Tuesday, January 12, 2010

ISU PENGGUNAAN KALIMAH ALLAH



Artikel ini telah diterbitkan pada 06 Februari 2009 di akhbar Utusan Malaysia

Mengulas mengenai isu penggunaan kalimah Allah seperti yang digunakan oleh Herald Catholic dalam terbitan bahasa Melayunya, mungkin ada beberapa fakta menarik yang boleh dikongsi untuk renungan kita bersama.

Memang telah termaktub di antara larangan yang telah dikeluarkan oleh kerajaan Malaysia menerusi keputusan kabinet yang bertarikh 16 Mei 1986 bagi mana-mana agama selain Islam untuk menggunakan empat perkataan iaitu Allah, Solat, Baitullah dan Kaabah. Malah ada sesetengah negeri yang menambahkan lagi beberapa perkataan yang dianggap boleh mendatangkan kekeliruan dan bahaya kepada umat Islam apabila digunakan oleh bukan Islam. Namun yang peliknya kenapa masih lagi ada yang cuba menuntut kerajaan Malaysia untuk membenarkan mereka menggunakan kalimah Allah bagi tujuan penerbitan bahan bercetak mereka?

Mungkin kita boleh menjangkakan bahawa alasannya ialah kalimah Allah tersebut adalah kalimah terjemahan dari Bahasa Inggeris yang menggunakan kalimah God dalam Bible terbitan Bahasa Inggeris yang telah sekian lama digunakan.

Sama ada kita sedar ataupun tidak, tuntutan ini sebenarnya amat berbahaya kepada umat Islam sekiranya dibenarkan, kerana ianya lebih banyak menimbulkan kekeliruan di dalam masyarakat. Cubalah kita bayangkan kekeliruan yang akan timbul di dalam masyarakat terutamanya kepada golongan muda dan juga kepada kanak-kanak Muslim apabila terbaca iklan-iklan atau papan-papan tanda yang berbunyi "...Aku adalah anak Allah" atau "...damai sejahtera dari Allah, Bapa kita dan dari Tuhan Jesus Kristus" atau "...anak Allah yang hidup" yang semuanya merupakan terjemahan terus dari Bible terbitan Bahasa Inggeris. Sebenarnya banyak lagi ayat-ayat atau ungkapan-ungkapan yang diterjemahkan ini boleh mengundang kekeliruan yang akhirnya boleh membatilkan fahaman agama.

Walau bagaimanapun, bagi menyingkap kekeliruan yang telah berlaku ini, elok rasanya kita melihat kepada asal-usul bahasa kitab-kitab itu sendiri. Bagi orang Islam dan juga bukan Islam, mudah untuk difahami dan diberitahu bahawa bahasa asal al Quran adalah Bahasa Arab. Dan apakah pula bahasa yang digunakan untuk kitab Injil (Bible) dan kitab Taurat? Bagi mereka yang mengkaji sejarah, secara jujur mereka akan katakan bahasa asal untuk kitab Taurat ialah Bahasa Hebrew, dan bahasa yang digunakan untuk menulis Kitab Injil (Bible) ialah Bahasa Greek.

Sekiranya fakta penggunaan bahasa ini boleh diterima sebagai asas perbincangan, maka ulasan seterusnya selepas ini akan menjadi lebih mudah. Malah bagi orang Islam, tidak perlu untuk kita menjadi pakar tentang kitab Taurat atau Injil (Bible) untuk mengupas isu gawat yang sedang berlaku ini.

Persoalannya sekarang ialah apakah perkataan yang digunakan untuk Tuhan dalam bahasa Hebrew dalam kitab Taurat dan makna perkataan Tuhan dalam bahasa Greek untuk kitab Injil (Bible).? Sekiranya Herald Catholic boleh memahami persoalan asal bahasa ini mungkin kekeliruan penggunaan perkataan Allah tidak timbul.

Ini adalah kerana perkataan Hebrew yang membawa maksud Tuhan ialah Elohim, Eloh, El dan juga Yahweh. Ini dapat diperhatikan menerusi Perjanjian Baru, di dalam The Gospel of St. Matthew bab 27: 46 yang menyebut :

Kira-kira jam tiga berserulah Jesus dengan suara nyaring: "Eli, Eli, lama sabaktani?" (Ertinya : Tuhan-Ku, Tuhan-Ku, mengapa Engkau meninggalkan aku?")

Sementara di dalam bahasa Greek pula perkataan yang membawa maksud Tuhan ialah Theos. Sepertimana yang tertulis dalam buku-buku sejarah atau buku-buku tamadun besar dunia, orang-orang Rom menyembah Tuhan yang dikenali sebagai Hotheos. Dan sekiranya terdapat di kalangan mereka yang menyembah Tuhan yang dianggap palsu, mereka akan memanggil Tuhan tersebut sebagai Tintheos.

Jika diteliti kita akan dapati bahawa untuk kedua-dua bahasa sama ada Hebrew ataupun Greek yang dijadikan penulisan bagi kedua-dua kitab suci ini, tidak terdapat satu pun kalimah Allah digunakan.

Namun begitu ada juga di kalangan mereka yang memberi alasan bahawa penggunaan kalimah Allah ini ialah berdasarkan penggunaan kalimah Allah di dalam kitab Bible versi Bahasa Arab.

Bible versi Arab ini tidak dikenali sebagai Holy Bible tetapi lebih dikenali sebagai Kitab al-Muqaddas. Dan di dalam terjemahan Bible Melayu pula mereka menamakannya sebagai Kitab Berita Baik.

Lanjutan daripada itu juga perlu kita fahami bahawa kalimah Allah yang wujud di dalam Bible bahasa Arab tersebut adalah kerana sesetengah Kristian Arab seperti yang terdapat di Mesir, Syria, dan beberapa negara lain yang muncul sebelum kedatangan Nabi Muhammad s.a.w. menerima dan meyakini faham Keesaan Tuhan. Di mana faham ini jauh berbeza dengan faham Trinity (tiga dalam satu) sepertimana doktrin kebanyakan Kristian pada hari ini.

Maka dengan itu hujah yang dijadikan sandaran untuk membenarkan mereka menggunakan kalimah Allah ini adalah tidak dapat diterima kerana golongan Kristian Trinity sendiri tidak menerima bahkan mengkafirkan golongan Kristian Unity.

Selain daripada hujah tersebut terdapat juga pandangan yang menyatakan bahawa kekeliruan tidak akan timbul jika penggunaan kalimah ini dibenarkan kerana kalimah Allah yang hendak digunakan tersebut adalah merujuk kepada terjemahan dari kalimah God dalam Bible bahasa Inggeris sedangkan kalimah Tuhan pula adalah terjemahan dari kalimah Lord.

Pandangan ini juga sebenarnya mengelirukan malah bertentangan dengan apa yang dinyatakan dalam Bible itu sendiri. Apakah bezanya antara Allah dan Tuhan dalam agama Kristian?

Sekiranya kalimah Tuhan merujuk kepada Jesus sedangkan kalimah Allah merujuk kepada Tuhan Bapa di dalam Syurga, maka perlulah difahami dengan jelas di sini bahawa kalimah Tuhan dan Allah adalah dua perkataan yang merujuk hanya kepada Allah sahaja. Bagi membuktikan hal ini kita boleh merujuk kepada The Gospel Of St Mark 12:29 yang menyebut:

Jawab Jesus: Hukum yang terutama ialah : Dengarlah wahai Bani Israel, Tuhan Allah kita, Tuhan Yang Esa".

Dalam ayat ini siapakah Tuhan Yang Esa yang dimaksudkan di dalam ayat di atas? Adakah ianya merujuk kepada Jesus? Pastinya tidak! Malah kalimah Tuhan yang dimaksudkan di atas adalah merujuk kepada Allah semata-mata. Dan hal ini sekali lagi bertentangan dengan apa yang telah dinyatakan bahawa kalimah Lord (Tuhan) di dalam Bible adalah merujuk kepada Jesus.

Sekiranya penghujahan ingin diteruskan lagi dengan menyatakan bahawa dalil yang paling jelas yang menunjukkan kalimah Tuhan adalah merujuk kepada Jesus dan kalimah Allah pula merujuk kepada Tuhan Bapa seperti yang sering dirujuk di dalam The Gospel Of St. Matius 16:22 yang menyebut:

Tetapi Petrus menarik Jesus ke samping dan menegur Dia, katanya: "Tuhan (Jesus), Semoga Allah (Tuhan Bapa) menjauhkan hal itu".

Sekiranya ini dijadikan hujah dan alasan, maka mereka yang berkenaan perlu menyelesaikan dahulu percanggahan yang terdapat di antara kedua ayat yang telah dinyatakan tadi. Sama ada Tuhan itu merujuk kepada Jesus sahaja ataupun juga merujuk kepada Allah.

Malah kata-kata Jesus sendiri menjelaskan keEsaan Allah sepertimana yang terdapat dalam The Gospel of St. John 20:17 yang menyebut:

Kata Jesus kepadanya: Janganlah engkau memegang aku, sebab aku belum pergi kepada Bapa, tetapi pergilah kepada saudara-saudaraKu dan katakanlah kepada mereka bahawa sekarang Aku akan pergi kepada BapaKu dan Bapamu, AllahKu dan Allahmu."


Dalam kata lain Jesus bukanlah Allah ataupun Tuhan Yang Maha Berkuasa kerana Jesus sendiri menyatakan bahawa Tuhan yang sebenar ialah Allah.
Maka jelaslah di sini bahawa kewajaran pihak kerajaan Malaysia melarang penggunaan kalimah Allah untuk digunakan oleh bukan Islam patut disokong oleh segenap masyarakat termasuk bukan Islam sendiri. Ianya adalah bertujuan untuk mengelakkan kekeliruan di kalangan masyarakat apabila kalimah yang tidak tepat digunakan oleh mereka yang mempunyai kepentingan tertentu akan mengundang padah yang akhirnya membawa kerugian kepada semua pihak. Adalah suatu yang amat malang apabila kesejahteraan hidup beragama di negara ini yang telah sekian lama bertahan atas dasar tolak ansur dan saling memahami, tiba-tiba digoncang oleh tangan-tangan yang tidak bertanggungjawab yang sengaja ingin mencetus suasana ketegangan dan huru-hara.

http://www.ikim.gov.my/v5/index.php?lg=1&opt=com_article&grp=2&sec=&key=1990&cmd=resetall

0 comments:

 

PAUTAN MINI




 

KOKURIKULUM

SOCUT PERAK SCOUT MALAYSIA PUTERI ISLAM PBSM KRS

Recommended Gadget

  • ads
  • ads
  • ads
  • ads

Followers

About Me

Abu Ruqaiyah, Tn. Hj. Mohamad Sahrin Bin Kadmo. Salah seorang pereka elaporan program j-QAF untuk kegunaan pihak Sekolah, PPD, JPN & BPK.