Friday, January 15, 2010

MENJANA UMMAH GEMILANG



MUKADDIMAH

Hijrah dalam pengertian etimologis bererti “pindah ke satu tempat atau negeri yang lain dari negeri asal,” iaitu berpindah tempat atau negeri kerana sesuatu sebab yang tertentu.

Hijrah yang kita maksudkan ketika kita membicarakan hijrah dalam konteks tahun baru Hijrah ialah perpindahan Nabi Muhammad SAW dan kaum muslimin dari Makkah ke Madinah. Tarikh berlakunya Hijrah Rasulullah SAW ini merupakan tarikh penting dalam sejarah Islam, kerana mulai dari peristiwa ini, Islam telah melangkah lebih jauh dalam sejarah perkembangannya, dan mulai memasuki satu tahap baru dalam perjuangan baginda sendiri.

Diriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW memerintahkan kaum muslimin supaya berhijrah atau berangkat terlebih dahulu meninggalkan kota Makkah menuju ke Madinah, sementara baginda sendiri tidak akan keluar tanpa izin Allah SWT.

(1) Dalam konteks ini, terdapat riwayat yang mengatakan bahawa baginda telah bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah telah menyediakan buat kamu saudara dan negeri yang aman (untuk kamu berhijrah, iaitu Madinah)”.

TARIKH HIJRAH

Menurut sejarah, Nabi Muhammad SAW memulakan perjalanan dalam hijrah baginda pada malam Khamis (16 Jun 622 M) dan sampai di Madinah sebelum waktu Zohor, hari Isnin (28 Jun 622 M).

HIJRAH DALAM PENGERTIAN YANG LEBIH UMUM :

Dalam konteks yang lebih umum, selain daripada makna khusus seperti yang disebutkan di atas, hijrah mengandungi dua pengertian, iaitu :
1. Hijrah yang berkaitan dengan aktiviti fizikal atau jasad, iaitu berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain, dan hal ini dapat disebut sebagai hijrah lahiriyah.
2. Hijrah dalam pengertian berpindah daripada sesuatu yang dilarang Allah SWT kepada sesuatu yang dibenarkan-Nya, dan hal ini dapat disebutkan sebagai hijrah maknawiah, iaitu penghijrahan jiwa, sikap dan rohani.
Umat Islam sering mengambil iktibar tentang pengertian umum ini ketika membicarakan tentang hijrah Rasulullah SAW pada masa kini, kerana hijrah dalam pengertian hijrah oleh baginda itu tidak mungkin lagi akan berlaku, maka pengajaran yang seharusnya diambil daripada falsafah hijrah ini ialah penghijrahan sikap, iman, akhlak dan sebagainya yang dapat mengubah individu dan umat Islam umumnya daripada keadaan yang lemah kepada keadaan yang lebih kuat, daripada amalan mungkar kepada amalan makruf, daripada ketinggalan dalam segala pembangunan ilmu, ekonomi, maruah dan sebagainya, menjadi umat yang berketerampilan, berilmu, maju dalam bidang ekonomi, teknologi dan tinggi dalam segala bidang kehidupan dunia dan akhirat, serta kuat dalam amalan kerohanian, ibadat khusus dan ibadat umum.

LATAR BELAKANG YANG MENDORONG KEPADA HIJRAH

Rasulullah SAW terpaksa berhijrah meninggalkan tanah tempat tumpah darah baginda, Makkah al-Mukarramah, menuju ke Madinah Al-Munawwarah disebabkan beberapa faktor yang tidak dapat diselesaikan, atau dalam pengertian, tanpa hijrah, umat Islam Makkah yang diketuai baginda Rasulullah SAW, akan menghadapi masalah yang lebih besar dan lebih merbahaya. Di antara faktor-faktor tersebut ialah :

1. Bertambah meningkat dan ganasnya penyiksaan fizikal dan mental yang dilancarkan oleh kaum kafir Quraisy terhadap kaum muslimin yang masih lemah pada ketika itu, malah gangguan fizikal dan mental itu sering juga dilancarkan terhadap diri baginda sendiri.
2. Usaha musuh kaum muslimin mengenakan sekatan ekonomi yang berterusan agar kaum muslimin merasa terdesak, terutamanya kerana kekurangan makanan dan minuman, maka dengan itu kaum Quraisy berangan-angan agar kaum muslimin akan menyerah kalah kepada kehendak kafir musyrikin itu.
3. Dalam keadaan yang genting ini, Rasulullah pula kehilangan isterinya Khadijah yang kembali ke rahmatullah. Isterinya ini merupakan seorang teman dan pejuang yang sentiasa berdiri teguh di belakang baginda dan sentiasa memberi sokongan padu kepada baginda dalam misinya menyebarkan agama Islam. Dalam jangka masa yang sama juga, bapa saudara baginda, Abu Talib meninggal dunia. Bapa saudara baginda ini juga merupakan seorang yang amat kuat mempertahankan baginda dan sentiasa melindunginya daripada permusuhan kaum kafir Quraisy, kerana Abu Talib adalah seorang yang disegani oleh kaum Quraisy.
Dengan itu, ternyata bahawa Hijrah bukanlah merupakan satu tindakan baginda Rasulullah SAW secara terburu-buru untuk melarikan diri daripada tanggungjawab baginda bagi menyebarkan ajaran Allah SWT di tanah tempat tumpah darahnya, seperti yang pernah ditohmahkan oleh sesetengah orientalis Barat. Malah tindakan baginda adalah satu ijtihad yang penuh strategik dan hikmah dalam menyusun agenda jangka pendek dan jangka panjang dalam usaha menyebarkan ajaran Islam ke seluruh alam.

Baginda meletakkan satu harapan baru dalam usaha seterusnya bagi mengembangkan agama Allah SWT yang diamanahkan kepada baginda itu, iaitu dengan usaha baginda untuk mendapatkan para penyokong dari Madinah, dan menyediakan satu platform baru yang lebeh kukuh sebagai arena yang lebih berkesan dalam merangka dan melancarkan strategi risalah atau misi baginda.

CINTA KEPADA TANAH TUMPAH DARAH

Dalam hubungan peristiwa Hijrah ini, ada diriwayatkan bahawa baginda telah membisikkan rasa cintanya kepada kota Makkah, tanah tempat tumpah darah baginda itu dengan penuh perasaan, iaitu ketika akan meninggalkan kota Makkah baginda mengungkapkan kata-kata berikut : (2)

Maksudnya :
Alangkah indahnya kamu bagiku wahai negeriku (Makkah), dan alangkah kasihnya daku kepadamu, seandainya tidak kerana aku diusir oleh kaumku untuk berpisah denganmu, maka demi sesungguhnya aku tidak akan memilih tempat kediamanku selain daripada kamu.

Setelah mengucapkan kata-kata tersebut, maka baginda pun terus melangkah keluar, yang dilakukannya sebagai menunaikan satu perentah Allah SWT, yang di antaranya terdapat di dalam firman Allah SWT :

Maksudnya :
Wahai hamba-hamba Ku yang beriman, sesungguhnya bum iKu adalah amat luas, maka sembahlah Aku sahaja (Surah al-`Ankabut: Ayat 56).
Ketika inilah juga turunnya ayat al-Quran :

Maksudnya :
Dan katakanlah : “Tuhanku, masukkanlah aku dengan cara yang benar, dan keluarkanlah (pula) aku dengan cara yang benar, dan berikanlah kepadaku dari sisimu kekuasaan yang (dapat) menolong.”. (S urah Al-Isra’: ayat 80).

CINTAKAN TANAH AIR

Rasulullah SAW telah menginspirasikan kepada umatnya bahawa cintakan tanah air dan negara adalah merupakan satu daripada tuntutan agama. Segala amal bakti yang dapat dicurahkan kepada negara hendaklah dilakukan dengan penuh ikhlas dan bersungguh-sungguh.

Bagaimanapun kecintaan kepada watan kadang-kadang memerlukan pengorbanan fizikal dan kerohanian yang dapat dilakukan mengikut kemampuan masing-masing atas sifat individu dan kelompok masyarakat. Baginda menterjemahkan kecintaan ini dengan pengorbanan yang besar, iaitu keluar meninggalkan tanah tempat tumpah darahnya yang amat tercinta demi amanah Allah SWT yang dipikulnya, dan demi kelangsungan usaha mengembangkan ajaran Allah SWT.

Rasulullah SAW meskipun dihadapi dengan kekasaran fizikal, iaitu perbuatan ganas dalam bentuk yang menyakitkan jasad dan badan, seperti dilempar batu, onak, duri dan najis, tetapi baginda sentiasa bertindak dengan penuh hati-hati, agar kekerasan tidak dibalas dengan kekerasan, terutamanya mengingatkan bahawa umat Islam pada permulaan dakwah baginda adalah kecil bilangannya, masih lemah dan masih bergantung kepada keadaan di sekeliling dari segi mendapatkan makanan dan minuman, sedangkan pihak musuh adalah terdiri daripada kaum yang telah lama bertapak, telah biasa dengan pembunuhan dan perbuatan kejam, yang hidup tanpa sebarang nilai akhlak dan peri kemanusiaan. Baginda perlu mengembangkan satu cara hidup dan akidah serta nilai-nilai moral kerohanian yang baru dalam masyarakat yang amat liar itu. Agama yang dibawa baginda adalah agama yang mengandungi akidah yang mantap dengan membawa misi tauhid dalam erti kata bahawa hanya Allah SWT merupakan Tuhan yang disembah. Agama ini juga membawa ajaran yang penuh toleran dan penuh dengan nilai-nilai kerohanian dan akhlak yang seharusnya diamalkan dengan penuh sedar oleh semua umat manusia.

Akhirnya, apabila keadaan menjadi amat genting, dan kedudukan umat Islam juga berada dalam bahaya di kota Makkah, maka baginda telah menyusun pelan aman yang penuh strategik, iaitu meninggalkan sementara tempat yang merbahaya ini, berundur daripada musuh, dalam pengertian bahawa berundur bukanlah bererti menyerah kalah, tetapi berundur untuk menyusun semula barisan dan kekuatan untuk kemenangan agama kemudian kelak. Sekiranya umat Islam yang lemah di Makkah itu mengambil sikap terburu-buru, berkeras dan berkonfrantasi secara ganas, maka kedudukan muslimin yang merbahaya ini akan membawa mudarat pula kepada dakwah agama Islam itu sendiri. Maka tidak mengapa seruan dan dakwah ini diberhentikan sementara di Makkah, dengan harapan bahawa pada satu masa nanti, baginda akan kembali semula ke tanah tumpah darahnya untuk mencipta sejarah baru, iaitu dalam bentuk kemenangan kepada misi yang dibawanya daripada Allah SWT.

UMAT ISLAM SEKARANG

Pengajaran yang dapat diambil daripada peristiwa di atas ini, dan kedudukan umat Islam dalam sejarah ketika berlakunya peristiwa hijrah secara khususnya adalah amat jauh menyimpang daripada amalan umat Islam sekarang ini. Falsafah perjuangan yang berasaskan lemah lembut dan penuh hikmah, telah digantikan dengan kekasaran dan keganasan yang jelas bertentangan dengan nilai moral kerohanian agama Islam sendiri.

Kesetiaan umat Islam kepada baginda menghasilkan satu kesatuan umat yang amat teguh. Kesatuan dan perpaduan para sahabat baginda inilah yang memudahkan urusan umat dan menjadikannya satu umat yang teguh walau pun bilangan mereka adalah kecil. Mereka menjadi umat yang bermaruah dan bersedia untuk melakukan apa saja yang dibenarkan oleh Allah SWT dan Rasul-Nya SAW demi agama dan kehidupan mereka yang seharusnya disusun dengan penuh perancangan yang konkrit.

Sayangnya pada masa kini, umat Islam nampaknya melupakan cara hidup dan ajaran serta nilai-nilai moral kerohanian yang ditunjukkan oleh baginda Rasulullah SAW dan para sahabatnya itu, kerana cara hidup ganas dan kekerasan seolah-olah telah menjadi satu bentuk hidup umat Islam kini.

Jalan kekerasan ini telah digunakan oleh umat Islam ketika berbeza ideologi politik, atau perkauman, malahan ketika berbeza dalam mazhab amalan agama. Pada hari ini kita melihat umat Islam di Iraq, Pakistan dan lain-lain lagi sering berbunuhan sesama sendiri kerana perbezaan mazhab, iaitu antara puak Sunni dan Syiah. Saban hari masyarakat setempat menangisi anggota keluarga dan sanak saudara serta kawan dan taulan yang terkorban di tangan lawan yang seagama, cuma berbeza mazhab.

Keadaan ini diburukkan lagi oleh musuh-musuh Islam yang bertindak melaga-lagakan umat Islam supaya mereka tanpa disedari akan bertindak ganas sesama mereka. Tindakan penjajahan secara baru oleh Amerika Syarikat dan Barat menjajah negara Iraq dan Afghanistan umpamanya, kemudian memecahbelahkan rakyat negara tersebut yang terdiri daripada beberapa kaum dan mazhab, telah mencetuskan kekacauan yang berlanjutan antara rakyat muslimin sendiri, dan memakan korban jutaan manusia dalam masa sepuluh tahun lebih pengalaman negara tersebut ditakluki penjajah baru.

Muncung senapang dan meriam yang seharusnya ditujukan kepada musuh mereka yang sebenarnya, telah dilencongkan kepada saudara-saudara seagama dengan penuh kejam sekali. Darah yang ditumpahkan terhadap perbuatan sendiri kepada saudara-saudara seagama seolah-olah merupakan satu perbuatan yang menghalalkan pertumpahan darah sesama sendiri kerana perbezaan aliran mazhab dan politk partisan yang melampau.

Hal yang sama berlaku di Palestin ketika negeri Arab yang malang itu terus menerus berada di bawah cengkaman Israel yang tidak pernah memberikan peluang kepada rakyat asalnya untuk memiliki negara mereka sendiri dan menjadi negara merdeka dalam arti kata yang sebenar-benarnya.

Selain daripada kekejaman pemerintah Israel mengganas ke atas rakyat Palestin, membunuh, meruntuh rumah dan bangunan perniagaan, mengusir mereka dari rumah tangga dan tanah air mereka, mendirikan tembok tinggi untuk memisah dan memenjarakan rakyat Arab Palestin, Israel juga melakukan tindakan yang lebih kejam akhir-akhir ini, iaitu menyekat bekalan makanan dan tenaga, sehingga rakyat yang tidak berdosa itu terpaksa bergelap, berlapar dan memberhentikan segala aktiviti perniagaan mereka yang dilakukannya secara kecil-kecilan selama ini kerana ketiadaan elektrik serta minyak.

Penderitaan rakyat Palestin menjadi semakin tenat mulai daripada bulan Oktober 2006, apabila krisis politik berbangkit antara Hamas dan Fatah yang mempunyai ideologi politik dan perjuangan yang berbeza. Pertempuran bersenjata berlaku antara dua buah parti politik ini yang memakan korban jiwa dan harta benda.

Konflik antara dua puak ini telah dieksploitasikan oleh Israel dan penyokong kuatnya Amerika, iaitu dengan mengiktiraf Fatah dan memusuhi Hamas yang digelarnya sebagai pertubuhan pengganas. Dalam proses ini berlakulah peristiwa pecat memecat antara Presiden Palestin dan Ketua Hamas, perebutan kuasa dan kawasan, sehingga berlaku pertempuran antara kedua belah pihak.

Kedua-dua buah parti yang bertelagah ini pernah dibawa oleh Raja Saudi, Raja Abdullah, untuk berdamai di istananya di dalam Masjidil Haram, yang betul-betul mengadap rumah Allah, iaitu Kaabah, kiblat semua umat Islam. Kedua-dua belah pihak berjanji akan berdamai dan bekerjasama dalam perjuangan mencapai matlamat perjuangan untuk memerdekakan tanah Palestin dan bangun sebagai sebuah negara lain yang berdaulat di dunia. Mereka berjanji di depan Kaabah dan disaksikan oleh Raja Abdullah, tetapi sayangnya kembali ke tanah air sendiri, tidak lama kemudian, mereka kembali bertempur.

Ini hanyalah beberapa cebisan contoh yang mudah yang dapat kita saksikan dalam masyarakat Islam pada hari ini tentang langkah kekerasan dan keganasan yang berlaku antara umat Islam sendiri.

Keadaan ini menjadi lebih sukar dan serius lagi, apabila umat Islam yang telah sedia lemah dalam bidang ilmu dan teknologi, ekonomi dan pertahanan, yang miskin dan buta huruf, yang daif dan mundur, maka musuh Islam dan penjajah bentuk baru akan segera mengambil kesempatan dengan berbagai-bagai bentuk penjajahan mereka untuk mengekalkan umat Islam dalam kedudukan yang lemah dan hina ini.

Kalau umat Islam mengkaji peirjuangan Rasulullah SAW, maka baginda sebenarnya dalam perjuangannya telah menghadapi berbagai-bagai cabaran yang serupa, yang cuba disogokkan dengan wang dan kuasa, yang cuba dilemahkan, tetapi baginda sering menentangnya dengan penuh kebijaksanaan dan berhikmah, tetapi penuh dengan ketegasan. Ketika baginda diajak supaya berkongsi menyembah Allah SWT dan tuhan-tuhan musuhnya, maka baginda dengan tegas menjawab dengan penuh makna, iaitu “bagiku agamaku, dan bagimu agamamu”, tidak ada konsep bertolak ansur dalam ajaran asas dan prinsip agama, tetapi dapat bertolak ansur dalam urusan kehidupan lainnya yang tidak menyentuh akidah dan syariah ajaran agama.

PENETAPAN TAHUN BARU ISLAM

Sejarah bagi sesuatu bangsa atau umat manusia adalah amat penting bagi pengetahuan umat itu. Sejarah haruslah dirujuk dalam memahami jatuh bangun, maju mundurnya sesuatu bangsa dan umat. Sejarah juga merupakan titik tolak bagi mempelajari tentang agama, budaya dan moral negara dan umatnya.

Penetapan tahun baru Islam yang dimulai dengan peristiwa penghijrahan Rasulullah SAW telah dilakukan pada zaman Khalifah Umar ibn al-Khattab, sebagai memanifestasikan kepentingan peristiwa hijrah sebagai satu titik tolak kegemilangan sejarah agama dan umatnya, yang telah meninggalkan kesan yang besar dalam perkembangan Islam kemudiannya sehingga berjaya menembusi segala pelosok dunia ini.

Kesanggupan Rasulullah SAW dan para sahabatnya yang setia merentasi panas dan sejuk padang pasir yang amat jauh perjalanannya, dengan berbekalkan kenderaan yang dikurniakan Allah dalam bentuk makhluk-Nya, iaitu binatang yang mempunyai ketahanan yang kuat di dalam gurun padang pasir yang luas, saujana mata memandang, dengan segala kepayahan mendapatkan bekalan air untuk manusia dan binatang, merupakan satu pengorbanan yang sanggup dilakukan hanya oleh orang yang kuat iman dan ketahanan dirinya. Rasulullah SAW telah menunjukkan teladan yang amat cemerlang kepada para sahabat baginda dalam hal ini, sehingga para sahabatnya sanggup bersusah payah, berpenat lelah dengan segala cabaran perjalanan yang sukar ini, demi kepentingan risalah Ilahi yang mereka bawa.

Rasulullah SAW memang merupakan seorang pemimpin dan ketua yang amat ulung dalam hal ini. Baginda telah menunjukkan kualiti yang tinggi dari aspek kepimpinan bagi umat ini, yang melihatnya sebagai model yang semestinya dicontohi.

Khalifah Umar menyedari dan menghayati kepentingan peristiwa hijrah ini, dan beliaulah yang mengambil keputusan agar peristiwa hijrah Rasulullah SAW dijadikan tahun Islam yang kekal kita gunakan sehingga ke hari ini.
Sebelum ini umat Arab tidak mempunyai perhitungan tahun yang tertentu, malahan mereka biasanya menghubungkan sesuatu peristiwa itu dengan suasana atau petanda ketika berlakunya peristiwa tersebut. Kelahiran Nabi Muhammad SAW umpamanya dikaitkan dengan “Tahun Gajah” kerana kelahiran baginda berlaku ketika berlakunya perlanggaran askar bergajah pimpinan Abrahah dengan niat untuk meruntuhkan Kaabah.

Malah sebelum penghijrahan Nabi Muhammad SAW, sejarah biasanya mencatat sesuatu peristiwa dan menentukan tarikh sesuatu wahyu Allah SWT dengan tahun kerasulan baginda, seperti tahun kedua kerasulan, iaitu dua tahun semenjak Nabi Muhammad SAW dilantik menjadi Rasul, tahun ketiga kerasulan dan sebagainya.

Sayidina Umar al-Khattab menerusi pandangannya yang jauh, merasakan bahawa peristiwa hijrah adalah peristiwa yang amat penting dalam kehidupan baginda. Maka beliau menetapkan bahawa hijrah merupakan permulaan tahun Islam. Beliau sebenarnya ketika berbincang dengan para pengikutnya telah banyak menerima cadangan tentang peristiwa yang seharusnya dijadikan awal tahun Islam, antaranya mencadangkan awal tahun Islam dimulai dengan masa kelahiran Rasulullah SAW, dan terdapat pula yang mencadangkan dimulai dengan masa turunnya wahyu, yang lain pula memberi pandangan agar tahun Islam dimulai dari tarikh kemenangan umat Islam yang gemilang di dalam peperangan Badar, dan lain-lain lagi.
Tetapi akhirnya, Sayidina Umar membuat keputusan agar peristiwa hijrah diabadikan sebagai permulaan tahun Islam dengan segala kepentingannya seperti yang kita bincangkan di atas, dan akan disentuh lagi di bawah.

KEPENTINGAN SEJARAH ISLAM

Kita umat Islam pada masa ini telah melalui proses kebangkitan Islam yang amat lama dan penting, Tamadun Islam bermula di semenanjung tanah Arab, kemudian dalam waktu yang singkat berkembang sehingga ke Timur dan Barat, ke negara China dan ke barat, ke Andalusia.

Kita juga mengalami zaman kejatuhan tamadun dan keruntuhan umatnya silih berganti hingga ke zaman ini. Penjajahan politik, akal fikiran, ilmu pengetahuan dan sebagainya telah melemahkan negara-negara Islam, dan memberi kesan kepada umatnya, sehingga umat Islam menjadi umat yang ketinggalan di belakang dalam segala aspek kehidupannya, rohani dan jasmani, ilmu pengetahuan, sains dan teknologi, ekonomi dan perdagangan.

Zaman kebangkitan Islam yang mulai muncul kembali pada tahun-tahun enam puluhan dan tujuh puluhan, dengan kejayaan revolusi Iran, kemenangan Mesir ke atas Israel, ugutan penggunaan petrol sebagai senjata terhadap pencerobohan Barat ke atas Islam dan umat serta negaranya, tidak dapat meninggalkan satu kesan yang kuat dan lama, kerana ketidaksefahaman umat Islam tentang konsep kebangkitan Islam atau Islamic revivalisme itu, yang mengalami pentafsiran yang berbeza-beza, juga kerana perpecahan umat Islam dalam pemerintahan negaranya sama ada cenderung kepada kuasa besar Amerika atau Soviet Union ketika itu, dan oleh beberapa unsur lainnya, maka umat Islam tidak pernah dapat bersatu dalam menyusun strategi seperti yang dapat dipelajari daripada peristiwa hijrah itu.

Sehingga kini, negara dan umat Islam menghadapi krisis yang paling besar, iaitu krisis kepimpinan, dan kerana krisis inilah umat Islam akan terus mengalami krisis politik, ekonomi, ilmu pengetahuan dan sebagainya. Kepimpinan Rasulullah SAW merupakan kepimpinan yang cemerlang, iaitu dari segi keperibadiannya, moral dan visinya yang jauh, serta dikelilingi oleh para sahabat dan pengikut baginda yang ikhlas dan setia. Hal inilah yang amat kurang kehadirannya dalam masyarakat umat Islam sekarang.

Kepimpinan dunia Islam sekarang sememangnya tidaklah dapat disamakan dengan kepimpinan Rasulullah SAW. Sekarang ini, dunia keseluruhannya sedang menghadapi zaman global yang didominasikan oleh Barat yang mempunyai agenda dan kepentingan mereka sendiri, iaitu dari segi penguasaan politik antarabangsa, ekonomi, ilmu pengetahuan, teknologi dan sebagainya. Sesetengah pemimpin yang menerajui dunia Islam kini kelihatannya tidak dapat benar-benar melepaskan diri mereka daripada pengaruh dunia Barat yang memaksa cara hidup, budaya dan corak pemerintahan mereka ke atas negara-negara Islam itu. Banyak antara mereka hanya merupakan pemimpin boneka yang lebih mementingkan keredaan kuasa Barat daripada kepentingan ummah sendiri. Sesetengah peneraju negara Islam pula lebeh mementingkan keselamatan pemerintahan dan kekayaan mereka sendiri yang sedia dilindungi oleh kuasa Barat daripada menguruskan pemerintahan dan kekayaan negara untuk rakyat sendiri.

KAUM ANSAR DAN MUHAJIRIN

Umat Islam yang berhijrah bersama-sama Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah dipanggil orang Muhajirin, iaitu para sahabat yang berhijrah ke Madinah, yang menolong dan membantu baginda dalam hijrah yang menjangkau jarak yang jauh dan merupakan satu perjalanan yang amat sukar dan mencabar itu.

Kaum Ansar ialah orang-orang Madinah yang telah menjalin hubungan dengan orang muslimin Makkah sebelum hijrah, dan menyediakan kemudahan untuk menyambut ketibaan rombongan baginda Rasulullah sesampainya mereka di Madinah. Golongan inilah yang merupakan kumpulan sokongan yang sanggup berkorban dalam memberikan kesejahteraan kepada baginda dan kaum muslimin yang telah berkorban meninggalkan tanah air mereka, berkongsi harta benda dan kemudahan kehidupan lainnya dalam semangat ukhuwwah Islamiah atau persaudaraan Islam yang kukuh.

Kesatuan ummah yang diperlihatkan dalam kerjasama dan tolong menolong antara golongan Ansar dan Muhajirin ini merupakan satu kesatuan antara sesama muslimin walau di mana sekali pun mereka berada. Kesatuan agama dan akidah mendorong golongan Ansar untuk membantu kaum Muhajirin, kesatuan persaudaraan mengundang pihak Ansar untuk berkongsi kekayaan, kesejahteraan dan kehidupan yang selesa dengan pihak Muhajirin yang telah terpaksa meninggalkan sanak saudara dan harta benda mereka di belakang, semata-mata untuk menyelamatkan diri, dan dalam jangka panjangnya menyelamatkan agama Islam itu sendiri. Inilah semangat persaudaraan yang erat dan mesra, yang agak terhakis pada masa ini dalam masyarakat Islam, dan hal ini merupakan satu penyelewengan yang ketara daripada ajaran dan nilai agama kita.

BAI’AH ‘AQABAH

Sebelum berlaku peristiwa Hijrah, sejarah mencatatkan bahawa pada musim haji 620 – 621 M (Orang Arab Jahiliyyah setiap tahun masih melakukan upacara haji, tetapi telah menyeleweng daripada syariah Nabi Ibrahim dan Ismail) beberapa orang tokoh Islam Madinah telah menyatakan simpati dan berikrar menyokong serta memberikan sumpah setianya kepada baginda Rasulullah SAW apabila baginda berhijrah ke Madinah untuk mengembangkan agama Islam dari sana.

Sumpah setia mereka ini dinamakan “bai’ah” dan berlangsung di satu lembah berhampiran dengan Makkah yang bernama ‘Aqabah sehingga perjanjian taat setia ini di kenali dengan “bai’ah ‘Aqabah” yang terkenal dalam sejarah.

Ubadah bin Shamit meriwayatkan bahawa “Rasulullah SAW mengambil sumpah setia kami pada malam pertama di ‘Aqabah, bahawasanya kami tidak akan mempersekutukan Allah dengan apa pun juga, tidak akan mencuri, tidak akan berzina, tidak akan membunuh anak-anak kami, tidak akan berdusta, melindungi apa saja yang ada di depan atau di belakang kami dan tidak membantah perintah baginda dalam hal kebajikan.”

Ketika itu Rasulullah SAW bersabda : (3)

Jika kamu sekalian menunaikan semua janji itu, maka kamu akan mendapat syurga, (tetapi) jika kamu memungkiri sebarang janji tersebut, maka kamu akan dikenakan hukum dunia (dalam bentuk) kaffarah (denda). Dan jika kamu mengingkari janji itu secara senyap-senyap hingga hari kiamat, maka hal itu kembalilah kepada Allah, jika dikehendaki-Nya kamu akan diseksa, dan jika dikehendaki-Nya juga, kamu akan diampunkan. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ikrar taat setia dan sumpah janji para muslimin dari Madinah dalam upacara Bai’ah ‘Aqabah itu merupakan ikrar mereka untuk melaksanakan tatacara kehidupan sebagai satu umat muslimin yang berbeza daripada cara hidup kaum musyrikin yang menyekutukan Tuhan dan menjalani gejala hidup jahiliyyah yang bertentangan dengan ajaran dan nilai kerohanian Islam. Malah lebih penting lagi dalam perjanjian itu ialah taat setia mereka kepada Rasulullah SAW dalam mengerjakan segala amalan kebajikan mereka.

Gejala hidup mereka yang merupakan keganasan, membunuh sesama manusia, membunuh anak perempuan yang dilahirkan, mencuri, berzina dan perbuatan mungkar lainnya haruslah ditinggalkan sama sekali dalam kehidupan seorang muslim. Segala kemungkaran yang disebutkan dalam ikrar ini adalah ibu segala dosa dan punca kepada kehancuran manusia di dunia ini. Sebab itulah Rasulullah SAW memberi amaran kepada mereka supaya apa yang mereka ikrarkan itu hendaklah direalisasikan dan diamalkan dalam kehidupan mereka, dan mengingkarinya merupakan suatu kesalahan yang boleh dikenakan hukuman dunia. Sekiranya dilakukannya secara rahsia, maka terserahlah kepada Allah SWT untuk membalasnya di akhirat nanti.

Sumpah taat setia seperti yang tercatat di atas adalah merupakan bai’ah pertama antara Muslimin Madinah dengan Rasulullah SAW. Selepas perjanjian pertama ini, maka kaum Ansar itu pun berangkat pulang ke Madinah, dan Rasulullah SAW mengutuskan seorang sahabat kepercayaannya turut serta bersama-sama mereka ke Madinah dengan diberikan tanggungjawab untuk mendidik masyarakat Madinah bagi memahami ajaran Islam dan kandungan kitab suci al-Quran. Utusan yang dihantarkan itu ialah Mush’ab bin ‘Umair. Beliau juga ditugaskan untuk menyaksikan perkembangan penyebaran agama Islam di Madinah.

Dicatatkan juga dalam sejarah bahawa Mush’ab bin ‘Umair telah berjaya menjalankan tugasnya dengan baik, dan beliau kembali ke Makkah setahun kemudian iaitu menjelangnya musim haji berikutnya, serta melaporkan kepada Rasulullah SAW tentang sambutan baik penduduk Madinah terhadap Islam. Malah sebagai hasilnya Rasulullah SAW akan menyaksikan ketibaan rombongan ke Makkah bagi kali yang kedua pada musim haji itu sebagai rombongan yang akan menyembahkan taat setia kepada baginda.

BAI’AH AQABAH AL-KUBRA

Tiba masanya maka rombongan dari Madinah itu pun datanglah buat kali kedua bertemu dengan Rasulullah SAW, dan yang menariknya, mengikut sesetengah riwayat bahawa dalam rombongan ini terdapat dua orang wanita, iaitu Nasibah binti Ka’ab dan Asma’ binti ‘Amr bin ‘Adiy.

Satu kelainan dalam pertemuan kedua ini ialah permintaan baginda Rasulullah SAW supaya rombongan kedua ini hendaklah mengandungi 12 orang daripada mereka yang bertindak sebagai wakil daripada kabilah masing-masing, termasuk kabilah Khazraj dan Aus.

Rasulullah bersabda kepada mereka yang bermaksud : (4)

“Kamu selaku pemimpin di atas kabilah masing-masing adalah bertanggungjawab atas keselamatan kabilahnya sendiri, sebagaimana Hawariyyin (12 orang murid Nabi Isa AS) bertanggungjawab atas keselamatan Isa putra Maryam, sedangkan aku bertanggung jawab atas kaumku sendiri (iaitu kaum Muslimin Makkah).”

Peristiwa bai’ah ‘Aqabah yang kedua ini mempunyai kepentingannya yang tersendiri, maka sebab itulah peristiwa ini disebut sebagai Bai’ah ‘Aqabah al-Kubra, iaitu perjanjian ‘Aqabah yang terbesar.

KEPENTINGAN BERDIALOG

Dua kali pertemuan dan perjanjian serta perbincangan Rasulullah SAW, termasuk dengan ketua-ketua Kabilah dari Madinah, merupakan satu perjumpaan penting yang memeteraikan satu perjanjian yang kukuh antara baginda dengan golongan yang datang dari jauh untuk membantu baginda dalam menjayakan amanah yang diberikan oleh Allah SWT kepada baginda, iaitu menyampaikan ajaran Allah kepada seluruh umat manusia.

Secara langsung atau tidak langsung, Rasulullah SAW telah meletakkan beberapa asas sebagai satu permulaan menggubal satu perlembagaan yang seharusnya dihormati oleh kedua belah pihak. Dalam perjumpaan pertama, Rasulullah SAW telah meletakkan beberapa prinsip asas yang merangkumi tiga komponen agama Islam, iaitu akidah, syariah dan akhlak Islamiah yang merupakan asas penting kepada manusia ketika menerima Islam sebagai cara hidup yang mentadbirkan hidupnya untuk kebahagiaan dunia dan Akhirat.

Sebab itulah dalam perjumpaan pertama baginda mendengar ikrar rombongan itu untuk mengesakan Allah SWT tanpa mempersekutukan-Nya dengan sesuatupun, dan beramal dengan prinsip Islam seperti menjauhkan perbuatan pencerobohan ke atas harta benda dan kehormatan orang lain seperti perbuatan mencuri dan berzina, dan beberapa asas syariah serta akhlak yang lain.

Perjumpaan kedua, setahun selepas perjumpaan pertama, Rasulullah SAW meletakkan asas lain yang lebih penting dalam membentuk kehidupan bermasyarakat dan bernegara, seperti pembentukan sebuah negara yang terdiri daripada beberapa kabilah, yang ditegaskan oleh baginda, bahawa setiap ketua kaum atau kabilah itu harus bertanggungjawab terhadap keselamatan kaumnya di dalam masyarakat baru yang bakal dibentuk di Madinah nanti. Baginda memberi contoh bagaimana keselamatan Nabi ‘Isa pernah dipelihara oleh pengikut atau murid setia Nabi ‘Isa, Al-Hawariyyun, dan baginda sendiri akan bertanggungjawab terhadap keselamatan kaum Muslimin Makkah.

Inilah asas dialog dan diskusi baginda dengan para pengikut setianya daripada kaum Madinah dan Makkah, iaitu dialog dua hala yang amat jelas menjadi perjanjian yang tertera untuk diguna pakai oleh semua pihak yang terlibat demi melicinkan agenda semua yang terlibat dalam membentuk sebuah negara dan masyarakat di Madinah nanti.

Prinsip dan asas yang dihasilkan daripada dialog inilah yang kemudiannya diperluaskan oleh baginda selepas peristiwa hijrah nanti, iaitu ketika baginda menjadi pemimpin Madinah dalam semua aspek pembangunan negara baru itu. Ia akan merangkumi segala aspek pentadbiran dan urusan dalam akidah dan iman, syariah dan perundangan, muamalat seperti urusan harta zakat dan cukai, berjual beli dan berniaga, keselamatan semua pihak, termasuk memeteraikan perjanjian damai di antara kaum-kaum di Madinah, termasuk kaum Yahudi dan Muslimin. Perjanjian selepas hijrah inilah yang lahir sebagai piagam atau perlembagaan pertama negara dalam sejarah tamadun manusia, iaitu piagam atau perlembagaan Madinah.

Bagi para pengkaji sejarah dan tamadun Islam, kebijaksanaan baginda dalam hal ini merupakan sesuatu yang ditonjolkan dalam pembangunan masyarakat manusia di dalam bidang agama, politik, pendidikan, ilmu, pertahanan, keselamatan, keharmonian hidup rakyat dan sebagainya, yang merupakan contoh demokrasi Islam dan keadilan ajaran Islam yang sepatutnya menjadi contoh dan iktibar yang amat penting dalam sejarah kebangkitan umat dan pemerintahan Islam di sepanjang zaman, sehinggalah ke zaman global ini.

