mulakan perjalanan. Walau susah sungguh, untuk pasrah padaMu, penuh seluruh! Lihat aku, kesihanilah aku, kutip aku… wahai Al A’fu.
Read rest of entry

TAUHID ITU SEGALA-GALANYA!




Di hadapan Kaabah… seorang suami berdoa agar Tuhan memperkenankan hajatnya untuk berpoligami. Di tempat yang sama si isteri pula berdoa agar Allah menghalang hajat suaminya. Doa keduanya saling bertentangan. Namun kedua-duanya sama ikhlas. Hati mereka sama-sama suci. Isteri berdoa agar suaminya tidak berpoligami bukan kerana menolak hukum Allah tetapi kerana dirasakan dirinya tidak mampu menanggung ujian. Dia menerima dari segi ilmu dan hukum, tapi apakan daya, diri tidak kuat melaksanakannya… Manakala si suami pula bukan didorong kerakusan nafsu atau hendak berfoya-foya, tetapi benar-benar ikhlas atas sebab-sebab yang syari’e.

Lalu, doa siapakah yang akan diperkenankan Tuhan? Wah, payahnya mengukur kemisterian takdir di neraca fikiran tadbir. Walau hanya andaian, namun hati kecil tetap inginkan kepastian. Bagaimana ya? Mungkin jawapannya begini… jika kedua-duanya sama-sama ikhlas, maka Allah akan tentukan yang terbaik untuk kedua-dua mereka. Jika berpoligami itu yang terbaik untuk mereka berdua maka itulah yang akan ditakdirkan berlaku. Sungguhpun kelihatannya hajat suami yang diperkenankan, tetapi poligami itu cepat atau lambat, pasti akan membawa kebaikan juga kepada siisteri yang tidak mahukannya.

Sebaliknya, jika poligami itu tidak baik untuk keduanya, maka Allah tidak akan takdirkan poligami itu berlaku. Mungkin pada awalnya, hanya si isteri menarik nafas lega kerana doanya diperkenankan, namun insya-Allah, si suami yang gagal berpoligami itu pun nanti akan mendapat kebaikan (walaupun hajatnya tidak kesampaian). Doa siapa yang akan diperkenankan? Itu tidak pasti. Yang pasti ialah apa yang terbaik untuk keduanya akan berlaku. Apakah pengajaran di sebalik persoalan di atas? Ya, Allah sahaja yang Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hamba-Nya. Dengan akal manusia diberi keupayaan untuk menilai yang mana baik, yang mana buruk, tetapi sebijak mana pun akal… kemampuannya tetap terbatas. Justeru manusia tetap perlukan wahyu untuk memandu akalnya. Tegasnya, manusia yang ‘tidak serba tahu’ ini sentiasa perlukan Tuhan yang Maha Mengetahui untuk mencapai ketenangan dan kebahagiaan dalam hidupnya. Hakikat ini telah Allah tegaskan melalui firman-Nya:
“Ada perkara yang kamu tidak suka tetapi ia baik bagi kamu dan ada perkara yang kamu suka tetapi ia buruk bagi kamu, Dan sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan kamu tidak mengetahuinya” Al Baqarah 216

Hakikat itu mesti sentiasa terpahat dalam hati dan fikiran manusia setiap kali berdepan dengan apa jua persoalan dalam hidupnya. Berbincang, berusaha dan putuskanlah apa sahaja… tetapi persoalan tauhid mestilah menjadi dasar pemikiran dan asas pertimbangan kita. Tuhan telah menentukan yang mana yang benar dan batil, mana yang betul dan salah, mana yang baik dan buruk. Akal manusia yang terbatas itu mestilah digunakan dalam batas-batas itu. Kebebasan akal terletak dalam lingkungan hukum Allah. Jika keluar dari lingkungan itu, bukan bebas yang dinikmati tetapi terbabas.

Umpama kipas yang berpusing. Berpusinglah selaju mungkin tetapi mestilah terikat kukuh pada dinding atau syiling. Jika pengikatnya longgar, alamat hancurlah kipas yang berpusing itu. Maka begitulah akal manusia, syiling atau dindingnya sandarannya ialah wahyu. Manakala pengikatnya ialah tauhid.

Justifikasi yang sama mesti digunakan dalam perbincangan tentang isu poligami, hudud, murtad dan lain-lain lagi. Akidah mestilah mendasari setiap perbincangan, keputusan dan tindakan. Kuasa mutlak Tuhan dalam menentukan sesuatu yang baik, benar dan betul jangan dilanggar apalagi dicabar. Misalnya, adalah jelas, Allah telah mengharuskan poligami. Dan keharusan itu diiringi pula oleh peraturan dan syarat-syarat-syaratnya. Manusia, tidak kira lelaki atau wanita, mesti menerima hukum ini dan segala syarat yang berkaitannya.

Tidak mengapa, jika akal belum nampak akan kebaikan sesuatu hukum Allah. Tetapi ingat, itu bukanlah bererti hukum Allah itu tidak baik tetapi akal sesetengah manusia yang belum mampu melihat akan kebaikan itu. Sepertimana kita mampu melihat seluruh bintang di langit, bukan kerana bintang itu tidak ada ataupun ia tidak bercahaya, tetapi pandangan kita yang dilindungi awan atau mata tidak berupaya melihat kerana kejauhan. Begitu juga hukum Allah, tentu ada kebaikan yang menjadi sebab Tuhan mewajibkan, menghalalkan atau mengharuskannya. Jangan jadi seperti kata pepatah, tidak tahu menari dikatakan lantai tinggi rendah.

Poligami misalnya, dihalalkan dengan syarat-syarat yang ketat. Hanya si suami yang mampu memberi nafkah (zahir dan batin) dan mampu berlaku adil kepada isteri-isteri diharuskan melakukannya. Maksudnya, pintu poligami hanya terbuka untuk ‘lelaki-lelaki istimewa’ dan pada keadaan dan syarat yang istimewa juga. Dan begitu juga, bagi pihak wanita. Walaupun pengorbanan yang agak tinggi diperlukan, namun pasti ada juga sebilangan ‘wanita istimewa’ yang sanggup dimadukan. Tuhan Maha Mengetahui hakikat ini, maka atas dasar itulah poligami dihalalkan.

Adalah tidak adil bagi Tuhan untuk menutup pintu poligami dengan meminggirkan situasi, kondisi serta insan yang benar-benar mahu, mampu malah kadangkala terdesak untuk melaksanakannya. Untuk mereka inilah syariat diturunkan. Bukan untuk manfaat kaum lelaki sahaja, malah untuk kaum wanita juga. Pintu ini tidaklah dibuka seluas-seluasnya sepertimana perkahwinan monogami, tetapi dirapatkan sedikit agar tidak dilalui sewenang-wenangnya. Ia umpama ‘pintu kecemasan’ yang terbuka bila keadaan mendesak. Bayangkan, bagaimanakah keadaannya bila sebuah bangunan atau kenderaan besar terbakar, tanpa pintu kecemasan?

Poligami tidak boleh dipersalahkan hanya kerana ada segelintir lelaki ‘hidung belang’ yang memperalatkannya untuk tujuan jahat. Yang salah, pelakunya bukan subjeknya (poligami). Jika logik yang sama digunakan, mungkinkah nanti akan tiba pada satu keadaan yang sangat ekstrem yang mana monogami juga hendak diharamkan bila terdapat ramai lelaki memperalatkannya untuk melaksanakan tujuan-tujuan jahatnya.

Ya, di dunia masa kini bukan sahaja ramai di kalangan lelaki berpoligami tidak berlaku adil, malah ramai juga lelaki bermonogami sudah tidak mampu lagi melaksanakan tanggung-jawab dan kewajiban sebagai suami. Maka ketika itu apa tindakan kita, mengharamkan monogami? Begitulah juga halnya dengan poligami, ia tidak boleh dipandang negatif hanya kerana kesalahan para pelaksananya.

Pihak yang anti-poligami, sebenarnya bukan sahaja menentang sesuatu yang dihalalkan oleh Tuhan, tetapi turut menganiaya nasib wanita lain yang perlukan pembelaan. Apa yang sebenarnya perlu diperjuangkan ialah keadilan pihak lelaki (tidak kira yang berpoligami mahupun yang monogami). Tuntutlah agar lelaki berlaku adil dan menjalankan peranannya sebagai suami dan berkempenlah untuk itu. Tidak salah wanita memperjuangkan sesuatu yang memang telah diperuntukkan oleh Allah buat mereka tetapi masih belum ditunaikan oleh kaum lelaki.

Inilah yang telah diperjuangkan oleh kaum wanita pada zaman Rasulullahlah s.a.w. dan para sahabat. Kita telah lihat bagaimana kepetahan seorang wanita bernama Asma’ ketika memperjuangkan status wanita yang tidak berpeluang berjihad ke medan perang seperti suami-suami mereka. Kita juga mendengar bagaimana Hindun isteri Abu Suffyan yang bertanya tentang perbuatannya mengambil wang dari suaminya yang kedekut. Begitu juga kisah seorang wanita yang menegur Sayidina Umar tentang nilai maskahwin wanita.

Berat atau ringannya hukum Allah ini kekadang tergantung pada kekuatan tauhid seseorang individu untuk melaksanakannya. Kadangkala ada seseorang individu atau sesuatu kaum yang merasa mudah melaksanakan sesuatu hukum, tetapi hukum yang sama terasa payah pada seseorang atau kaum yang lain. Manusia diciptakan berbeza keupayaan, maka berbeza pulalah penanggungan mereka dalam melaksanakan sesuatu suruhan atau larangan daripada Tuhan. Namun, manusia mesti menerima hukum itu dengan rela selaras dengan sifat kehambaannya, walaupun kadangkala terdapat kecuaian, kelemahan dan kekurangan dari segi pelaksanaannya. Firman Allah:
“Sesungguhnya jawapan orang-orang mukmin bila dipanggil kepada Allah dan Rasul-Nya agar menghukum (mengadili) di antara mereka, ialah ucapannya, “kami mendengar dan kami patuh.” An Nuur 51

Adalah salah jika kita tidak melaksanakan hukum Tuhan, tetapi adalah lebih bersalah jika kita menolak terus kewajipan sesuatu hukum itu. Katalah, solat – hukumnya wajib. Adalah berdosa jika kita tidak melaksanakannya, namun adalah lebih berdosa jika kita menolak terus kewajipannya. Sama juga dengan poligami, hudud dan sebagainya. Soal kita melaksanakannya atau tidak itu satu hal, tetapi soal mengingkari status hukumnya itu satu hal yang lain pula. Justeru, usahlah hendaknya kewajaran sesuatu hukum Allah diperdebatkan atau didiskusikan tanpa dikaitkan dengan soal tauhid!
Read rest of entry

BERCERAI KASIH BENCI TIADA!



Siapa kita lima tahun akan datang ditentukan oleh buku apa yang kita baca dan dengan siapa kita bergaul. Begitu kata pakar-pakar psikologi. Kita dibentuk oleh apa yang kita baca – dalam konteks iqra’ imam Ghazali mentafsir membaca dengan akal, hati dan emosi. Maksudnya apa sahaja input yang selalu kita lazimi pada akal, jiwa dan emosi akan membentuk peribadi.

“Buku” dalam ertikata yang luas ialah apa yang kita dengar, lihat, tonton, berinteraksi dan berkomunikasi. Kamu ialah apa yang kamu baca, seperti juga kamu apa yang kamu makan, kerana membaca itu hakikatnya memberi “makanan” pada akal, hati dan emosi.

Baiklah, bukan itu yang ingin saya fokuskan kali ini. Tetapi saya ingin berkongsi bahagian kedua daripada kata-kata pakar psikologi itu – yakni “dengan siapa kamu bergaul.” Sudah lama saya ingin menyentuh persoalan ini, dan telah ramai juga pengunjung blog yang meminta saya menulis tentangnya. Alhamdulillah selepas Subuh ini, ada dorongan yang sangat kuat untuk menulis tentangnya. Mudah-mudahan ada kebaikan buat kita bersama.

Saya ingin menulis sesuatu yang saya dengar, dapati, rasai daripada pengalaman sendiri. Tentunya daripada pengalaman peribadi dan pengalaman orang yang saya temui. Kebetulan karektor saya sebagai “perfect malancholy” – yang umumnya selalu serius, berhati-hati, agak skeptik (kadangkadala prajudis), suka kesempurnaan – selalunya akan menghadapi cabaran yang lebih “besar” dalam perhubungan.

