KEINGINAN untuk hidup sihat dan kelihatan cantik menyebabkan manusia berikhtiar dengan pelbagai cara untuk mencapai matlamat itu. Tidak cukup dengan perubatan moden, perubatan tradisional atau alternatif turut menjadi pilihan.
Antara kaedah yang sudah lama wujud di negara ini, tetapi tidak begitu mendapat perhatian masyarakat ialah bekam.
Apakah bekam? Ia adalah proses membuang darah toksik dari dalam tubuh melalui permukaan kulit sebagai organ terbesar manusia.
Bekam dikatakan teknik detoksifikasi yang berkesan dan dapat merawat pelbagai penyakit dan memulihkan fungsi tubuh.
Teknik ini dikatakan berasal dari China sejak 1,500 tahun lalu. Ada juga pendapat menyatakan asal-usul bekam bermula di Timur Tengah dengan masyarakat Arab memanggil teknik ini sebagai al-Hijamah yang bermaksud membuang darah kotor.
Bagaimanapun, sejak sekian lama bekam mempunyai imej negatif bukan saja di negara ini, malah di kebanyakan negara yang mengamalkan teknik ini.
Masih wujud hingga hari ini, pemandangan orang berkerumun di tepi jalan menyaksikan tukang bekam melaksanakan tugas. Pelanggan pula duduk di atas kerusi dengan gelas kaca atau tanduk kerbau melekat pada belakang badan.
Tanpa menghiraukan suasana sesak dan habuk berterbangan, bekam dilabelkan sebagai amalan perubatan tradisional tepi jalan.
Ini menyebabkan bekam sering dipandang serong oleh majoriti masyarakat di negara ini, terutama apabila kemudahan perubatan moden semakin baik dan mudah diperoleh, apatah lagi apabila perubatan tradisional diukur berdasarkan piawaian perubatan moden.
Ketika gambaran ini terpahat kukuh di kalangan masyarakat, Dr Helena Abdullah, yang mengasaskan Akubekam mengubah pandangan negatif ini apabila memodenkan teknik bekam dengan menggunakan teknologi moden.
Beroperasi di premis menyerupai sebuah klinik perubatan moden, katanya seperti amalan perubatan moden, peralatan yang digunakan dibersihkan melalui proses pensterilan selepas digunakan.
“Teknik Akubekam membolehkan kesan torehan yang selalunya boleh dilihat dengan jelas selepas berbekam tidak kelihatan,” katanya ketika ditemui di Pusat Akubekam di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.
Dr Helena, 67, berpendapat bahawa gaya hidup moden dengan pengambilan makanan mengandungi kimia dan pencemaran, kesibukan dan tekanan hidup, menyebabkan darah toksik berkumpul dalam badan hingga menyebabkan tubuh lemah dan lebih mudah dihinggapi penyakit.
Katanya, Akubekam yang bermaksud ‘berbekam atas titik istimewa dalam badan’ diperkenalkan pada 1990 menggabungkan dua teknik perubatan tradisional, akupuntur dan bekam yang masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri.
Berbanding teknik berbekam tradisional yang menggunakan pisau, katanya Akubekam menggunakan alat peniti khas yang berjarum halus, manakala berbekam di kepala tidak memerlukan pesakit mencukur rambut.
Dr Helena berkata, rawatan bermula dengan penilaian terhadap keadaan kesihatan dengan melihat keadaan mata dan kuku.
“Bahagian tubuh yang dipenuhi darah toksik selalunya berasa sakit, tegang, berdenyut, tidak selesa dan ketika rawatan, darah toksik pada badan yang sakit dikeluarkan. Apabila selesai, simptom penyakit akan mulai reda dan fungsi tubuh kembali kepada sepatutnya,” katanya.
Katanya, teknik bekam yang diperkenalkannya selamat, tidak sakit dan berbahaya, tetapi berkesan untuk mengubat dan mencegah penyakit. Dalam jangka masa singkat, katanya bekam memperbaiki dan menjadikan tubuh lebih sihat.
Mengapa berbekam menjadi pilihan? Dr Helena berkata, kajiannya mendapati bahawa berbekam mempunyai kaitan rapat dengan umat Islam.
“Orang Cina berbangga dengan akupuntur dan India dengan Ayurveda, tetapi orang Islam? Tidak ada apa yang boleh dibanggakan hingga saya mengetahui bahawa bekam sebenarnya diamalkan oleh Rasulullah.
“Malah, dalam hadis qudsi yang diriwayatkan oleh al-Tarmizi menyatakan ketika Nabi Muhammad dalam perjalanan Israk Mikraj, Baginda menemui malaikat yang menyuruh umat Islam menggunakan bekam untuk tujuan kesihatan,” katanya.
Katanya, Nabi Muhammad juga diriwayatkan berbekam di atas kepala dan antara dua bahu, sekali gus menunjukkan berbekam mempunyai banyak manfaat.