KEBIJAKSANAAN SAYIDINA UMAR

Bertitik tolak daripada hakikat kepentingan peristiwa sebelum dan sesudah hijrah inilah Sayidina Umar bin al-Khattab telah melahirkan kebijaksanaannya untuk menjadikan peristiwa ini sebagai permulaan tahun hijrah, bukan peristiwa lain di dalam kehidupan baginda Rasulullah SAW. Sayidina Umar memilih bulan Muharram sebagai bulan pertama tahun hijrah, kerana pada bulan itulah berlangsungnya Bai’ah ‘Aqabah, ketika baginda Rasulullah SAW mulai bertekad untuk melakukan hijrah ke Madinah setelah tiba masa yang sesuai, dan memang sebenarnya peristiwa hijrah berlaku pada malam Khamis tanggal 1 Rabiul Awwal, bersamaan 16 Jun 622M, dan baginda sampai ke Madinah pada hari Isnin 12 Rabiul Awwal sebelum waktu zohor, bersamaan 28 Jun 622 M.

Maka dalam hal ini, umat Islam haruslah berfikir tentang kepentingan hijrah dalam konteks kehidupan mereka sepanjang masa, bukanlah hijrah hanya merupakan peristiwa sejarah yang seharusnya dirayakan setiap tahun sebagai satu peristiwa yang telah berlalu, tanpa memberi sebarang makna dan pengertian dalam kehidupan umat ini pada masa kini dan masa yang akan datang.

Pengorbanan Rasulullah SAW dalam peristiwa penting ini bukanlah hanya merupakan sesuatu yang di ulang-ulang penceritaanya untuk menyedapkan hati kita semata-mata, tetapi kita juga harus mengkaji tahap-tahap perkembangan peristiwa itu dari mula hingga ke akhirnya, kerana peristiwa ini mengandungi falsafah dan pengajaran yang amat besar ertinya sehinggalah ke zaman moden yang berasaskan sains dan teknologi, dan sistem pemerintahan negara di dalam kepelbagaian trend dan ideologinya. Contoh tauladan yang ditunjukkan oleh baginda, adalah sesuatu yang boleh diterjemahkan dalam kaedah yang lebih sesuai dengan falsafah politik, ekonomi, pendidikan dan aliran pembangunan insan moden pada zaman global ini.

BERBANGGA DENGAN JATI DIRI SENDIRI

Sebagaimana Rasulullah SAW telah menunjukkan agenda mantap dan tegas dalam memperkembangkan ajaran Allah SWT dan membangunkan nilai-nilai moral kerohanian serta jati diri baginda dan agama Islam, maka prinsip inilah yang seharusnya kita teruskan, dan pendekatannya juga haruslah sama, iaitu dengan hikmah, bijaksana dan penuh hemah, serta nasihat yang baik.

Kita tidak hanya berbangga dengan kecemerlangan sejarah dan tamadun Islam yang lampau, sedangkan kita kini tidak mempunyai sesuatu yang menunjukkan ketinggian agama dan umat kita.

Al-Mutanabbi, seorang pujangga Islam silam menyatakan hal ini di dalam puisinya : (5)

‘Andainya kamu berbangga dengan kemuliaan nenek moyang kamu Sesungguhnya kamu adalah berada di pihak yang benar. Tetapi waspadalah kamu terhadap keturunan mereka...’

Pujangga ini ingin menegaskan bahawa memuji dan memuja kemuliaan dan kejayaan asal usul dan nenek moyang itu adalah sesuatu yang terpuji, Cuma ketika berbicara tentang kejayaan dan kecemerlangan mereka, maka awasilah keturunan mereka supaya mereka juga dapat menuruti jejak langkah dan kecemerlangan asal usul mereka itu, tidak merupakan keturunan yang sebaliknya.

Seorang pujangga Arab lain menegaskan : (6)

‘Bukanlah sebenarnya pemuda, seorang yang berkata ‘Sesungguhnya bapaku.......

Tetapi seorang pemuda sebenarnya ialah yang berkata “Ha, inilah aku....’
Al-Quran juga di dalam banyak ayat menegaskan tentang tradisi lama yang seharusnya dikaji dan diteliti dengan sebaik-baiknya supaya dapat diamalkan menurut ajaran yang diturunkan Allah SWT, walaupun adat tradisi dan amalan lama itu pernah menjadi amalan nenek moyang golongan yang tertentu.

Islam memberikan panduan yang jelas tentang sesuatu yang harus ditolak, dan sesuatu yang harus dipertahankan, terutamanya apabila umat Islam menghadapi sesuatu cabaran yang tertentu dalam menghayati ajaran agama dan nilai moral kerohaniannya yang berpaksikan tauhid, yang menyentuh akidah dan syariahnya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan sesuatu perkara bagi orang Mukmin (lelaki dan perempuan) maka tidak ada lagi pilihan bagi mereka tentang perkara ini.” (Surah al-Ahzab : ayat 36)

Maksud ayat ini sebenarnya bahawa tidak harus bagi lelaki dan perempuan yang beriman membuat pilihan sendiri di dalam sesuatu perkara, apabila Allah SWT dan Rasulullah SAW telah menetapkan keputusan mengenai perkara itu.

Hal ini ditegaskan oleh al-Quran kerana ketika Rasulullah SAW menyeru manusia supaya hanya menyembah Allah SWT maka terdapat kalangan mereka yang membantahnya dengan alasan bahawa perbuatan mereka itu adalah merupakan warisan nenek moyang mereka yang seharusnya diteruskan.

Kisah al-Quran tentang kaum-kaum tertentu yang berhujah dengan Nabi Allah yang diutuskan untuk kaum itu, menunjukkan bahawa minda dan pemikiran manusia amat sukar diubah.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Apakah kamu (Nabi Hud) datang kepada kami, agar kami hanya menyembah Allah sahaja dan meninggalkan apa yang biasa disembah oleh nenek moyang kami?.” (Surah al-‘Araf : ayat 70)
“Wahai Saleh, sesungguhnya kamu sebelum ini adalah seorang di antara kami yang kami harapkan, apakah kamu melarang kami untuk menyembah apa yang disembah oleh nenek moyang kami.?” (Surah Hud : ayat 62)

Inilah contoh kebekuan minda manusia yang amat sukar berubah. Sebaliknya kebekuan minda begini jugalah yang mendorong kejumudan dan melahirkan sikap statik umat yang hanya berbangga dengan sejarah dan tamadun lampau, sedangkan kedudukannya sekarang amat jauh ketinggalan, dan tidak langsung menggambarkan kegemilangan yang lepas.
Al-Quran memberikan satu penegasan yang amat baik sekali dalam menggambarkan hal ini,

Apabila dikatakan kepada mereka “Marilah mengikuti apa yang diturunkan Allah dan mengikuti Rasul” Mereka menjawab “Cukuplah untuk kami apa yang kami dapati nenek moyang kami mengerjakannya”. Wala pun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui apa-apa dan tidak (pula) mendapat petunjuk. (Surah al-Maidah : ayat 104)

KESIMPULAN

1) Penetapan peristiwa hijrah Rasulullah SAW sebagai tahun Islam mempunyai kepentingannya yang perlu dikaji dengan mendalam tentang semua aspek dan perkembangannya iaitu dari peringkat sebelum hijrah, semasa hijrah dan sesudahnya, menjelang kembalinya Rasulullah SAW ke Makkah dengan mendapat kemenangan mutlak bagi diri baginda dan agama Allah.

2) Hasil kajian ini hendaklah dijadikan asas bagi menyusun strategi umat Islam dan misinya dalam menyumbang kepada dunia umumnya dalam bidang jasmani dan rohani, dunia dan Akhirat, dan dalam menguasai ilmu pengetahuan, pendidikan sepadu di antara ilmu wahyu dan ilmu akal manusia yang tidak bercanggah dengan prinsip dan falsafah pendidikan Islam, juga dalam bidang pembangunan ekonomi dan teknologi umat, kepimpinan yang mantap, dan kematangan berpolitik peringkat setempat dan antarabangsa.

3) Umat Islam haruslah mempunyai jati diri berpandukan semangat hijrah Rasulullah SAW tanpa terikat dengan gejala-gejala semasa dalam zaman globalisasi yang dipelopori Barat, sehingga pemimpin dan umat Islam kehilangan maruah dan matlamat, malah kehilangan kekayaan yang dikurniakan Allah SWT dan kemampuan pemikirannya, semata-mata kerana mengikut rentak penjajahan baru yang ingin memperkotak-katikkan umat Islam dan memecahbelahkan kesatuan umat. Umat Islam sering terjebak ke dalam perangkap ini kerana kepentingan diri dan kelompok yang tertentu.

4) Ummah gemilang hanya boleh tercipta dengan mempelajari prinsip tamadun dan kegemilangan Islam dan menghayatinya, dan terlebih dahulu haruslah berjuang menghadapi apa yang ada di dalam diri sendiri sebelum berjuang terhadap apa yang berada di luar diri, iaitu berusaha memperbaiki rumah tangga ummah itu sendiri sebelum berjuang menentang orang lain, atau mencari kesalahan orang lain.

5) Ummah gemilang memerlukan contoh dan model kepimpinan Islam yang komited kepada cara hidup Islam yang menyeluruh dan pembangunan negara serta umat yang dinamik, terbuka serta maju di dalam segala bidang kehidupan dunia ini tanpa melupakan matlamat hidup untuk Akhirat.

6) Dengan pencapaian umat Islam di Malaysia dalam segala aspek pembangunan kehidupan dunia dan Akhirat, iaitu di dalam bidang penghayatan dan kedaulatan Islam, pembangunan pendidikan yang mantap, sains dan taknologi, ekonomi dan sosial yang maju, keamanan dan keharmonian masyarakat, sifat toleransi dan bertolak ansur yang tinggi di dalam negara, maka tahap ini hendaklah dipertingkatkan dengan lebieh bersungguh-sungguh dan ikhlas lagi agar status negara maju Malaysia menjadi contoh ummah gemilang yang dicita-citakan.

7) Kegawatan ekonomi dunia yang dialami menjelangnya tahun baru Hijrah 1430 ini haruslah ditangani dengan pendekatan yang bijak, di antaranya ialah dengan pendekatan ekonomi yang lebih mendekati sistem ekonomi Islam dan falsafahnya, yang ternyata mempunyai kekuatan mengatasi sistem ekonomi yang lain.

8) Krisis perpaduan umat Islam di Malaysia menjelang tahun 1430H ini juga merupakan cabaran dan ancaman besar kepada umat Islam di negara kita dalam segala aspek kehidupan umat ini, termasuk bidang akidah dan syariahnya, sosial dan ekonominya, moral dan akhlaknya, serta maruah dan jati dirinya sendiri. Hal ini memerlukan kebijaksanaan yang berlipat ganda di kalangan umat Islam sendiri, sekiranya kita benar-benar ingin merealisasikan slogan MENJANA UMMAH GEMILANG sempena ketibaan tahun 1430H ini, iaitu dimulai di tanah air kita sendiri supaya menjadi contoh dan model kepada dunia Islam yang lain seperti yang dimasyhurkan selama ini.

9) Di antara kriteria Ummah Gemilang ialah iman, berhijrah dan berjihad kerana jalan Allah SWT. Kriteria ini mempunyai pengertian yang amat luas dan pelbagai, tetapi semuanya itu mestilah dilakukan demi jalan dan agama Allah SWT.
Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan orang-orang yang berhijrah dan berjihad pada jalan Allah, merekalah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah dan Allah itu maha pengampun dan maha pengasih”. (Surah al-Baqarah : Ayat 218)

Semoga segala usaha dan doa kita yang tidak putus-putus kepada Allah SWT, dan tindakan kita yang sentiasa berpandukan kepada petunjuk Allah SWT, serta kepimpinan Rasulullah SAW, akan diberkati, diperkenan dan dimakbulkan oleh Allah SWT. Amin.

0 comments:

 

PAUTAN MINI




 

KOKURIKULUM

SOCUT PERAK SCOUT MALAYSIA PUTERI ISLAM PBSM KRS

Recommended Gadget

  • ads
  • ads
  • ads
  • ads

Followers

About Me

Abu Ruqaiyah, Tn. Hj. Mohamad Sahrin Bin Kadmo. Salah seorang pereka elaporan program j-QAF untuk kegunaan pihak Sekolah, PPD, JPN & BPK.