Tidak seperti “peaceful phalagmatic” – yang secara tabienya lebih ceria, suka bergurau, agak fleksibel – yang mahir dalam perhubungan. Begitu mengikut kajian pakar-pakar psikologi yang membahagikan manusia kepada 4 karektor (insya-Allah, ada masa nanti kita akan bincangkan mengenai pembahagian karektor manusia).

Maaf, saya tidak ingin menyusahkan anda dengan istilah-istilah ini. Sekadar menunjukkan bahawa mengenali karektor kita (dalam ertikata mengetahui di mana kelebihan dan kekurangannya) sangat penting dalam sesuatu perhubungan samada persahabatan, persaudaraan, perkahwinan, sepekerjaan dan sebagainya. Bahkan tidak keterlaluan kalau saya katakan, mengenali diri sendiri jauh lebih penting daripada mengenal orang lain dalam usaha mengujudkan suatu hubungan yang harmoni.

Saya akui bahawa saya sendiri “terkial-kial” dalam mengenali dan mengatasi kelemahan diri khususnya dalam perhubungan. Mungkin setelah usia mencapai 45 tahun (lebih kurang 2 tahun yang lalu) barulah saya mendapat sedikit pencerahan dan panduan dalam diri sendiri. Itu yang katakan selalu, ilmu yang didapati daripada mujahadah lebih mendalam daripada apa yang kita dapat daripada mentelaah. Membaca buku hanya mengutip fakta, dalil dan bukti tetapi membaca kehidupan barulah tersingkap segala rasa, makna dan getaran untuk bermuhasabah, mengkoreksi dan membuat pembetulan.

Pertama ingin saya tegaskan: Tidak mengapa kalau kita tidak mempunyai ramai sahabat, tetapi sedikit itu biarlah yang setia, sayang, tulus dan benar-benar jujur dengan kita. Namun jika ramai sahabat yang setia tentulah lebih baik. Ingin saya tegaskan mencari sahabat yang baik, sama seperti ingin mendapat isteri yang solehah. Keinginan dan cita-cita sesiapa pun ada, tetapi untuk mendapatnya sukar… sesukar mencari gagak puitih.

Namun cuba ingat kembali petua yang pernah saya nukilkan dalam buku Tentang Cinta. Jadilah solehah… bukan carilah soleh. Jadilah soleh… insya-Allah akan datang solehah untuk kita. Maka begitulah juga dalam petua bersahabat, jadilah sahabat yang baik, bukan carilah sahabat yang baik.

Jika kita ingin mengubah diri kita (kearah yang lebih baik samada dari segi agama, keperibadian atau kerjaya), jangan lupa untuk “menyemak” semula siapa yang berada di sekeliling kita. Bukankah Nabi Muhammad saw pernah berpesan, agama seseorang ditentukan juga oleh siapa sahabatnya? Jadi jika kita ingin “menukar” iltizam kita dalam beragama, acapkali kita perlu menukar “sahabat” kita.

Jika bersamanya, agama kita tidak bertambah baik (bahkan kekadang merosak)… ayuh berani meninggalkannya! (sebahagian hal ini saya pernah sentuh dalam entri yang lalu: Kill your darling!)

Jagalah hati, walaupun kita menghindari daripadanya, bukan kerana takut “kejahatan” dia berjangkit kepada diri kita tetapi lebih diniatkan agar jangan kejahatan kita yang berjangkit kepadanya.

Saya pernah menekankan bahawa persahabatan umpama sebuah perkahwinan. Jika sudah tidak serasi, “bercerailah”. Tetapi pastikan kita bercerai dengan baik-baik. Namun sekali-kali jangan membenci. Mungkin sidia akan mendapat orang yang lebih baik daripada kita sebagai sahabat barunya dan kita akan mendapat orang baik yang lain sebagai sahabat baru.

Ingat sikap nabi Muhammad saw bila berdepan dengan makanan yang tidak disukainya? Baginda akan meninggalkannya tetapi sedikitpun tidak mengecam makanan itu.

Mungkin analogi itu tidak sama dalam konteks persahabatan. Tetapi saya kira begitulah panduannya… tinggalkan apa yang kita tidak sukai tetapi jangan sekali-kali membenci. Ingat “benci” itu virus dalam hati dan emosi kita. Orang yang dihinggapi rasa benci akan buta melihat dunia ini dengan lebih indah dan ceria. Pada hal keceriaan dan keindahan itu ada di mana-mana tetapi pembenci tidak akan dapat melihat dan menghidunya.

Kenapa saya tergamak menyarankan agar kita “ceraikan” orang-orang tertentu sebagai sahabat? Hubaya-hubaya… kerana di dalam hidup wujud orang begitu untuk menguji kita. Ditakdirkan ada manusia yang begitu pandai bermuka-muka. Anda merasakan dia sebagai sahabat, lalu anda longgokkan segala kepercayaan, amanah dan kesetiaan kepadanya (begitukan kalau kita bersahabat?). Oh, kalau begitu jadinya anda seolah-olah memberi “senjata” yaang paling merbahaya untuk dia menikam anda nanti.

Jangan sekali-kali lupa, kesalahan yang paling besar dalam perhubungan ialah bila anda menganggap pandangan, persepsi, rasa hati dan fikiran orang lain sama dengan anda. Ini satu kesilapan besar. Jangan tersilap memberi amanah. Oleh kerana senyumnya manis, pujiannya melangit dan simpati serta empatinya melimpah, anda kalah. Tidak upaya lagi berkata tidak… walaupun dia telah jauh menerobos benteng hak anda yang sangat peribadi.

Dengan bermuka-muka anda akan sentiasa dieksploitasi dan dimanupulasi. Hati-hati. Kesabaran tidak menafikan kebijaksanaan. Jika anda terus menyimpannya, anda seperti menyimpan musuh dalam selimut atau gunting dalam lipatan. Jika kita kuat bersabarlah dan teruslah bersabar. Orang kata bersabar dalam bersabar (sabrun jamil – sabar yang indah). Tetapi jika hati, jiwa dan perasaan anda rosak akibatnya, menjaraklah. Jangan sabar membunuh kebijaksanaan dan kewarasan.

Apa yang dimaksudkan dengan “bercerai dalam bersahabat?” Jangan silap faham maksud saya. Bercerai bukan bererti memutuskan silaturrahiim. Itu berat sekali dosanya. Bercerai bermaksud anda letakkan satu jarak yang lebih jauh sedikit daripada sebelumnya antara diri anda dengan sidia. Jadi dalam kategori bersahabat, letakkan kategori-kategori tertentu. Untuk sahabat yang ini yang jaraknya begini, kita kongsikan perkara-perkara tertentu. Untuk sahabat yang itu yang jaraknya begitu, kita kongsikan pula perkara-perkara yang lain.

Jangan kita lupa, dalam hubungan sesama manusia, perkara “jangan lakukan” lebih utama dijaga dan dititikberatkan berbanding perkara “hendaklah dilakukan”. Jangan mengumpat orang, lebih utama dijaga daripada menolong orang. Jangan hasad dengki lebih patut didahulukan daripada rasa simpati dan empati. Jangan membenci mesti dipentingkan berbanding menasihatinya. Pokoknya, dalam persahabatan: Jangan meruntuh itu lebih baik daripada membina!

Pernah anda terjumpa seorang yang begitu suka membantu orang susah, tetapi apabila orang susah itu sudah senang, yang membantu tadi mula “membuntu” dengan hasad dengki, mengumpat dan mencela (orang yang pernah ditolongnya) di belakang? Benarlah kata hukama, merasa susah dengan kesusahan orang lain agak mudah berbanding untuk merasa senang dengan kesenangan orang lain. Nikmat itu selalunya dihasad.

Dalam persabatan anda mesti mengenali antara kelemahan dan kejahatan. Kelemahan itu memang biasa – anda punya kelemahan, sahabat kita punya kelemahan. Jangan menginginkan satu kesempurnaan. Kita bukan bersahabat dengan malaikat… tetapi dengan manusia yang punya seribu satu kelemahan. Kekadang kita terpaksa berhadapan dengan marah, rajuk, pelupa, “pemboros” dan berbagai-bagai lagi karenah. Itu semua sepatutnya kita hadapi. Kasih tidak menjadikan kita buta dengan kelemahan tetapi menerimanya dengan wajar.

Apa nak buat sudah “jodoh” kita dengan orang yang begitu… Sabar sahajalah. Sepertimana kita bersabar dengannya, dia juga bersabar dengan kita. Dia bermujahadah, kita pun bermujahadah. Kita sama-sama tahu “piawaian” manusia yang syumul, tetapi kita sama-sama sedang merangkak mencapai piawaian itu!

Untuk berdepan dengan masalah ini, pegang analogi ini. Hubungan kita dengannya umpama hubungan tangan kiri dan kanan. Kekadang tangan kiri kotor, tangan kanan pun kotor… bagaimana kita bersihkan kedua-dua belah tangan itu? Ya, kita temukan dan bergeser antara satu sama lain. Itu yang kita buat semasa mencuci tangan.

Akhirnya dengan geseran dan laluan air, kedua-dua tangan yang kotor itu jadi bersih kerana geseran itu rupanya “saling membersihkan”. Itulah hikmah “geseran” dalam persabatan. Kelemahan kalaupun tidak dapat diatasi tetapi dapat diterima dengan rela dan reda.

Tetapi berhati-hati dengan kejahatan. Yakni sekiranya ada orang yang merancang menggunakan anda, melaga-lagakan anda, menyekat laluan, mensabotaj rangkaian perhubungan anda dan paling malang jika dia sudah berani melampaui batas dengan strategi memijak anda untuk melonjak diri sendiri.

Itu bukan kelemahan lagi tetapi sudah satu kesalahan. Berdoalah kita agar dijauhkan daripada manusia yang sebegini. Kita tidak sekali-kali boleh membenci… tetapi jangan pula disengat olehnya berkali-kali. Hidup terlalu singkat untuk membenci. Dan hidup juga terlalu singkat untuk disekat oleh orang yang begini!

Jagalah Allah dalam perhubungan dengan selalu menjaga syariatnya dalam persabatan. Biarlah hukum halal, haram, sunat, makruh dan harus sentiasa menjadi rujukan bersama. Ke situlah kita merujuk bila berdepan dengan masalah. Dalam hubungan sesama makhluk, Khalik mestilah menjadi pengikatnya. Iman itu mengikat hati-hati manusia umpama “simen” yang melekatkan batu-bata.

Tanpa simen batu bata tidak akan tersusun dan berpadu. Jangan melupakan Allah dalam memburu kasih-sayang manusia kerana dengan melupakan kasih Allah, kita akan gagal merebut kasih manusia. Bila melihat kebaikan sahabat… rasailah itu hakikatnya kebaikan Allah. Tetapi apabila melihat kejahatan atau kelemahan manusia percayalah… itulah cara Allah menguji kita.

Cukuplah setakat ini saudara-saudara ku sebagai muhasabah hati di permulaan bulan yang baru. Ramadan telah sebulan meninggalkan kita. Ingatkah? Apa yang akan saya letakkan sebagai tajuk tulisan ini… ya tuliskan sahaja: BERCERAI KASIH BENCI TIADA!
Read rest of entry

INGAT MATI, TINGKAT PRODUKTIVITI



“Saya risau kalau semua orang ingat mati, produktiviti syarikat ini akan menurun,” kata pegawai tinggi sebuah organisasi. Dia begitu sinis sekali dengan ceramah-ceramah yang menyentuh soal mati.
“Kenapa tuan beranggapan begitu?” tanya saya.

“Bila ingat mati, masing-masing fikir diri sendiri sahaja. Mereka akan asyik solat dan zikir wirid sahaja. Mereka akan tinggalkan kerja. Saya tak setuju langsung ceramah tentang mati ni dibuat dalam organisasi ini. Sorry, saya tak setuju!” katanya berterus-terang.

“Saya rasa tidak begitu. Bila semua ingat mati, makin meningkatkan kualiti dan produktiviti syarikat ini,” kata saya.
“ Kenapa pula?” Kali ini dia pula yang bertanya.
“Orang yang ingat mati sedar dia akan menemui Allah,” jawab saya pendek.
“Apa kaitan hal itu dengan produktiviti?”