Berasal dari Pulau Pinang, Dr Helena (gambar)yang pernah menjadi jururawat bertauliah, termasuk mendapat latihan di Australia, kemudian melanjutkan pelajaran di Universiti Terbuka Sri Langka dalam bidang perubatan tradisional sebelum membuka Pusat Akubekam.
Beliau mengakui masyarakat menjauhi bekam kerana imej negatif serta salah tanggapan terhadap perubatan tradisional.
“Ada yang mendakwa bahawa berbekam boleh menyebabkan ketagihan. Selepas berbekam, seseorang itu berasa hendak dibekam lagi. Sebenarnya tanggapan ini salah kerana toksik terus bertambah dalam tubuh jika gaya hidup tidak sihat, pemakanan tidak seimbang dan hidup dalam tekanan.
“Ini yang menyebabkan keperluan berbekam kepada individu. Ada yang perlu kerap dan ada yang mungkin sebulan sekali,” katanya.
Bagaimanapun, katanya melalui imej positif seperti suasana yang bersih dan cantik serta menggunakan teknik moden yang selamat, bekam akan diterima masyarakat.
FAKTA BEKAM
A. Jenis Bekam
Bekam Kering
Bekam kering atau bekam angin adalah menghisap permukaan kulit tanpa mengeluarkan darah toksik. Biasanya orang tidak tahan suntikan jarum atau takut melihat darah. Mengikut kaedah tradisional, kulit yang dibekam akan kelihatan merah kehitaman dan hilang selepas kira-kira tiga hari.
Bekam Basah
Bekam ini dilakukan dengan melukai permukaan kulit menggunakan jarum tajam. Darah toksik dikeluarkan menggunakan alat pengamal bekam. Setiap kali proses mengeluarkan darah toksik adalah antara tiga hingga lima minit. Darah toksik dikenal pasti berdasarkan warna merah pekat dan berbuih. Mereka yang berbekam dinasihat tidak mandi selama tiga jam selepas berbekam.
Waktu Berbekam
Pengamal perubatan tradisional berpendapat bahawa berbekam paling baik dilakukan ketika pertengahan bulan kerana ketika ini, darah toksik berhimpun. Bagaimanapun, berbekam boleh dilakukan pada bila-bila masa untuk tujuan mengubati penyakit.
Mereka yang hendak berbekam dinasihat tidak makan makanan berat antara dua hingga jam sebelum berbekam dan lebih baik berpuasa sebelum berbekam.
Alat Bekam
Pada zaman Nabi Muhammad, cawan atau mangkuk kaca digunakan untuk berbekam, manakala orang Cina pada zaman kuno, menggunakan tanduk. Orang Eropah pada abad ke-18 menggunakan lintah untuk menghisap darah toksik dan kaedah ini masih digunakan di sesetengah tempat di Barat hingga sekarang.
Ketika masih ada pengamal bekam menggunakan kaedah tradisional, perubatan bekam mula menerapkan unsur moden melalui penggunaan alat seperti mangkuk, pisau pembedahan, bahan antiseptik, manakala pengamal bekam menggunakan sarung tangan yang sama seperti pengamal perubatan moden.
Larangan Berbekam
Tidak semua orang boleh berbekam kerana dikhuatiri boleh memudaratkan kesihatan. Mereka termasuk yang mempunyai masalah tekanan darah rendah, pesakit kudis, perempuan mengandung dan ketika haid, masalah kulit yang serius atau dalam keadaan sangat letih, lapar dan kenyang.
Antara anggota bahagian tubuh yang tidak boleh dibekam ialah mata, telinga, hidung, mulut, alat kelamin dan dubur.
Kebaikan Berbekam
• Membantu menghilangkan pening dan migrain.
• Membantu membuang angin dalam badan, melegakan pernafasan dan sistem perkumuhan.
• Membantu memecahkan lemak, peluh dan melegakan demam.
• Membantu memulihkan ketegangan urat leher, belikat, pinggang dan urat sendi di kaki.
• Membantu mencegah kebas kaki dan membantu meredakan serangan angin ahmar.
• Mengeluarkan darah toksik dan melancarkan peredaran darah yang tersumbat.
• Membantu meringankan tubuh. Darah kotor yang terkumpul di bawah permukaan kulit menyebabkan rasa berat dan malas.
• Membantu menajamkan penglihatan. Peredaran darah ke mata yang tersumbat menyebabkan penglihatan kabur.
Dikatakan dapat merawat pelbagai penyakit. Dianggarkan sebanyak 72 jenis penyakit dapat disembuhkan seperti ketegangan urat, darah tinggi, jantung, kolesterol, masuk angin, migrain, sakit mata, angin ahmar, sakit gigi, jerawat, sembelit, tekanan dan buah pinggang.
Wednesday, October 28, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment