Tuesday, January 12, 2010

ZUN NURAIN



SETIAP manusia pasti memerlukan sahabat yang baik bagi membantu dalam apa jua perkara. Sahabat yang baik memainkan peranan dalam memberikan sokongan, panduan, teguran, dan berbagai-bagai lagi. Kini semuanya itu sukar diperoleh daripada seorang yang bernama sahabat.

Retrospektif zaman kebangkitan Islam dahulu, terdapat beberapa para sahabat yang ‘hilang tak berganti’. Beliau merupakan khalifah ketiga sesudah Saiidina Umar Al- Khattab r.a. Malah, beliau telah memerintah Kerajaan Islam hampir sebelas tahun lamanya dari tahun 644 hingga 655 Masihi.

Dalam zaman pemerintahannya, orang-orang Islam mula merasa hidup mewah dan menikmati kemakmuran. Mereka yang menghadiri majlis-majlis jamuan Khalifah Uthman pada zaman itu melihat perbezaan besar jika dibandingkan dengan jamuan yang diadakan pada zaman Khalifah Umar.

Sebagai seorang Khalifah, beliau merasa bahawa rakyatnya berhak menikmati hidup yang makmur itu, tetapi beliau tidak membenarkan orang-orang Islam bersenang-lenang dengan nikmat kemakmuran itu hingga melanggar hukum Allah.

Sahabat Rasulullah s.a.w ini juga merupakan seorang saudagar yang berjaya sehingga banyak mengorbankan harta bendanya semata-mata untuk membangunkan Islam dan menegakkan kebenaran agama suci itu.

Pengorbanan yang telah dilakukan oleh beliau amat berharga, malah telah membuatkan rasa kecintaan dan penghormatan Rasulullah s.a.w kepadanya begitu mendalam sehingga beliau memperoleh gelaran “Zun Nurain” yang bermaksud memiliki dua cahaya.

Oleh hal yang demikian itu, Rasulullah s.a.w telah mengahwinkannya dengan dua orang puteri baginda, iaitu Rukayyah, dan sesudah Rukayyah meninggal dunia semasa Perang Badar, maka Rasulullah s.a.w telah mengahwinkan pula Uthman dengan Kalthum. Tidak lama kemudian Kalthum pula meninggal dunia dan Rasulullah s.a.w telah berkata kepadanya: "Jika ada anak perempuanku lagi, wahai Uthman, tentu engkau akan aku ambil sebagai menantu." Begitulah, betapa besarnya penghormatan Rasulullah s.a.w kepada Uthman.

Penghormatan Rasulullah s.a.w kepadanya tidak berbelah bahagi kerana biasanya Rasulullah s.a.w tidak keberatan menerima kedatangan para sahabat dengan berpakaian yang biasa sahaja.

Bagaimanapun, apabila diketahui bahawa Saidina Uthman r.a akan datang mengunjunginya, maka baginda pun mengenakan pakaiannya yang sewajarnya sebagai menghormati sahabat baginda yang disegani sendiri oleh para malaikat. Sebagai memuji keluhuran budi akhlaknya itulah Rasulullah s.a.w pernah bersabda kepadanya, yang bermaksud: "Malaikat sangat malu kepadamu, wahai Uthman."

Dalam suatu riwayat lain dikisahkan bahawa Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud: "Aku bermohon kepada Tuhanku supaya tidak ada seorang pun yang pernah menjadi menantuku atau menjadi mentuaku dimasukkan ke dalam neraka." Hal yang demikian itu tercapai oleh Saidina Uthman r.a kerana Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud: "Tiap-tiap Nabi mempunyai teman, dan Uthman adalah temanku di dalam syurga."

Menurut catatan sejarah Islam, Saidina Uthman bin Affan termasuk orang kelima diajak oleh Saidina Abu Bakar Al-Siddiq untuk memeluk Islam. Setelah memeluk Islam, Uthman r.a. termasuk orang yang sangat dicintai oleh Rasulullah s.a.w kerana kemuliaan dan kehalusan budi pekertinya.

Beliau tidak pernah memikirkan kerugian perniagaannya yang ditinggalkannya itu kerana beliau sedar bahawa hijrah adalah termasuk dalam usaha untuk menegakkan agama Allah.