“Kalau kita sedar kita akan bertemu Allah kita akan memperelok dan memperbanyakkan ibadah.”
“Itu yang saya kata tadi… bila asyik beribadah kita akan lupa dan lalai bekerja. Habislah syarikat ini.”

Saya tersenyum. Dalam hati tertanya-tanya apakah dia belum faham konsep ibadah yang sebenar atau ada masalah lain yang “bermain” di mindanya.
“Tuan, ingin saya ingatkan konsep ibadah itu luas. Ibadah bukan sahaja solat, zikir dan wirid. Kerja juga satu ibadah.”
Dia merenung saya. Saya bersikap biasa-biasa sahaja.
“Maksud awak saya tak faham konsep ibadah?” tusuknya tiba-tiba.
“Saya Cuma mengingatkan. Ibadah itu terbahagi tiga – ibadah asas, ibadah sunat dan ibadah khusus. Ibadah asas itu, solat, puasa, zakat dan lain-lain rukun Islam. Ibadah sunat itu banyak antaranya zikir, wirid, baca Quran, solat dan puasa sunat.”

“Itu saya tahu,” getusnya.
“Manakala ibadah umum pula adalah seluruh aktiviti hidup kita selain ibadah asas dan ibadah sunat tadi. Termasuklah kita bekerja, berniaga, berhibur, bermesyuarat dan lain-lain.”
Tanpa mempedulikan reaksinya saya terus memberi penerangan.

“Tu yang saya kata tadi. Nanti semua tumpu pada ibadah asas, ibadah umum terpinggir. Pekerja kita ni bukan faham sangat konsep ibadah yang berbelit-belit ni.”
“Kitalah yang mesti memahamkan mereka. Ceramah tentang mati ini perlu dibuat selepas ceramah tentang visi dan misi hidup, konsep ibadah, habluminallah, habluminannas,” pujuk saya.

“Saya tak yakin mereka boleh difahamkan. Orang Melayu kita ni bila ingat mati gementar, takut, kecut… saya tak mahu menakut-nakutkan mereka. Kita nak kualiti, kita nak produktiviti. Ingat mati ni soal peribadi, bukan soal organisasi. Dalam organisasi kita bercakap soal keuntungan.”
“Tuan, Islam menganjurkan agar kita ingat mati, bukan takut mati. Yang tuan bimbangkan tu takut mati, bukan ingat mati.”

“ Apa bezanya?” tanyanya. Suaranya mula meninggi.
Saya diam sejenak. Berfikir untuk mengolah kata-kata yang baik. Mengadun antara kebenaran dan kelembutan

“Saya teringat maksud sebuah hadis…” kata saya memulakan penjelasan.
“Awak jangan berselindung di sebalik hadis!”
“Bukan berselindung tuan, tetapi pada siapa lagi yang patut kita sandarkan segala hujah dan pandangan melainkan kepada Rasulullah?” jelas saya perlahan.
“Apa maksud hadis tu? Direct to the point!”

“Orang yang ingat mati akan menyegerakan taubat, meningkatkan ibadah dan tenang dalam hidup. Itu maksud hadis. Sama ada ibadah asas, sunat dan umumnya. Tapi orang yang takut mati, akan hilang semangat untuk hidup. Takut mati menyebabkan mereka juga takut hidup. Hilang daya dan tenaga untuk berusaha.”

“Saya masih bimbang mereka akan takut mati bukan ingat mati.”
Perlahan-lahan saya menggeleng-gelengkan kepala. Sekarang saya mula berfikir, ini masalah dia atau masalah pekerjanya.
“Tuan jangan lupa satu golongan lagi. Mereka tu ingat mati pun tidak, takut mati pun tidak…”
“Ada lagi?”
“Ya, satu golongan lagi adalah mereka yang lupa mati. Golongan ini akan menangguhkan taubat, meremehkan ibadah dan jiwanya sentiasa kacau. Mereka ini sangat benci bila diperingatkan tentang mati kerana itu mengganggu keseronokan mereka melakukan maksiat dan dosa,” ujar saya lagi. Kebenaran itu memang pahit, walau betapa indahnya bahasa kita mengucapkannya.

“Saya masih khuatir mereka akan berkurung di surau, asyik solat, solat duha, doa berjam-jam lamanya. Kerja tertangguh.”
Terkedu saya. Satu kebimbangan yang tidak berasas.
“Kita perlu terangkan kepentingan ibadah umum. Ibadah umum yang kebanyakannya dikategorikan dalam fardu kifayah. Fardu kifayah kedudukannya lebih tinggi daripada ibadah sunat.”
“Maaflah, awak masih berfalsafah. Kita mesti realistik. Syarikat ini sedang mengalami masalah. Produktiviti dan kualiti menurun secara drastik.”
“Mengapa? Apa sebabnya?”

“Culas, curi tulang, pembaziran, rasuah…”
“Tuan, itu semua sikap orang yang lupakan mati,” jolok saya pula.
“Lagi-lagi mati. Kita bercakap tentang hidup sekarang!”
“Bercakap tentang mati akan menyebabkan kita jelas tentang hidup. Persediaan menghadapi mati dibuat semasa hidup. Keadaan hidup selepas mati sangat berkait dengan keadaan hidup sebelum mati!”
“Saya tambah tak faham dengan awak.”

“Maksud saya orang yang curi tulang, culas dan rasuah itu tidak takut dengan dosa. Mereka hanya takut dengan undang-undang dunia. Kalau mereka nampak undang-undang dunia ada kelemahan, kurang penguatkuasaan, maka di situlah mereka ambil kesempatan.”

“Apa kaitan itu dengan mati?”
Lucu. Kali ini dia pula yang mengingatkan saya tentang mati.
“Kalau mereka ingat mati, mereka ingat hari pertemuan dengan Allah di hari akhirat. Di sana segala dosa yang disembunyikan dari manusia dan yang terlepas dari undang-undang dunia akan dipaparkan dengan nyata. Bukan dipaparkan sahaja, bahkan akan beri hukuman dengan api neraka.”
Dia mula diam.
“Di sana nanti Allah akan tanyakan segala-galanya. Tentang solat, tentang kerja, tentang keluarga. Jika semua beres, baiklah keadaan hidup kita di sana. Itu yang saya katakan tadi, keadaan hidup selepas mati sangat ditentukan oleh corak kehidupan kita sebelum mati.”
“Maksud awak keadaan hidup di dunia kita sangat menentukan keadaan hidup di akhirat?”
“Ya, begitulah tuan. Orang yang ingat mati, akan melaksanakan amanah dan tanggung jawabnya dengan baik dalam famili, organisasi dan masyarakat.”

“Saya takut orang yang ingat mati asyik solat sahaja!”
“Asyik solat? Apa salahnya dengan solat?”
“Kalau asyik solat sahaja mana sempat buat kerja?”
Saya macam nak tergelak. Macamlah ramai sangat orang yang solat sampai tak sempat buat kerja. Realitinya, ramai yang bekerja sampai tak sempat solat. Dan lebih ramai orang yang tak sempat buat kedua-dua. Solat tidak, kerja pun tidak. Lalai, leka dan terbuai dengan hiburan semata-mata. Ramai yang curi masa di pejabat kerana leka dengan kerja-kerja luar, buat “direct selling”, “game”, “chatting”, “face book” dan segala macam.

“Saya rasa orang yang solatlah yang paling jujur dan amanah dalam kerja.”
“Mana boleh macam tu…”
“Ini Al Quran kata. Solat itu mencegah dari fahsya’ dan mungkar. Termasuklah mungkar dalam pekerjaan seperti culas, membazir, rasuah, curi tulang dan lain-lain.”
“Saya pernah jumpa orang yang banyak solat tapi rasuah, curi tulang…”
“Tentu ada salah di mana-mana dengan solatnya. Kalau solat tak mencegah kemungkaran, solat itu bukan solat. Ini hadis.”
“Maksud awak?”
“Mungkin solat kerana riyak. Mungkin jahil dengan ilmu solat. Atau tidak mujahadah hingga solatnya dikategorikan sebagai solat orang yang lalai. Khusyuk jauh sekali!”
“Jalan penyelesaian?”
“Perlu diberi ilmu, dididik dan dilatih dengan program solat yang sebenar!”
“Ke situ balik… saya bercakap tentang produktiviti dan kualiti kerja, awak bercakap dengan kualiti solat… Pelik!”


Saya tersenyum. Inilah realiti kefahaman majoriti umat Islam. Amalan Islam dilihat secara terpisah-pisah. Padahal semua amalan Islam itu bersepadu. Yang satu mempengaruhi yang lain. Solat ada impaknya kepada pekerjaan. Membetulkan solat boleh membetulkan pekerjaan. Soal ketepatan waktu, pengurusan masa, amanah, fokus, kebersihan, keikhlasan yang menjadi teras dalam solat seharusnya melimpah kesannya bila kita bekerja.
“Kalau begitu kita perlukan program latihan yang menyentuh soal mati ke, solat ke atau produktiviti? Saya makin keliru sekarang…” kata pegawai tinggi tersebut.
“Ketiga-tiganya sekali. Kita perlu program latihan yang bersepadu. Hingga dengan itu pekerja yang ingat mati akan serius dengan solat dan seterus akan meningkatkan produktiviti dan kualiti pekerjaannya!” jawab saya.

Dia tersentak. Saya semakin yakin, sebelum orang bawahannya menjalani program latihan yang dibincangkan itu… dialah orang yang perlu menjalaninya terlebih dahulu. Ketua yang keliru, akan mengelirukan anak buahnya!
Read rest of entry

MENIKMATI PELANGI CINTA



Tidak akan diketahui kecintaan seseorang sehingga tiba saat berpisah. Tidak diketahui kesabaran seseorang sehingga tiba masanya dia patut marah.

Dan tidak diketahui keberanian seseorang sehingga tiba waktu berperang. Demikan kata pendita. Benar, cinta yang lama (setelah usia perkahwinan meningkat) hanya akan bergetar semula bila berpisah.

Perpisahan yang sekali-sekala akan menyuburkan percintaan. Tetapi jangan terlalu lama, justeru jika terlalu lama ia mengundang bahaya kerana ia boleh mengundang fitnah dan mampu menghakis setia.

Jika sayangkan anak tangan-tangankan, mungkin sayangkan isteri perlu ditinggal-tinggalkan. Dan dalam kehidupan pejuang agama dahulu, kini dan akan datang, perpisahan memang sudah menjadi “mainan”.

Walaupun, mungkin ada yang melihat perpisahan dikalangan suami isteri yang berkahwin itu satu yang memedihkan, tetapi ia sebenarnya baik untuk menyuburkan rasa cinta. Maksud saya bukan berpisah kerana bercerai tetapi berpisah kerana berjauhan oleh sesuatu urusan atau tugasan.

Jangan terus-terusan “berkepit” di rumah. Manusia tidak boleh lari daripada rasa jemu. Oleh itu para suami harus keluar dalam tempoh tertertu dan pada pada waktu-waktu tertentu tanpa rasa berat hati, enggan atau malas. Lebih-lebih lagi atas tujuan dakwah, kebajikan dan membuat kebaikan. Bukankah itu hak Allah atas kita? Janganlah hendaknya kerana terlalu cinta isteri sehingga kita mengabaikan cinta Allah.

Sayidina Abu Bakar pernah mengarahkan anak lelakinya menceraikan isteri yang baru dikahwininya apabila didapati anak lelakinya itu sudah jarang keluar solat berjemaah di masjid sejak berkahwin. Sudah menjadi tradisi para sahabat Rasulullah SAW dan baginda sendiri, keluar daripada kota Madinah sama ada untuk berperang atau berdakwah. Dan tentunya sahaja ini memaksa mereka sering berpisah dengan isteri mereka.

Percayalah kekadang Allah menghilangkan seketika mentari, kemudian DIA datangkan guruh dan kilat. Puas kita meratap di mana serinya mentari… rupa-rupanya Allah ingin mengurniakan pelangi yang indah. Oh, itu rupanya hikmah berpisah. Cinta akan menjadi lebih indah!

Kalau dahulu, dengan bermusafir ertinya terjadilah perpisahan secara total, kerana pada masa itu tidak ada lagi alat-alat komunikasi seperti hari ini, maka sekarang keadaan sudah berbeza. Sudah banyak alat untuk berhubung walaupun berjauhan lama atau seketika. Jadi, apa salahnya semua alat itu dimanfaatkan untuk “meredakan” rasa rindu yang pasti melanda dengan syarat, perhubungan itu tidak merosakkan atau mengganggu tugasan dan tanggung jawab semasa di perantauan.

Malah kadangkala tempoh berjauhan seperti itu, yakni semasa hati dan emosi sangat lembut sekali, adalah ketika yang paling sesuai dimanfaatkan untuk mendidik isteri (selain anak-anak). Berbicara dari jauh kekadang lebih mendekatkan. Benar sekali kata pepatah, “jauh-jauh berbau bunga.” Ingat, cinta kadangkala menjadi lebih subur dikejauhan berbanding berdekatan.

Di kejauhan kekadang kebaikan, kejelitaan dan kesetiaan isteri kita akan lebih terasa. Bukankah terlalu dekat ada kalanya menjadikan kita buta? Ramai suami yang asyik memarahi isterinya bila bersama, tetapi apabila isterinya itu meninggal dunia, maka dialah yang paling banyak meratap, menangis sayu kerana rindu dan cintakannya.

Apa yang ada sering dilupakan, apa yang tiada sering didamkan. Itulah ungkapan untuk membayangkan sifat manusia ketika berdepan dengan nikmat jasmani dan itulah juga sifatnya bila berdepan dengan nikmat rohani termasuk soal cinta. Jadi, bila berjauhan ertinya kita “hilang” seketika akan dirinya, maka sudah tentulah ini akan menyerlahkan semula cinta yang selama ini terpendam. Oh, rupanya cinta itu masih ada, malah masih membara dan menyala.

Kalau ada yang bertanya, mengapa ketika berjauhan bukan dia yang dikenang? Sudah hampir sepurnama bermusafir, tetapi wajah isteri yang ditinggalkan tidak juga muncul-muncul dalam ingatan, doa dan kerinduan… Oh, itu petanda kurang baik. Mungkin cinta itu bukan terpendam, tetapi sudah terpadam. Jika ada cinta, pasti ada rindu. Jika ada rindu pasti ada keinginan – ingin bertemu, berbual, bermesra dan sebagainya. Tetapi jika semua itu sudah tidak ada, ah khuatir saya, mungkin cinta itu sudah tidak ada!

Untuk anda saudara ku, mari seketika ku ajak kembara bersama sepucuk surat cinta ini…

Ke ribaan isteriku yang tersayang…Sayang, aku tenang di sini kerana ku yakin kau telah menerima hakikat ini dengan tabah dan bijaksana. Hentikan tangisanmu di sana. Demi ketenanganku di sini. Yakinlah, perpisahan sebenar bukan kerana jaraknya destinasi. Tetapi oleh retaknya hati.

Perpisahan ini, insya-Allah akan menyuburkan cinta… sekiranya kita menerimanya sebagai satu didikan Allah. Yakinlah, kita akan bertemu dalam suasana yang lebih indah dan manis. Perpisahan ini adalah mahar buat saat yang indah itu.

Semoga perpisahan ini menguatkan jiwaku. Tiadalah ubat jiwa yang paling mujarab kecuali mencintai Allah. Dan dengan cinta itu nanti semuga kita saling menyintai kerana Allah – cinta yang lebih suci.

Kita dipaksa berpisah untuk “dijemput” ke daerah tauhid dan syariat-Nya. Selama ini kita terlalu banyak berlakon-lakon dan bermain-main dengan pelbagai alasan dan kemalasan. Aku pasrah dengan “paksaan” ini walaupun suntikannya terlalu sakit, ubatnya pahit.

Sayangku,
Hadapilah kenyataan yang sudah termaktub sejak azali ini. Kesedihan dan air mata tidak akan meredakan hati apalagi menyelesaikan masalah. Aku sentiasa berdoa untukmu.

Ya Allah…
Ampunilah dosa-dosa isteriku dan memaafkan semua kesalahannya. Kuatkanlah iman dan taqwanya… dengan Kau suburkan selalu dihatinya rasa hina, berdosa, jahil, lemah, miskin, berharap terhadap-Mu.

“Ya Rahim…
Berilah dia kekuatan dan kesabaran dalam mendidik anak-anak kami. Agar ditangannyalah nanti tertempa zuriat yang soleh dan solehah. Bimbinglah kemarahannya, kebijaksanaannya, kesabarannya, kelembutannya, hukumannya dan segala-galanya dengan seimbang, agar dia terdidik untuk mendidik.”

“Ya Rahman…
Maniskanlah akhlak isteriku semanis wajahnya. Hiasilah kata-kata dari lidahnya dengan kebenaran dan kelembutan, seperti Kau telah hiasi matanya dengan kecantikan. Berilah kecantikan dan keindahan hakiki dengan limpahan taqwa yang sejati.”

“Ya Rabbi…
Lembutkan hati isteriku agar mudah ia mengadu-ngadu pada-Mu. Lenturlah jiwanya agar ia mudah merayu-rayu dan meminta-minta pada-Mu. Haluskanlah perasaannya agar dia mampu menangis dan merintih-rintih pada-Mu. Hancur dan remuk-redamlah dirinya dalam menerima didikan-Mu kerana di situlah pengiktirafan dia sebagai hamba-Mu.”

Sayang,
Ramai pasangan berpisah kerana putus cinta. Namun lebih ramai yang terpisah kerana terlalu cinta. Bila cinta makhluk membelakangi cinta Allah, maka cinta itu akan kehilangan daya untuk bercinta sesamanya. Ia akan layu, kesepian dan keseorangan. Pada cinta yang ilusi begini… pertemuan adalah perpisahan. Tapi bila cinta itu cinta hakiki, berpisahkanpun masih bertemu.

Justeru, perpisahan ini untuk menyelamatkan. Perpisahan ini adalah mehnah yang akan menguatkan kembali ikatan perkahwinan. Ia adalah satu “reaksi berantai” kepada semua yang ada ikatan dengan kita. Agar semuanya bergantung dengan ALLAH semata. Jangan kita bergantung dengan selain-Nya.

Makhluk yang terhubung atas nama suami, isteri, ibu, bapa, anak, adik, abang, kakak, saudara, sahabat atau apa sahaja akhirnya akan pergi jua. Sesungguhnya, perpisahan adalah cara Allah “mencantas” pergantungan hati kita dengan yang bernama suami, isteri, ibu, bapa, anak dan saudara.

Hakikatnya saat itu pasti tiba. Mati boleh terjadi bila-bila. Ketika itu jika hati tidak bersedia… pedih dan sakitnya tentu terlalu. Mungkin hilang kewarasan, mungkin luntur semangat, kecewa untuk meneruskan hidup. Dan paling khuatir, terhakis iman, tercalarnya tauhid.

Sayang… bergantunglah pada Allah kerana hubungan kita dengan-Nya tidak akan dipisahkan istilah janda, duda dan yatim. Sedangkan hubungan kita sesama manusia tidak dapat tidak, pasti diputuskan oleh MATI. Justeru… anggaplah perpisahan ini satu persediaan untuk menghadapi saat mati yang sudah pasti datang.

Syukur … kerana dahulu pernah aku terlintas, bagaimana nanti kalau kalau salah seorang daripada kita dipanggil pulang oleh Allah? Apakah ketika itu hati akan redha? Ah, lantaran benci merasainya, fikiran dikunci daripada memikirkannya…. Padahal itu sudah pasti. Oh! Tuhan, benci betul rupanya kita kepada mati.

Angkuh betul kita dengan ‘milik’ pinjaman Allah ini. Seolah-olah isteri, suami, anak-anak dan lain-lain itu benar-benar kepunyaan kita. Terlalu berat untuk memulangkannya. Sebab ‘memulangkannya’ bererti berpisah!

Tidak sanggup kita “pulangkan” kembali bila tarikh pulangnya sudah tiba. Kini, alhamdulillah, pinjaman itu dipinta kembali oleh Allah buat sementara… aku diserahkan kembali olehmu, dan kau diserahkan kembali olehku kepada-Nya.

Didikan ini sangat mahal harganya. Inilah intipati iman kita kepada satu ayat Quran yang sangat pendek:
“Sesungguhnya kita kepunyaan Allah, dan kepada Allah kita akan dikembalikan.”
Bersedialah untuk menghadapi yang terburuk akibat perpisahan ini. Namun jangan sekali-kali terputus dari berharap sesuatu yang terbaik.

Doaku dan doamu pasti dicelahi oleh rasa bimbang takut-takut tidak diperkenankan tetapi padamkanlah segalanya dengan satu keyakinan bahawa ia pasti diperkenankan. Amin. Yang penting… bukan diperkenankan atau tidak, tetapi semoga Allah tingkatkan kesabaran, keimanan dan tawakal kita menghadapi apa jua takdir-Nya.

Isteriku, jangan dipinta ringankan ujian, tetapi pintalah ‘beratnya’ iman untuk menghadapi ujian itu!
Read rest of entry

YANG LEBIH INDAH DARIPADA CINTA!




Telah ku katakan sebelumnya, dipercayai lebih utama daripada dicintai. Dan itulah juga ungkapan yang kerap diulang-ulang oleh mereka yang arif tentang cinta. Ramai yang kurang bersetuju dengan kata-kata ini. Masakan begitu, detik hati kita.

Teringat kembali detik mengetahui cinta kita telah diterima oleh si dia… Ah, gembiranya saat itu. Dunia ini seakan tersenyum. Bulan, mentari dan bintang seakan turut bersama kita meraikan detik yang sangat indah itu. Bukankah dicintai lebih utama daripada dipercayai? Hati kita berkata-kata.

Musim berlalu. Alam rumah tangga yang kita bina bersamanya menongkah arus ujian. Pelbagai suka duka, pahit manis diharungi bersama. Kata orang, semakin tinggi pokok yang kita panjat, semakin kuat pula angin yang menggoyang. Maksudnya, semakin tinggi puncak kehidupan ini kita daki maka semakin banyak dan hebat ujian yang menggugah hati. Warna sebenar (true colours) kita dan pasangan kita akan terserlah. Pada ketika itu segala yang pahit, masam, busuk akan terserlah…

Cinta semata-mata tidak akan mampu mempertahankan keharmonian rumah tangga. Perkahwinan dimulakan oleh cinta tetapi disempurnakan oleh tanggung jawab. Cinta itu satu rasa yang bertunjangkan perasaan. Perasaan tanpa kekuatan jiwa dan kematangan berfikir akan goyah apabila berdepan dengan ujian. “Perasaan” adalah hamba yang baik tetapi tuan yang sangat buruk. Justeru, jika ingin selamat, pastikan perasaan “bekerja” untuk kita, bukan sebaliknya.

Akan tiba masanya, sesuatu yang kita lihat indah dahulu tidak indah lagi kini. Jika kita hanya bergantung kepada perasaan, cinta kita akan tercalar. Pada ketika itu cinta memerlukan tanggung jawab dan tanggung jawab menuntut satu kepercayaan. Ketika cinta mula goyah di pentas rumah tangga, tanggung jawab akan datang menyelamatkan “pertunjukan” dengan peranan yang lebih berkesan.

Cuba bayangkan, ketika isterimu hamil, muntah-muntah, rambut kusut dan badannya tidak terjaga lagi kerana menanggung derita tempoh mengandung, ketika mulutnya mula becok mengasuh dan mengelolakan anak yang berderet selang setahun, atau ketika suamimu termenung memikirkan belanjawan rumah yang semakin meningkat atau keceriaannya semakin menurun gara-gara sibuk mengejar tugasan yang bertali arus… Bagaimana? Masih berserikah wajah sidia seperti yang kita lihat pada malam pertama?

Atau lebih menguji lagi apabila umur perkahwinan semakin lanjut dan kita sudah mencecah usia senja. Pada saat itu darah tinggi, diabetes, tahap kolesterol, obesiti dan malam-macam penyakit mula bertamu. Mungkin kita selamat, isteri pula yang menghidapnya. Bagaimana? Sanggupkah kita menjaganya dengan setia? Membawanya ke hospital memenuhi rutin rawatan, memastikan segala ubat-ubat dimakannya menepati jadual, atau lebih “ekstrem” lagi terpaksa menyuap makan-minumnya ketika dia sudah terbaring kesakitan serta menukar kain lampin kerana dia sudah tidak mampu mengurus diri?