Ketika suasana pergolakan di Mekah menjadi tegang dan meruncing disebabkan kaum musyrikin Quraisy melakukan tekanan yang hebat terhadap kaum Muslimin, Saidina Uthman termasuk orang-orang yang turut melakukan hijrah ke Abyssinia.

Sekembalinya beliau dari Abyssinia, beliau telah menetap di kota Mekah buat sementara waktu. Kemudian beliau telah melakukan hijrah pula ke Madinah untuk menyusul Rasulullah s.a.w yang telah pun lebih dahulu berhijrah di kota tersebut.

Setelah berada di Madinah, Saidina Uthman r.a menjalankan usaha perniagaannya hingga beliau berjaya menjadi saudagar yang kaya. Beliau tidak teragak-agak sedikit pun mempergunakan seluruh kekayaan dan harta bendanya bagi menyahut seruan jihad untuk menegakkan kesucian Islam.

Ini dapat dilihat ketika zaman permulaan perjuangan Islam di Madinah, apabila kaum Muslimin menghadapi kekurangan air, lalu Saidina Uthman bin Affan telah membeli sebuah kolam yang bernama “Bir Ruma” daripada seorang Yahudi.

Dalam hal ini, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Barangsiapa yang antara kamu yang membeli kolam Ruma lalu dijadikannya wakaf bagi keperluan kaum Muslimin serta ia menimba air kolam tersebut, maka orang yang berbuat demikian itu Allah akan menyediakan tempat minuman baginya di dalam syurga."

Keluhuran dan keikhlasan mendermakan hartanya ke jalan Islam begitu mendalam kerana beliau tahu bahawa hartanya itu bukanlah miliknya, melainkan harta itu ada pembahagian hak-hak ke atas kejadian alam.

Hal sedemikian itu berterusan apabila Masjid Madinah menjadi sempit kerana semakin banyak jemaah yang menunaikan solat di dalamnya. Sebanyak lima buah rumah berderet yang terletak bersebelahan masjid dibeli oleh beliau dan kemudian dibangunkan agar menjadi lebih luas dan besar lagi.

Disebabkan besarnya pengorbanannya terhadap Islam, maka tidak menjadi kehairanan apabila beliau tergolong salah seorang yang paling diredai oleh Rasulullah s.a.w pada waktu wafatnya baginda.

Selain memiliki sifat pemalu, Saidina Uthman r.a juga seorang sahabat akrab Rasulullah s.a.w yang mahsyur dengan sifat waraknya, kuat beribadat, dan bertakwa kepada Allah s.w.t. Beliau mengerjakan segala perintah Allah dan sekali-kali tidak melanggar larangan Allah s.w.t.

Pada setiap tahun pula, beliau menunaikan ibadah Haji, dan dalam sepanjang tahun pula beliau berpuasa setiap hari kecuali pada hari-hari yang ditegah berpuasa. Beliau begitu mengambil berat akan kebajikan terhadap kaum keluarganya dan amat bertimbang rasa dan menyayangi mereka.

Beliau juga seorang sahabat yang sangat pemurah dan sangat takut akan kemurkaan Allah terutama apabila beliau mendengar bacaan al-Quran mengenai azab api neraka, maka air matanya bercucuran disebabkan rasa takutnya itu.

Saidina Uthman meninggal dunia apabila terbunuh pada 35 Zulhijjah, tahun 35 Hijrah. Ketua pemberontak bernama Al-Ghiffari telah memukul Saidina Uthman dan kemudiannya diiringi pula oleh tetakan dengan pedang daripada salah seorang pemberontak yang lain.

http://www.yadim.com.my/Ulama/UlamaFull.asp?Id=177

0 comments:

 

PAUTAN MINI




 

KOKURIKULUM

SOCUT PERAK SCOUT MALAYSIA PUTERI ISLAM PBSM KRS

Recommended Gadget

  • ads
  • ads
  • ads
  • ads

Followers

About Me

Abu Ruqaiyah, Tn. Hj. Mohamad Sahrin Bin Kadmo. Salah seorang pereka elaporan program j-QAF untuk kegunaan pihak Sekolah, PPD, JPN & BPK.