Cinta memang hebat, tetapi ia tidak dapat menandingi tanggung-jawab. Cinta yang hebat ialah cinta yang ditunjangi tangung jawab. Cinta itu untuk memberi bukan untuk menerima. Lafaz, “aku terima nikah,” oleh kita sebagai suami musim lalu bukan bererti kita menerima sebaliknya untuk memberi. Kita memikul tanggung jawab untuk memberi kasih-sayang, perhatian, pembelaan, didikan dan segalanya…

Pun begitu bagi si isteri… penerimaan mu sebagai pasangan hidupnya bukan ertinya untuk kau menerima tetapi untuk memberi – memberi kesetiaan, kepatuhan, pembelaan dan seluruh jiwa raga mu untuknya. Kau telah membuat satu aku janji yang paling suci dan tinggi dalam hidup mu, bukan untuk seseketika tetapi untuk selama-lamanya. Bukan hanya ketika suami mu bertubuh kekar, tetapi sehinggalah dia terlantar. Bukan hanya ketika rambutnya hitam tersisir rapi, tetapi hingga rambutnya putih dan mungkin tidak tumbuh-tumbuh lagi!

Itu baru ujian luaran. Belum lagi ujian dalaman yang berbentuk cemburu, jemu, marah, curiga dan lain-lain “virus” perhubungan. Berapa banyak hubungan yang terputus atau tinggal nyawa-nyawa ikan kerana hilangnya kepercayaan.
“Aku cintakannya, tetapi aku curiga apakah dia setia dengan ku?”
“Tergodakah dia bila di belakangku?”
Itulah contoh dialog hati yang merasuk bila ada cinta tetapi kurang ada percaya. Fobia dan trauma ini sering melanda rumah tangga. Ia akan menyebabkan hilang bahagia.

Pernah anda lihat si suami yang “diganggu” panggilan telefon oleh isterinya setiap selang 15 minit sekali? Aduh rimasnya. Betulkah itu kerana cinta atau kerana curiga. Pada hal cinta itu membebaskan bukan mengawal. Jika kita benar cintakan suami atau isteri, dan cinta itu ditunjangi oleh kepercayaan, kita tidak akan mengawalnya bahkan kita akan membebaskannya. Terbanglah ke mana kau suka, insya-Allah kau akan kembali jua. Justeru hati mu… tetap di sini, di hati ku!

Ada si suami yang curi-curi memeriksa “inbox” dan “sent” telefon bimbit isteri kalau-kalau ada SMS yang mencurigakan? Ada pula isteri yang menyelongkar setiap inci kereta suami takut-takut ada “kesan-kesan” tinggalan perempuan lain. Pernah saya dengar ada suami yang memusnahkan segala resit, bil, surat-surat kecil, dan apa jua dokumen-dokumen picisan dalam poket dan beg duitnya sebelum pulang ke rumah takut “disoal siasat” oleh isterinya?

“Ini bil makan, abang makan dengan siapa?”
“Lain macam sahaja mesranya SMS ini, ada apa-apa ke ni?”
“Eh, banyak yang abang beli ni. Tetapi kenapa nampak sedikit sahaja yang dibawa pulang ke rumah?”

Itulah soalan-soalan isteri yang menyebabkan suami terkial-kial menjawabnya. Pada suami semua itu remeh temeh, tetapi tidak pada isteri yang tidak percaya, semua itu boleh dijadikan modal “perang besar”. Kalau si suami disyaki ada di tempat yang tidak sepatutnya ada atau pada waktu yang tidak sesuai, siap sedialah menghadapi hukuman jika gagal memberikan “alibi”!

Itulah gara-gara sama ada isteri tidak mempercayai suami atau suami tidak mempercayai isteri atau kedua-duanya sudah saling tidak mempercayai! Bukan kerana tidak ada cinta tetapi kerana hadirnya sebuah curiga akibat hilang rasa percaya. Sebab itu mengikut kajian, penceraian banyak berlaku bukan sahaja pada pasangan yang sudah kehilangan cinta tetapi pada pasangan yang terlalu cinta.

Tidak percayakan seseorang disebabkan dua faktor. Pertama, kita belum benar-benar mengenalinya. Kedua, kerana kita telah benar-benar mengenalinya. Jika disebabkan faktor yang pertama, jalan terbaik ialah kenalilah pasangan anda dengan lebih mendalam. Berkenalan kali pertama dahulu (seawal usia perkahwinan) adalah untuk menumbuhkan bibit-bibit cinta. Tetapi perkenalan kali kedua, ketiga dan seterusnya yakni setelah usia perkahwinan meningkat adalah untuk menyuburkan bibit-bibit percaya. Adalah salah sekali kalau kita beranggapan yang kita telah kenal pasangan kita dan terus menghentikan proses perkenalan. Sedangkan proses perkenalan dalam rumah tangga adalah “on going” (berterusan) sifatnya.

Kenal itu sangat berkait dengan rasa cinta. Dan cinta sejati dalam sebuah rumah tangga adalah dibina atas perkenalan bukan sahaja dengan kebaikan pasangan kita tetapi juga dengan keburukannya. Ya, kita sanggup menerima bukan sahaja yang indah tetapi juga yang hodoh pada wajah batin pasangan kita. Keburukannya akan kita cuba sama-sama atasi dan jika tidak, kita terima seadanya kerana kita sedar kita berkahwin dengan manusia bukan malaikat.

Kita akan terus mempercayainya walau apa pun keadaan. Kita mengingatkan bila dia terlupa dan membantunya sewaktu dia ingat. Jangan sekali-kali hilang kepercayaan. Selagi kita bertekad meneruskan perkahwinan hingga ke akhir hayat, pupuklah kepercayaan. Kepercayaan itu akan melahirkan tanggung jawab dan tanggung jawab adalah oksigen cinta. Oksigen itulah yang akan memberi stamina kepada cinta untuk terus kembara dari dunia hingga ke syurga.

Jika anda bertanya bagaimana memupuk kepercayaan? Jawabnya, kembalilah kepada kepercayaan-kepercayaan yang asas dan teras. Apa lagi jika bukan Rukun Iman? Binalah semua jenis percaya di atas enam kepercayaan itu. Jika suami dan isteri percayakan Allah, dan sama-sama berpegang kepada kehendak-Nya, maka mereka akan saling mempercayai antara satu sama lain. Percayalah kepercayaan kepada Allah itu adalah simpulan yang mengikat kepercayaan sesama manusia.

Sebab itulah kepercayaan juga disebut sebagai akidah – ertinya simpulan. Simpulan yang mempertautkan segala kebaikan. Ya, kepercayaan kita kepada Allah akan menyebabkan pasangan kita mempercayai kita.
“Ah, suami ku jauh. Tetapi aku percayakannya. Dia adalah mukmin yang teguh agama.”
“Aduh lamanya kita berpisah. Namun isteri ku, iman akan menjaga mu…”

Bila hancur sebuah cinta bererti hancurlah satu kepercayaan. Bila hancur kepercayaan bererti hancurlah iman. Wahai suami, wahai isteri… sekali lagi ku tegaskan inilah oksigen cinta. Dan bagi semua yang masih belum mengenal cinta (antara lelaki dengan wanita), burulah sesuatu yang lebih indah daripada dicintai… itulah dipercayai!

Bukankah nabi Muhammad itu lebih dahulu mendapat gelar ”Al Amin” (dipercayai) sebelum menemui srikandi cintanya Siti Khadijah?
Read rest of entry

MENCARI KETENANGAN HATI



Ketenangan itu dicapai melalui zikrullah. Namun zikrullah yang bagaimana dapat memberi kesan dan impak kepada hati? Ramai yang berzikir tetapi tidak tenang. Ada orang berkata, “ketika saya dihimpit hutang, jatuh sakit, dicerca dan difitnah, saya pun berzikir. Saya ucapkan subhanallah, alhamdulillah, Allah hu Akbar beratus-ratus malah beribu-ribu kali tetapi mengapa hati tidak tenang juga?”

Zikrullah hakikatnya bukan sekadar menyebut atau menuturkan kalimah. Ada bezanya antara berzikir dengan “membaca” kalimah zikir. Zikir yang berkesan melibatkan tiga dimensi – dimensi lidah (qauli), hati (qalbi) dan perlakuan (fikli). Mari kita lihat lebih dekat bagaimana ketiga-tiga dimensi zikir ini diaplikasikan.

Katalah lidah kita mengucapkan subhanallah – ertinya Maha Suci Allah. Itu zikir qauli. Namun, pada masa yang sama hati hendaklah merasakan Allah itu Maha Suci pada zat, sifat dan af’al (perbuatannya). Segala ilmu yang kita miliki tentang kesucian Allah hendaklah dirasai bukan hanya diketahui. Allah itu misalnya, suci daripada sifat-sifat kotor seperti dendam, khianat, prasangka dan sebagainya.

* Dimensi kata, rasa dan tindakan

Jika seorang hamba yang berdosa bertaubat kepada-Nya, Allah bukan sahaja mengampunkannya, malah menghapuskan catatan dosa itu, bahkan menyayangi dan memberi “hadiah” kepadanya. Firman Allah:
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya, mudah-mudahan Allah akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai…”At Tahrim 8

Firman Allah lagi:
“… Sungguh, Allah menyukai orang yang taubat dan menyukai orang yang menyucikan diri” al baqarah 222.

Sifat ini berbeza sekali dengan kita manusia yang kekadang begitu sukar memaafkan kesalahan orang lain. Dan segelintir yang mampu memaafkan pula begitu sukar melupakan – forgive yes, forget not! Hendak memberi hadiah kepada orang yang bersalah mencaci, memfitnah dan menghina kina? Ah, jauh panggang daripada api! Begitulah kotornya hati kita yang sentiasa diselubungi dendam, prasangka dan sukar memaafkan. Tidak seperti Allah yang begitu suci, lunak dan pemaaf. Jadi, apabila kita bertasbih, rasa-rasa inilah yang harus diresapkan ke dalam hati. Ini zikir qalbi namanya.

Tidak cukup di tahap itu, zikrullah perlu dipertingkatkan lagi ke dimensi ketiga. Hendaklah orang yang bertasbih itu memastikan perlakuannya benar-benar menyucikan Allah. Ertinya, dia melakukan perkara yang selaras dengan suruhan Allah yang Maha Suci dan meninggalkan apa yang dilarang-Nya. Yang halal, wajib, harus dan sunat dibuat. Manakala yang haram dan makruh ditinggalkannya. Zina, mengumpat, mencuri, memfitnah dan lain-lain dosa yang keji dan kotor dijauhi. Bila ini dapat dilakukan kita telah tiba di dimensi ketiga zikrullah – zikir fikli!

Sekiranya ketiga-tiga dimensi zikrullah itu dapat dilakukan, maka kesannya sangat mendalam kepada hati. Sekurang-kurang hati akan dapat merasakan empat perkara:

* Rasa kehambaan.
* Rasa bertuhan.
* Memahami maksud takdir.
* Mendapat hikmah di sebalik ujian.

Hati adalah sumber dari segala-galanya dalam hidup kita, agar kehidupan kita baik dan benar, maka kita perlu menjaga kebersihan hati kita. Jangan sampai hati kita kotori dengan hal-hal yang dapat merosak kehidupan kita apalagi sampai merosak kebahagiaan hidup kita di dunia ini dan di akhirat nanti. Untuk menjaga kebersihan hati maka kita juga perlu untuk menjaga penglihatan, pendengaran, fikiran, ucapan kita dari hal-hal yang dilarang oleh Allah SWT. Dengan menjaga hal-hal tersebut kita dapat menjaga kebersihan hati kita. Dengan hati yang bersih kita gapai kebahagiaan dunia dan akhirat.

* Rasa kehambaan.

Rasa kehambaan ialah rasa yang perlu ada di dalam hati seorang hamba Allah terhadap Tuhan-Nya. Antara rasa itu ialah rasa miskin, jahil, lemah, bersalah, hina dan lain-lain lagi. Bila diuji dengan kesakitan, kemiskinan, cercaan misalnya, seorang yang memiliki rasa kehambaan nampak segala-galanya itu datang daripada Allah. Firman Allah:
“Katakanlah (Muhammad), tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah pelindung kami, dan hanya kepada Allah bertawakal orang-orang yang beriman.” At Taubah: 51

Seorang hamba akan pasrah dan merasakan bahawa dia wajar diuji. Bukankah dia seorang hamba? Dia akur dengan apa yang berlaku dan tidak mempersoalkan mengapa aku yang diuji? Kenapa aku, bukan orang lain? Ini samalah dengan mempersoalkan Allah yang mendatangkan ujian itu. Menerima hakikat bahawa kita layak diuji akan menyebabkan hati menjadi tenang. Jika kita “memberontak” hati akan bertambah kacau.

Imam Ghazali rhm pernah menyatakan bahawa cukuplah seseorang hamba dikatakan sudah “memberontak” kepada Tuhannya apabila dia menukar kebiasaan-kebiasaan dalam hidupnya apabila diuji Allah dengan sesuatu yang tidak disukainya. Misalnya, dia tidak lalu mahu makan-minum secara teratur, tidak mandi, tidak menyisir rambut, tidak berpakaian kemas, tidak mengemaskan misai dan janggut dan lain-lain yang menjadi selalunya menjadi rutin hidupnya. Ungkapan mandi tak basah, tidur tak lena, makan tak kenyang adalah satu “demonstrasi” seorang yang sudah tercabut rasa kehambaannya apabila diuji.

Bila ditimpa ujian kita diajar untuk mengucapkan kalimah istirja’ – innalillah wa inna ilaihi rajiun. Firman Allah:
“…Iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-nyalah kami kembali.” Al baqarah 156

Mengapa kita diperintahkan mengucapkan istirja’? Kalimah ini sebenarnya mengingatkan kita agar kembali merasakan rasa kehambaan. Bahawa kita adalah hamba milik Allah dan kepada-Nya kita akan dikembalikan. Kita layak, patut dan mesti diuji kerana kita hamba, bukan tuan apalagi Tuhan dalam hidup ini.

* Rasa bertuhan.

Rasa kehambaan yang serba lemah, miskin, kurang dan jahil itu mesti diimbangi oleh rasa bertuhan. Bila kita rasa lemah timbul pergantungan kepada yang Maha kuat. Bila kita rasa kurang timbul pengharapan kepada yang Maha sempurna. Bila miskin, timbul rasa hendak meminta kepada yang Maha kaya. Rasa pengharapan, pengaduan dan permintaan hasil menghayati sifat-sifat Allah yang Maha sempurna itulah yang dikatakan rasa bertuhan.

Jika rasa kehambaan menyebabkan kita takut, hina, lemah sebaliknya rasa bertuhan akan menimbulkan rasa berani, mulia dan kuat. Seorang hamba yang paling kuat di kalangan manusia ialah dia yang merasa lemah di sisi Allah. Ketika itu ujian walau bagaimana berat sekalipun akan mampu dihadapi kerana merasakan Allah akan membantunya. Inilah rasa yang dialami oleh Rasulullah SAW yang menenteramkan kebimbangan Sayidina Abu Bakar ketika bersembunyi di gua Thaur dengan katanya, “la tahzan innallaha maana – jangan takut, sesungguhnya Allah bersama kita!”

Rasa bertuhan inilah yang menyebabkan para nabi dan Rasul, mujaddid dan mujtahid, para mujahid dan murabbi sanggup berdepan kekuatan majoriti masyarakat yang menentang mereka mahupun kezaliman pemerintah yang mempunyai kuasa. Tidak ada istilah kecewa dan putus asa dalam kamus hidup mereka. Doa adalah senjata mereka manakala solat dan sabar menjadi wasilah mendapat pertolongan Allah. Firman Allah:
“Dan pohonlah pertolongan dengan sabar dan solat.” Al Baqarah.

Dalam apa jua keadaan, positif mahupun negatif, miskin ataupun kaya, berkuasa ataupun rakyat biasa, tidak dikenali ataupun popular, hati mereka tetap tenang. Firman Allah:
“Dialah Tuhan yang menurunkan ketenangan ke dalam hati orang yang beriman, supaya keimanan mereka makin bertambah daripada keimanan yang telah ada. Kepunyaan Allah tentang langit dan bumi, dan Allah itu Maha Tahu dan Bijaksana.” Al Fathu 4.

Bila hati tenang berlakulah keadaan yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya:
Maksudnya: Amat menarik hati keadaan orang beriman, semua pekerjaannya baik belaka, dan itu ada hanya pada orang beriman: Jika memperoleh kesenangan, dia bersyukur. Dan itu memberikannya kebaikan (pahala). Jika ditimpa bahaya (kesusahan), dia sabar dan itu juga memberikannya kebaikan.” – Al Hadis.

* Memahami maksud takdir Allah.

Mana mungkin kita mengelakkan daripada diuji kerana itu adalah takdir Allah SWT. Yang mampu kita buat hanyalah meningkatkan tahap kebergantungan kita kepada Allah di samping berusaha sedaya upaya menyelesaikan masalah itu. Ungkapan yang terkenal: We can’t direct the wind but we can adjust our sail – kita tidak mampu mengawal arah tiupan angin, kita hanya mampu mengawal kemudi pelayaran kita.

Kemudi dalam pelayaran kehidupan kita hati. Hati yang bersifat bolak-balik (terutamanya bila diuji) hanya akan tenang bila kita beriman kepada Allah – yakin kepada kasih-sayang, keampunan dan sifat pemurah-Nya. Dalam apa jua takdir yang ditimpakan-Nya ke atas kita adalah bermaksud baik sekalipun kelihatan negatif. Baik dan buruk hanya pada pandangan kita yang terbatas, namun pada pandangan-Nya yang Maha luas, semua yang ditakdirkan ke atas hamba-Nya pasti bermaksud baik.

Tidak salah untuk kita menyelesaikan masalah yang menimpa (bahkan kita dituntut untuk berbuat demikian), namun jika masalah itu tidak juga dapat diselesaikan, bersangka baik kepada Allah berdasarkan firman-Nya:
“Ada perkara yang kamu tidak suka tetapi ia baik bagi kamu dan ada perkara yang kamu suka tetapi ia buruk bagi kamu, Dan sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan kamu tidak mengetahuinya”
Surah Al Baqarah : 216
Seorang ahli hikmah, Ibn Atoillah menjelaskan hakikat ini menerusi katanya, “barang siapa yang menyangka sifat kasih sayang Allah terpisah dalam takdir-Nya, maka itu adalah kerana pen¬deknya penglihatan akal dan mata hati seseorang.”

Siapa tidak inginkan kekayaan, malah kita dituntut mencari harta. Namun jika setelah berusaha sedaya upaya, masih miskin juga, bersangka baiklah dengan Tuhan… mungkin itu caranya untuk kita mendapat pahala sabar. Begitu juga kalau kita ditakdirkan kita tidak berilmu, maka berusahalah untuk belajar, kerana itulah maksud Allah mentakdirkan begitu.

Kalau kita berkuasa, Allah inginkan kita melaksanakan keadilan. Sebaliknya, kalau kita diperintah (oleh pemimpin yang baik), itulah jalan untuk kita memberi ketaatan. Rupanya cantik kita gunakan ke arah kebaikan. Hodoh? kita terselamat daripada fitnah dan godaan. Ya, dalam apa jua takdir Allah, hati kita dipimpin untuk memahami apa maksud Allah di sebalik takdir itu.

Jadi, kita tidak akan merungut, stres dan tertekan dengan ujian hidup. Hayatilah kata-apa yang ditulis oleh Ibnu Atoillah ini:
“Untuk meringankan kepedihan bala yang menimpa, hendak dikenal bahawa Allah-lah yang menurunkan bala itu. Dan yakinlah bahawa keputusan (takdir) Allah itu akan memberikan yang terbaik.”

Tadbirlah hidup kita sebaik-baiknya, namun ingatlah takdir Tuhan sentiasa mengatasi tadbir insan. Jangan cuba mengambil alih “kerja Tuhan” yakni cuba menentukan arah angin dalam kehidupan ini tetapi buatlah kerja kita, yakni mengawal pelayaran hidup kita dengan meningkatkan iman dari semasa ke semasa. Kata bijak pandai: “It’s not what happens to you, but it’s what you do about it. It is not how low you fall but how high you bounce back!”

* Mendapat hikmah bila diuji.

Hikmah adalah sesuatu yang tersirat di sebalik yang tersurat. Hikmah dikurniakan sebagai hadiah paling besar dengan satu ujian. Hikmah hanya dapat ditempa oleh “mehnah” – didikan langsung daripada Allah melalui ujian-ujian-Nya. Ra¬sul¬ullah s.a.w. bersabda, “perumpamaan orang yang beriman apabila ditimpa ujian, bagai besi yang dimasukkan ke dalam api, lalu hilanglah karatnya (tahi besi) dan tinggallah yang baik sahaja!”

Jika tidak diuji, bagaimana hamba yang taat itu hendak mendapat pahala sabar, syukur, reda, pemaaf, qanaah daripada Tuhan? Maka dengan ujian bentuk inilah ada di kalangan para rasul ditingkatkan kepada darjat Ulul Azmi – yakni mereka yang paling gigih, sabar dan berani menanggung ujian. Ringkas¬nya, hikmah adalah kurnia termahal di sebalik ujian buat golongan para nabi, siddiqin, syuhada dan solihin ialah mereka yang sentiasa diuji.

Firman Allah: Apakah kamu mengira akan masuk ke dalam syurga sedangkan kepada kamu belum datang penderitaan sebagai¬mana yang dideritai orang-orang terdahulu daripada kamu, iaitu mereka ditimpa kesengsaraan, kemelaratan dan ke¬goncangan, sehingga Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya merintih: “Bilakah datangnya pertolongan Allah?”
(Surah al-Baqarah: 214)

Pendek kata, bagi orang beriman, ujian bukanlah sesuatu yang negatif kerana Allah sentiasa mempunyai maksud-maksud yang baik di sebaliknya. Malah dalam keadaan ber¬dosa sekalipun, ujian didatangkan-Nya sebagai satu peng¬ampunan. Manakala dalam keadaan taat, ujian didatangkan untuk meningkatkan darjat.
Justeru, telah sering para muqarrabin (orang yang hampir dengan Allah) tentang hikmah ujian dengan berkata: “Allah melapangkan bagi mu supaya engkau tidak selalu dalam kesempitan dan Allah menyempitkan bagi mu supaya engkau tidak hanyut dalam kelapangan, dan Allah melepaskan engkau dari keduanya, supaya engkau tidak bergantung kepada sesuatu selain Allah.

Apabila keempat-empat perkara ini dapat kita miliki maka hati akan sentiasa riang, gembira dan tenang dengan setiap pekerjaan yang dilakukan. Sentiasa melakukan kerja amal, tolong menolong, bergotong royong, sentiasa bercakap benar, sopan dan hidup dengan berkasih sayang antara satu dengan lain.

Marilah kita bersihkan hati kita dari segala kotorannya dengan memperbanyak zikrullah. Itulah satu-satunya jalan untuk mencari kebahagiaan di dunia dan di akhirat nanti. Manusia perlukan zikir umpama ikan perlukan air. Tanpa zikir, hati akan mati. Tidak salah memburu kekayaan, ilmu, nama yang baik, pangkat yang tinggi tetapi zikrullah mestilah menjadi teras dan asasnya.

Insya-Allah, dengan zikrullah hati kita akan lapang sekalipun duduk di dalam pondok yang sempit apatah lagi kalau tinggal di istana yang luas. Inilah bukti keadilan Allah kerana meletakkan kebahagiaan pada zikrullah – sesuatu yang dapat dicapai oleh semua manusia tidak kira miskin atau kaya, berkuasa atau rakyat jelata, hodoh atau jelita. Dengan itu semua orang layak untuk bahagia asalkan tahu erti dan melalui jalan yang sebenar dalam mencarinya. Rupa-rupanya yang di cari terlalu dekat… hanya berada di dalam hati sendiri!
Read rest of entry

CINTA ITU BERERTI MEMBERI!

Sudah menjadi sunatullah, orang yang berjaya pada tahap “biasa-biasa” sahaja ialah orang yang membawa hanya dirinya sahaja berjaya. Tetapi orang yang berjaya pada tahap luar biasa ialah orang yang membawa orang lain berjaya bersamanya. “No man becomes rich unless he enriches others” – tidak ada orang boleh menjadi kaya hingga dia “mengkayakan” orang lain.

Hakikat ini bukan sahaja dilihat dari sudut material, malah di sudut ilmu, iman, taqwa pun begitu juga. Orang yang paling beriman, bertaqwa dan berilmu ialah orang yang membawa orang lain bertaqwa, beriman dan berilmu bersamanya!

Hakikat ini semacam sudah tradisi dalam perjalanan hidup para Salafussolaeh zaman dahulu. Lihat sahaja Rasulullah s.aw. Baginda dikenali sebagai pemimpin yang berjaya. Dan di bawah didikannya telah lahir ramai pemimpin-pemimpin lain yang berjaya. Antaranya Sayidina Abu Bakar ra, Umar ra, Uthman ra, Ali ra dan sebagainya. Begitu juga dikalangan ulama-ulama besar. Lihatlah betapa ramainya ulama yang dilahirkan hasil didikan Imam Safie, Hanbali, Maliki dan Hanafi.

Bagaimana membawa orang lain berjaya bersama kita? Untuk itu kita mesti amalkan sikap memberi. Kita mesti memberikan ilmu, pimpinan, panduan, kemahiran kepada orang di sekeliling kita. Jangan bakhil menabur kebaikan. Monopoli ilmu, tenaga, bakat dan kemahiran yang ada hanya akan menyekat pertumbuhan dan perkembangan diri kita sendiri. Percayalah, memberi kepada orang lain samalah seperti memberi kepada diri sendiri. Tangan yang menghulur bunga mawar pasti berbau harum!

RASULULLAH SAW PALING BANYAK MEMBERI

Justeru, Islam sangat menganjurkan agar umatnya memberi. Bahkan tidak salah kalau dikatakan menjadi seorang Islam secara automatik menjadi orang yang memberi. Islam ialah agama yang sangat sinonim dengan sikap memberi. Bayangkan, kedatangan Rasulullah s.a.w adalah untuk memberi rahmat kepada sekalian alam. Sejarah hidup Rasulullah saw memaparkan bagimana baginda memberikan tenaga, harta malah jiwanya untuk umat manusia mendapat hidayah Islam.

Bahkan salah satu sifat yang wajib bagi Rasulullah s.a.w ialah tabligh, ertinya menyampaikan. Bukan sifat itu sangat rapat dengan sikap memberi? Apa yang baginda terima sebagai wahyu daripada Allah akan terus disampaikannya (diberikannya) kepada umat tanpa disembunyikan, disekat atau diselewengkan. Begitu tulus dan telus baginda dalam memberi.

Sejarah kehidupan Rasululah saw diukir indah oleh sikap memberi. Baginda memberi bukan sahaja sewaktu senang, bahkan semasa susah. Sewaktu susah, Rasulullah saw memberi penuh kesabaran. Sewaktu senang baginda memberi dengan kesyukuran. Orang Arab Badwi yang menerima kambing pemberiannya pernah berkata, “dia memberi tanpa takut kepada kekurangan. Lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan, sifat memberi baginda lebih terserlah daripada biasa. Sehingga disifatkan oleh ahli sejarah, tangannya umpama “angin kencang” yakni sangat laju dalam memberi sedekah dan hibah.

Semasa peristiwa Futuh Makkah (pembebasan kota Makkah) yang bersejarah itu, baginda telah memberi maaf kepada kafir Quraisy yang pernah menzalimi bahkan pernah berusaha untuk membunuhnya. Pernah baginda tidak dapat tidur kerana memikirkan kalau-kalau masih ada wang berbaki yang belum disedekahkannya kepada fakir miskin. Dan pada saat-saat kritikal menjelang kewafatannya pun, baginda masih sempat memberi peringatan kepada umatnya tentang kepentingan mendirikan solat walaupun dengan kata-kata yang terputus-putus… as solah, as solah… Baginda masih memberi peringatan!

Sikap memberi Rasulullah saw ini (menyampaikan risalah Islam) telah diteruskan oleh para sahabat, tabiin, tabiut tabiin dan umumnya salafussoleh. Generasi yang hidup 300 tahun selepas Rasulullah saw ini terus memberi masa, tenaga dan jiwa mereka untuk menyebarkan dakwah, menyampaikan ilmu dan memberi bimbingan kepada seluruh umat manusia hingga dengan itu Islam telah tersebar di seluruh dunia.

Bayangkan apa akan jadi kepada manusia dan dunia jika sikap memberi ini terencat dan tersekat selepas kewafatan Rasulullah saw? Tentu sahaya dunia akan gelap dan manusia akan terus kufur. Sejarah mencatatkan 2/3 para sahabat Rasulullah saw telah mati di luar Semenanjung Arab semasa memikul tugas menyampaikan Islam. Ya, begitu agung dan tinggi sekali sikap memberi yang ada di dalam jiwa mereka.

TRADISI MEMBERI

Dulu, kini dan selamanya Islam sangat mementingkan tradisi memberi ini. Islam itu sendiri ertinya selamat dan memberi keselamatan. Dalam rukun Iman dan rukun Islam terpancar anjuran memberi itu secara langsung atau tidak langsung. Dalam bacaaan solat sahaja misalnya, kita diajar, dilatih dan didisiplinkan untuk memberi pujian kepada Allah, berselawat kepada Rasulullah, memberi salam kepada malaikat dan mendoakan orang-orang Islam yang lain.

Begitu juga dengan ajaran puasa yang antara hikmahnya agar kita merasai kesusahan orang miskin dan dengan itu kita terdorong untuk memberi bantuan kepada mereka. Dan pada bulan Ramadan kita dianjurkan untuk bersedekah kepada fakir miskin, memberi makanan untuk orang berbuka puasa dan sebagainya. Manakala tuntutan mengeluarkan zakat adalah ditunjangi oleh kewajipan memberi kepada lapan golongan yang sangat memerlukan dalam masyarakat. Begitu juga dengan amalan berkorban binatang, aqiqah dan menjamu orang-orang miskin, semuanya berasaskan sikap memberi. Apabila ada pelanggaran hukum ataupun kesalahan dalam melaksanakan sesuatu ibadah – misalnya kewajipan membayar dam (dalam ibadah haji), kafarah (dalam ibadah puasa), diyat (jenayah membunuh) dan lain-lain, denda atau hukumannya selalaunya berasaskan sikap memberi seperti membebaskan hamba abdi, memberi makan fakir miskin dan lain-lain lagi.

Dalam adab-adab pergaulan juga, umat Islam digalakkan untuk memberi dalam sebaik sahaja bertemu dengan saudara seIslam kita. Dengan memberi salam bererti kita “memberi” doa demi kesejahteraan saudara kita. Begitu juga dengan membalas salam, kita membalas pemberian doa itu dengan satu doa yang setimpal malah disunatkan lebih lagi. Kita digalakkan sering berziarah (ini memerlukan kita memberi masa, wang dan tenaga), memberi hadiah, mengucapkan tahniah, menyampaikan takziah dan lain-lain perlakuan yang bersifat memberi.

TUHAN ITU AL WAHHAB (MAHA PEMBERI)

Dan di atas segala-galanya itu, Allah adalah Pemberi yang Maha Pengasih dan Pemurah. Nama-nama Allah seperti Al Rahman, Ar Rahim, Ar Razzak, Al A’fu, Al Ghaffar, At Tawwab adalah sangat berkait dengan sifat memberi. Malah salah satu nama Allah yang berkait secara langsung dengan sifat memberi ialah Al Wahhab (Maha Pemberi). Kita diwajibkan mengenal sifat Al Wahhab (Maha Pemberi) ini. Bukan sahaja wajib belajar, memahami dan menghayati Al Wahhab malah kita dituntut untuk meniru dan menteladani sifat mulia dan baik itu dalam kehidupan sehari.

Mari kita renungkan beberapa kriteria sifat Al Wahhab agar kita menyedari betapa hebat dan agungnya sifat memberi pada Allah . Berikut adalah sifat-sifat Al Wahhab:

i) Allah memberi tanpa pinta dibalas.
Berbeza dengan manusia yang sering memberi untuk mendapat balasan, Allah sebaliknya Maha kaya dan Maha Perkasa daripada sebarang sifat kekurangan dan kelemahan. Allah tidak memerlukan makhluk sebaliknya makhluk yang memerlukan-Nya. Allah mengurniakan begitu banyak nikmat, rahmat dan kurniaNya kepada setiap manusia, dan pemberian itu tidak mungkin dapat dibalas. Allah Maha Mengetahui hakikat itu, namun Allah terus memberi walaupun tidak dibalas oleh hamba-hamba-Nya yang kufur dan dibalas secara tidak setimpal oleh hamba-hamba-Nya yang taat.

Usahkan untuk membalasnya, mengiranya sahaja manusia tidak mampu. Kita meminjam terlalu banyak kepada Allah. Ironinya, walaupun pinjaman itu masih tertonggak, namun Allah tidak menarik semula nikmat pinjaman-nya kepada kita. Sekiranya Allah menghentikan pemberian-Nya, maka akan terhentilah perjalanan dunia dan seluruh kehidupan ini. Tetapi tidak begitu, walaupun begitu banyak “hutang” manusia kepada Allah yang tidak dilangsaikan, namun Allah tetap memberi… kerana Allah memberi tanpa minta dibalas.

ii) Allah memberi sebelum diminta.
Kebanyakan manusia, hatta yang pemurah sekali pun, akan memberi setelah diminta oleh orang lain. Allah sebaliknya, memberi sebelum diminta oleh makhluk-Nya. Manusia bersifat pelupa. Sering kali kita lupa meminta apa yang kita sendiri perlukan dalam hidup. Namun, Allah Maha Penyayang, Dia memberikan juga kita rezeki, perlindungan, kesihatan dan pimpinan walaupun kita sering lupa untuk meminta perkara-perkara itu dalam kehidupan ini.

Bayangkan apa akan jadi kepada kita jika Allah memberi hanya apabila kita memintanya? Boleh bernafaskah kita saat ini sedangkan pagi tadi kita “terlupa” memohon oksigen? Apakah kita masih beragama Islam pada hal kita sering lupa meminta dikekalkan hidayah ini di dalam diri kita? Mujur dan syukur, sifat Al Wahhab Allah itu terus pro-aktif (jika boleh dikatakan begitu) memberi, sentiasa dan selamanya, walaupun manusia sering lupa memintanya.

iii) Allah memberi berulang-ulangkali dan berterusan.
Sejak di alam rahim lagi manusia telah mengecap nikmat Allah yang tidak henti-henti dan berulangkali. Dalam tubuh manusia terjadi terjadi pelbagai proses yang unik dan kompleks. Proses bernafas, pernafasan, penghadaman, perkumuhan, pembiakan dan lain-lain sentiasa berlaku secara konsisten. Jantung terus mengepam, buah pinggang terus menyaring, neuron dalam akal terus berfungsi sejak bermulanya kehidupan.

Bukan itu sahaja malah ada berjuta-juta lagi proses yang sentiasa berlaku dalam seluruh makhluk ini – daripada haiwan, tumbuhan, bumi, bulan, matahari, bintang-bintang hinggalah ke seluruh semesta alam ini. Sentiasa ada kuasa yang mengatur, menyusun, menetapkan, menghidup, mematikan, menjalankan dan memberhentikan. Alam ini disusun secara sistematik dan proses pengaturan dan pelaksanaannya berjalan secara berterusan dan berulang kali. Untuk siapa? Ya, untuk manusia – khalifah di muka bumi.

Semua itu dalam kekuasaan Allah yang tidak alpa, letih, mengantuk, tidur dan lemah untuk memberi berulang kali dan berterusan. DIA mahu memberi berulang kali. Kekuasaan-Nya sangat hebat, sehingga DIA mampu memberi secara berterusan. Sebaliknya, kasih-sayang dan kekuasaan makhluk ada batasnya… kita tidak mahu dan mampu memberi secara berulang kali dan berterusan.

iv) Memberi segala sesuatu yang sangat berharga.
Allah memberi sesuatu dengan tujuan. Tuhan tidak memberi sesuatu dengan sia-sia. Manusia diciptakan dengan tujuan yang besar – hamba Allah dan khalifah di muka bumi). Oleh itu apa sahaja yang diberikan Allah adalah “besar” demi melaksanakan tujuan yang besar itu. Allah memberi manusia nikmat zahir yang berupa harta, makanan, minuman, pakaian dan lain-lain. Allah jua memberi manusia nikmat batin yakni ilmu, akal, hidayah, iman, taqwa dan lain-lain. Semua itu sangat berharga sama ada dinilai dari sudut material mahupun dari sudut rohani.

Manusia memberi juga tetapi sering kali yang diberikan itu sesuatu yang tidak berharga. Berapa banyak produk-produk yang tidak berkhasiat malah ada yang beracun beredar di pasaran. Begitu juga dengan perkhidmatan yang sering mengeksploitasi dan memanupulasi pelanggan. Sehingga dengan itu terpaksa digubal pelbagai undang-undang dan akta untuk melindungi para pengguna.

v) Memberi sesuatu yang baik untuk menghasilkan Kebaikan
Allah memberikan pelbagai kebaikan kepada manusia berupa harta, ilmu, kuasa, kesihatan, iman dan sebagainya. Dengan segala yang baik itu Allah inginkan hamba-Nya melakukan kebaikan kepada orang lain. Maksudnya, kebaikan yang diberikan kepada kita bertujuan untuk kita memberi kebaikan kepada yang lain. Antara pengertian manusia sebagai khalifah (mengikut sesetengah ulama) ialah memberi kebaikan kepada diri, orang lain dan persekitarannya.

Allah berikan kita harta, agar kita bersedekah. Diberikan-Nya kita ilmu agar kita mengajar dan berdakwah kepada masyarakat. Diberikan-Nya kita iman agar kita berbaik-baik, berkasih sayang dan berukhawah sesama manusia, kepada haiwan, tumbuhan bahkan kepada alam semesta. Tegasnya, Allah bukan sahaja memerintahkan kita menjadi orang yang baik tetapi mesti memberi kebaikan!

TIRULAH SIFAT AL WAHHAB

Kita dituntut meniru sifat Al Wahabb ini walaupun mustahil kita mampu menyamai-Nya.
“Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah.”
Maksudnya, orang yang memberi itu lebih baik daripada orang yang menerima. Oleh sebab itulah, ramai ulama berpandangan menjadi orang kaya yang syukur adalah lebih utama berbanding orang miskin yang sabar. Mengapa?

Selain daripada kesukaran mengawal hati agar tidak lalai ketika memiliki kekayaan berbanding mengawal hati agar tidak resah ketika ditimpa kemiskinan, orang kaya yang bersyukur adalah lebih baik daripada orang miskin yang sabar kerana orang kaya yang syukur lebih bermampuan untuk memberi.

Jika kesabaran simiskin hanya bermanfaat buat dirinya, sebaliknya sifat dermawan sikaya memberi manfaat kepada orang lain. Pemberian zakat, sedekah dan hadiah daripada orang kaya melimpah ruah manfaatnya kepada masyarakat. Rasulullah saw pernah bersabda:
“Sebaik-baik manusia ialah manusia yang memberi manfaat kepada orang lain.”

MANFAAT DARIPADA MEMBERI

Apakah manfaat daripada sikap memberi? Mengapa Islam sangat menggalakkan bahkan kekadang mewajibkan umatnya untuk memberi? Antara manfaatnya ialah:

i) Mengikis sifat mazmumah.
Dengan memberi kita akan dapat membuang sifat mazmumah seperti sombong, hasad dengki, tamak, pemarah dan lain-lain. Harta, ilmu, kuasa dan apa yang kita miliki adalah punca sifat-sifat mazmumah. Dengan menyimpannya sahaja (tanpa memberi), samalah seperti menyimpan “virus” yang sangat berbahaya pada hati kita. Sebab itu kita diwajibkan mengeluarkan zakat.

Istilah zakat itu diambil daripada kata asal “zakah”, ertinya membersihkan. Ertinya, zakat fitrah membersihkan diri, manakala zakat harta membersihkan harta. Oleh itu jika kita tidak mengeluarkan zakat, diri dan harta kita akan “kotor”. Kekotoran diri dan harta inilah yang menyebabkan kekotoran hati. Hati yang kotor adalah punca penyakit mazmumah.

Sebaliknya dengan memberi zakat, kita umpama mengeluarkan toksid-toksid daripada diri, harta seterusnya hati kita. Bila hati sihat, kesihatan itulah yang akan menumbuhkan sifat-sifat mahmudah seperti tawaduk, pemurah, pemaaf dan sebagainya. Yakinilah, sikap memberi adalah terapi, ubat dan penawar kepada penyakit-penyakit hati. Sebab itu bijak pandai mengungkapkan:
“Memberi lebih gembira daripada menerima.”

ii) Mendapat lebih banyak.
Percayakah kita bahawa dengan memberi kita akan mendapat lebih banyak? Maksudnya, dengan memberi, harta, ilmu, iman, tenaga dan lain-lain milik kita tidak akan berkurangan malah akan bertambah. Ini disebabkan sebaik sahaja kita membuat keputusan untuk memberi apa yang kita miliki, Allah akan membuka pintu rezeki, ilmu dan iman yang lebih luas untuk kita. Walaupun niat kita memberi bukan untuk menerima, tetapi hakikatnya siapa yang banyak memberi dialah yang akan lebih banyak menerima.

Kita perlu yakin bahawa setiap 1 yang kita berikan di jalan Allah, Allah akan gandakan 700 kali sebagai balasan. Ini suatu yang menakjubkan. Apakah ada pelaburan di mana-mana istitusi kewangan atau perbankan di dunia hari ini yang mampu membayar dividen atau pulangan sehingga 700 kali ganda? Jawabnya, tidak ada. Namun itulah janji Allah. Dia Maha Kaya dan Maha Pemurah. Malah pada situasi-situasi yang lebih istimewa dan khusus, Allah telah menjanjikan pembalasan pahala tanpa hisab (tanpa hitungan lagi) kepada para hamba-hamba-Nya yang juga istimewa.

Bagi orang yang sabar, Allah telah berjanji memberi ganjaran tanpa hisab. Manakala untuk orang yang berpuasa, Allah telah berjanji melalui lidah Rasulullah saw untuk memberi pahala mengikut kehendak-Nya yang tidak terbatas lagi.

iii) Mewujudkan perpaduan dan keharmonian.
Dengan hanya berfikir untuk mendapat, kita akan menjarakkan. Sebaliknya bila kita berfikir untuk memberi, kita akan merapatkan. Hukum kasih sayang menyatakan bahawa jika hendak disayangi, mesti terlebih dahulu menyayangi. Hanya dengan “memberi” kasih sayang kita akan mendapatnya.

Sebaliknya, sikap tidak mahu memberi akan mencetuskan perbalahan. Kata bijak pandai, “all getting separates you from others; all giving unites to others” – hanya berfikir untuk mendapat akan menjauhkan diri kita daripada yang lain; hanya berfikir untuk memberi akan menyatukan kita dengan yang lain.

Begitu juga jika kita hendak difahami, mesti terlebih dahulu memahami – “first seek to understand than to be understood” – bertindak dahulu untuk memahami baru kita akan difahami. Sikap memberi sangat penting untuk mencipta keharmonian dan sebarang bentuk komunikasi.

Kemesraan dalam perhubungan disebabkan sikap memberi. Sikap memberi boleh dilihat dalam perbualan sehari-hari. Orang yang memberi lebih banyak mendengar daripada bercakap dalam berkomunikasi. Percayalah dengan lebih banyak mendengar, kasih sayang dan cinta akan lebih bersemarak. Ingatkan kita pada ungkapan, the first duty of love is to hear? (Tugas cinta yang pertama ialah mendengar?) Ini bermakna dengan memberi (dalam konteks ini bersedia menjadi pendengar), kita telah bersedia menjadi kekasih, sahabat, saudara, pemimpin atau majikan yang lebih baik.

Cinta itu bererti kita bersedia untuk memberi… bukan untuk menerima! Siapa yang lebih cinta dialah yang lebih banyak memberi. Jika kurang berkuranglah cinta. Bila kurang rasa cinta, tergugatlah perpaduan dan rengganglah perpaduan. Oleh itu hidup ini adalah untuk memberi bukan sebaliknya. Manusia memikul peranan sebagai khalifah di muka bumi. Tugas khalifah itu adalah untuk memberi kebaikan – buat diri sendiri, orang lain dan persekitaran. Hanya dengan itu makmurlah muka bumi ini dengan pembangunan material, keamanan dan keampunan Tuhan.

Malangnya, ramai manusia mementingkan bagaimana untuk mendapat bukan memberi dalam hidup ini. Mendapat pada sangkaan mereka akan membahagiakan. Maka berlakulah persaingan malah perebutan. Padahal hidup ini bukan untuk bersaing tetapi saling berkongsi. “We are here to complete not to compete!” Kita di dunia ini bukan untuk bertanding tetapi untuk saling lengkap melengkapi antara satu sama lain.

Ironinya, dengan banyak memberi kita akan lebih banyak menerima. Lihatlah “figur-figur” yang berjaya, hampir semuanya terdiri daripada orang yang banyak memberi. Manakala mereka yang hanya memikirkan untuk mendapat kerap kali tertipu oleh apa yang didapatinya. Mereka mungkin lebih kaya, tetapi lebih derita pula jiwanya. Mereka mungkin ternama, tetapi lebih runsing pula mindanya. Dengan hanya berfikir untuk mendapat, percayalah kita akan menemui fatamorgana dalam kehidupan ini.

Kekayaan sebenar bukanlah kerana banyak “memiliki” tetapi kerana banyak “memberi”. Justeru, Allah itulah zat yang Maha Kaya, kerana DIAlah yang paling banyak memberi. Jika kita banyak memberi kita akan meningkatkan kualiti jiwa. Jika kita banyak menerima kita akan hanya meningkatkan kuantiti harta. Kualiti jiwa itu matlamat, kuantiti harta itu cuma alat. Jangan tertukar antara alat dan matlamat…

Intailah hari-hari yang berlalu dalam kehidupan sehari-hari. Pada hari yang ceria dan gembira itulah hari yang kita lebih banyak memberi berbanding menerima. Untuk merasa gembira gembirakanlah orang lain. Sebab itu senyuman itu ada dua. Pertama, senyum kerana gembira. Kedua senyum untuk menggembirakan. Senyum untuk menggembirakan itulah yang lebih tinggi nilainya seperti yang disebut dalam hadis:
“Senyum simpulmu di hadapan saudaramu adalah satu sedekah.”

Senyum yang pertama kerana mendapat kegembiraan. Manakala senyuman yang kedua kerana hendak memberikan kegembiraan. Orang yang sentiasa berfikir untuk menggembirakan orang lain insya-Allah akan sentiasa dibukakan pintu kegembiraan buatnya oleh Allah swt. Bijak pandai sering mengingatkan bahawa kita tidak akan bahagia selagi orang di samping kita tidak bahagia. Ertinya, kebahagiaan kita hanya apabila kita berusaha membahagiakan orang lain.

Berikanlah apa yang Allah berikan kepada kita kerana di sana ada hak orang lain yang diamanahkan kepada kita. Jangan jadi seperti Qarun yang menganggap kekayaan diri kerana kepandaiannya. Ya, kita yang memerah keringat. Ya, kita yang penat berfikir. Tetapi dengan tenaga siapa kita berusaha? Tangan, kaki, bahu dan segala pancaindera itu hakikatnya milik siapa?

Semua itu bukan milik kita. … segala-galanya pemberian Allah. Kita bukan pemilik, kita hanya peminjam. Sebagai khalifah, kita memikul amanah untuk memberi kebaikan dengan segala kebaikan yang kita terima. Allah memberi untuk kita memberi.
Read rest of entry
 

PAUTAN MINI




 

KOKURIKULUM

SOCUT PERAK SCOUT MALAYSIA PUTERI ISLAM PBSM KRS

Recommended Gadget

  • ads
  • ads
  • ads
  • ads

Followers

About Me

Abu Ruqaiyah, Tn. Hj. Mohamad Sahrin Bin Kadmo. Salah seorang pereka elaporan program j-QAF untuk kegunaan pihak Sekolah, PPD, JPN & BPK.